Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG, Shanghai meterai 15 perjanjian tingkat kerjasama dalam ekonomi digital, jagaan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
SG, Shanghai meterai 15 perjanjian tingkat kerjasama dalam ekonomi digital, jagaan kesihatan

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang Edwin Tong dan Datuk Bandar Shanghai Gong Zheng (kiri) di mesyuarat keempat Majlis Kerjasama Menyeluruh Singapura-Shanghai (SSCCC) pada 24 April 2023. (Gambar: Edwin Tong/Facebook)

SINGAPURA: Singapura dan Shanghai  memeterai 15 perjanjian pada Isnin (24 Apr)untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang seperti ekonomi digital, penjagaan kesihatan dan pelancongan. 

Ia dimeterai semasa mesyuarat keempat Majlis Kerjasama Menyeluruh Singapura-Shanghai (SSCCC) iaitu mesyuarat majlis perniagaan Singapura dan China yang pertama diadakan secara fizikal sejak COVID-19. 

Terdapat lapan majlis perniagaan wilayah yang dipengerusikan bersama oleh menteri Singapura dan gabenor China di wilayah seperti Sichuan, Zhejiang, Guangdong dan Jiangsu. 

Majlis perniagaan Shanghai itu ditubuhkan pada 2019 dan acara yang diadakan pada Isnin merupakan mesyuarat pertama SSCCC yang diadakan di Singapura. 

Ia dipengerusikan bersama oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang Edwin Tong dan Datuk Bandar Shanghai Gong Zheng. 

Encik Tong mengambil alih tugas itu daripada Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong, yang sebelum ini merupakan pengerusi bersama majlis tersebut. 

Dalam ucapan pembukaannya, Encik Wong  berkata beliau berharap untuk mempengerusikan bersama mesyuarat majlis itu bersama Encik Gong. "Tetapi dengan tanggungjawab baru saya, malangnya, saya tidak dapat meneruskan tugas sebagai pengerusi bersama majlis tersebut," kata Encik Wong, yang dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri pada Jun 2022. 

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Encik Gong atas "komitmen dan usahanya" untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Singapura dan China. 

"HUBUNGAN BERDAYA TAHAN DAN PROGRESIF"

Encik Tong berkata, Shanghai merupakan rakan utama bagi Singapura dalam perdagangan, pelaburan dan ketersambungan. 

"Singapura dan Shanghai mempunyai hubungan yang berdaya tahan dan progresif, bersandarkan pada hubungan kukuh dalam khidmat kewangan, teknologi dan inovasi, dan kerjasama dalam bidang-bidang baru seperti ekonomi digital dan hijau," kata Encik Tong.

Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pengerusi bersama bersetuju untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala, serta kawasan Sungai Yangtze, termasuk Jiangsu, Zhejiang dan Anhui. 

Mereka turut bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dua hala dalam ekonomi digital dan hijau, serta dalam khidmat kewangan dan inovasi, menurut Enterprise Singapore dalam satu kenyataan media.

Agensi tersebut menarik perhatian, hubungan ekonomi antara Singapura dan Shanghai terus berkembang, dengan perdagangan dua hala pada 2022 meningkat sebanyak lapan peratus dan mencecah hampir S$20 bilion. 

Turut hadir di mesyuarat itu adalah Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan merangkap Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling, Naib Datuk Bandar Shanghai Hua Yuan, serta sekitar 120 pegawai dan wakil perniagaan dari Singapura dan Shanghai.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan