SG sertai kumpulan global sasar kurangkan pembasmian hutan, sokong pembangunan mampan

(Gambar fail: Raul Arboleda/AFP)
SHARM EL-SHEIKH: Singapura menyertai sekumpulan lebih 20 negara lain di sidang puncak iklim COP27 pada Isnin (7 Nov) yang menyatakan akan memastikan setiap negara saling bertanggungjawab dalam ikrar untuk menamatkan pembasmian hutan menjelang 2030.
Dengan menyertai Kerjasama Pemimpin-pemimpin mengenai Hutan dan Iklim (FCLP) sebagai sebuah negara anggota, Singapura "komited untuk bekerjasama dengan anggota-anggota dan rakan-rakan kongsi lain bagi membangunkan pasaran berintegriti tinggi untuk kredit karbon perhutanan sambil melaksanakan huraian-huraian inovatif lagi kukuh bagi mengurangkan pembasmian hutan, meningkatkan pemulihan serta menyokong pembangunan mampan".
Demikian menurut Sekretariat Perubahan Iklim Nasional (NCCS) dalam satu kenyataan media bersama dengan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) serta Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (7 Nov).
"Singapura berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada Kerjasama Pemimpin-pemimpin mengenai Hutan dan Iklim, untuk bekerjasama dengan rakan-rakan yang bersependapat dalam huraian-huraian inovatif lagi kukuh yang boleh menyerlahkan potensi sektor perhutanan bagi tindakan iklim sambil mengurangkan pembasmian hutan di seluruh dunia," kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu.
"Kerjasama itu juga akan membantu meningkatkan dan menyokong pembangunan pasaran berintegriti tinggi bagi kredit karbon perhutanan dalam memajukan sasaran iklim sejagat," tambah Cik Fu.
Penyertaan Singapura mengukuhkan komitmennya di bawah "Pengisytiharan Pemimpin-pemimpin Glasgow bagi Penggunaan Hutan dan Tanah" untuk menghentikan dan membalikkan pembasmian hutan serta degradasi tanah menjelang 2030, menurut NCCS, MSE dan MTI.
Penyertaan Singapura dalam FCLP juga selaras dengan usaha negara dalam "memudahkan penerimaan masyarakat sejagat terhadap kredit karbon perhutanan yang bermutu tinggi".
"Kami akan meneroka bagaimana kerjasama antara sektor awam dengan swasta boleh memanfaatkan pasaran karbon untuk mewujudkan aliran pendapatan baru bagi mengurangkan pelepasan secara berkesan sambil memelihara alam sekitar dan biodiversiti."
Singapura akan mengambil bahagian dalam mesyuarat pertama kumpulan itu pada 12 November.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.