SG sertai gabungan baharu NGO serantau untuk banteras salah guna dadah
Bagi menangani isu pengedaran dan penyalahgunaan dadah, sebuah gabungan serantau terdiri daripada beberapa pertubuhan bukan pemerintah (NGO) dilancarkan pada Khamis (15 Mei).
Kumpulan itu yang dinamakan Konfederasi Asia-Pasifik Menentang Dadah (APCD), terdiri daripada lima anggota pengasas iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia, Filipina dan Hong Kong.
Singapura diwakili oleh Persatuan Anti Narkotik Singapura (SANA).
Gabungan baharu itu bertujuan mengukuhkan kerjasama serantau melalui pelaksanaan program-program dan projek secara bersama dan perkongsian amalan terbaik, kata Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, di Forum Menentang Dadah Asia-Pasifik 2025 (APFAD) pada Khamis.
"APCD juga akan berusaha untuk memainkan peranan lebih aktif di platform-platform antarabangsa seperti Suruhanjaya Dadah Narkotik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bersuara terhadap gelombang dasar liberal yang semakin meningkat dan salah maklumat mengenai dadah," katanya.
"Jika lebih banyak pertubuhan menyertai APCD, keberkesanannya dapat digandakan.":
Sebahagian daripada usaha APCD memerlukan sokongan Pemerintah, kata Encik Shanmugam, sambil menambah Singapura komited untuk menghulurkan bantuan.
"Kami anggap pelancarannya hari ini sebagai satu langkah permulaan," kata Encik Shanmugam di pelancaran gabungan itu, sambil menjemput pertubuhan lain untuk menyertai kumpulan tersebut.
"Kita boleh memikirkan tentang pembentukan sebuah pertubuhan yang lebih besar pada masa akan datang yang boleh menghimpunkan lebih ramai individu dan pertubuhan masyarakat awam bagi melihat bagaimana kita boleh meneruskan lagi perjuangan ini," katanya.
ANCAMAN DADAH SEMAKIN MENINGKAT
Dalam ucapan pembukaannya di forum tersebut, Encik Shanmugam berkata situasi dadah global semakin bertambah buruk pada "kadar yang membimbangkan".
Encik Shanmugam berkata jumlah individu yang mengambil dadah di seluruh dunia telah meningkat sebanyak 20 peratus berbanding sedekad lalu, iaitu kepada hampir 300 juta orang pada 2022.
Beliau turut memberi amaran tentang peningkatan mendadak dalam penggunaan dadah sintetik seperti methamphetamine (meth) dan fentanyl.
Sebagai contoh, ancaman fentanyl "semakin dekat dengan kita", kata Encik Shanmugam yang menarik perhatian bahawa polis Malaysia melaporkan pada Mac lalu bahawa mereka telah mengesan fentanyl dalam ujian air kumbahan.
"Ini mencadangkan bahawa terdapat individu yang menyalahgunakan dadah fentanyl di Malaysia," katanya.
Encik Shanmugam turut memberi amaran mengenai permintaan dadah yang semakin meningkat, menyusuli pelonggaran undang-undang berkaitan ganja di seluruh dunia.
Beliau berkata tanggapan bahawa ganja adalah "dadah ringan" sebahagian besar didorong oleh entiti-entiti komersial.
Setakat 2024, 9 negara dan sekitar separuh wilayah di Amerika Syarikat membenarkan pengambilan ganja bagi tujuan riadah.
"Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah menganggarkan pada 2022, terdapat 228 juta pengguna ganja di seluruh dunia," kata Encik Shanmugam.
"Jika anda meletakkan kesemua 228 juta individu ini di satu tempat, di satu negara, mereka akan membentuk negara ketujuh terbesar di dunia. Ini adalah jumlah pengguna ganja yang diketahui."
Beliau turut menarik perhatian kepada isu dadah yang mendorong jenayah terancang, sambil menukil kes-kes di Perancis dan Mexico.
Di Asia, Myanmar dilaporkan salah satu pengeluar terbesar dadah sintetik di dunia.
Negara itu dinamakan sebagai hos jenayah terancang terbesar di dunia menurut Indeks Jenayah Terancang Global pada 2023.
PENDIRIAN TEGAS SINGAPURA TERHADAP DADAH
Di Singapura, Encik Shanmugam berkata pemerintah bertekad untuk mengekalkan pendirian tegas terhadap dadah menerusi pendekatan pencegahan bahaya.
Pendekatan tersebut menggabungkan undang-undang yang ketat, penguatkuasaan yang tegas, program pemulihan yang mantap serta pendidikan awam yang meluas.
“Pemerintah percaya bahawa rakyat kami berhak untuk hidup dalam masyarakat yang bebas daripada kancah dadah, walaupun ia mungkin dianggap sebagai ‘tidak progresif’,” katanya.
“Kebanyakan rakyat Singapura menyokongnya dan ia menjadi tanggungjawab kami untuk melindungi hak mereka.”
Encik Shanmugam sekali lagi menegaskan bahawa “sekumpulan kecil” individu yang secara aktif menyuarakan bantahan terhadap hukuman mati bagi pengedaran dadah di Singapura tidak mempertimbangkan mangsa-mangsa akibat perbuatan jenayah tersebut.
Usaha bagi membanteras penyalahgunaan dadah pula berdepan tentangan daripada industri dadah global yang mempunyai “kepentingan besar dan berpengaruh”, katanya.
“Ia mengeksploitasi golongan yang mudah terjejas, merosakkan institusi negara, melemahkan keazaman pemerintah untuk menangani masalah ini, dan menggugat struktur masyarakat, semuanya demi mengaut keuntungan,” katanya.
“Walaupun ia satu cabaran yang besar, kami harus terus berjuang kerana kami berpihak kepada moral dan kebenaran, dan ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.