SG semakin tepati sasaran latih 1,500 SGSecure Responders hulur bantuan kecemasan psikologi
Sun Xueling Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri dan Pembangunan Sosial dan Keluarga pada ketika itu (tengah), menghadiri sesi latihan bantuan kecemasan psikologi pertama Palang Merah Singapura bagi SGSecure Responders pada 6 Mei 2023. (Gambar: Palang Merah Singapura)
Sekitar 1,300 SGSecure Responders sudah selesai menjalani kursus itu, yang dilancarkan pada 2023 dan dikendalikan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri.
Para peserta diajar untuk memberikan sokongan secara tenang dan penuh belas kasihan selepas berlaku krisis.
Mereka juga akan mempelajari cara-cara untuk menilai keperluan, mendengar dengan empati sambil mengenal pasti tindak balas tekanan dan menggalakkan keselamatan.
Tumpuannya adalah untuk mengurangkan tekanan, menghormati budaya dan etika serta menjaga para mangsa yang terselamat serta responder.
Menurut Palang Merah Singapura (SRC), golongan belia, pekerja dan penjaga mendorong kenaikan hampir 20 kali ganda dalam jumlah permintaan sepanjang lima tahun lalu bagi latihan bantuan kecemasan psikologi.
Tahun lalu, SRC melatih sekitar 7,500 orang, termasuk 475 responder.
Lagi 10,000 orang dilatih oleh Akademi Responder Kecemasan Singapura.
APAKAH ITU BANTUAN KECEMASAN PSIKOLOGI?
Tidak seperti bantuan kecemasan tradisional, yang merawat luka fizikal, bantuan kecemasan psikologi tertumpu pada kecederaan emosi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar iaitu tekanan, kejutan atau kesedihan.
Ia adalah campur tangan berdasarkan bukti yang direka untuk mengurangkan tekanan berkaitan trauma dan membantu para individu pulih dari segi emosi selepas berlaku kecemasan.
Konsep itu semakin popular di seluruh dunia menyusuli serangan 9/11 di Amerika Syarikat, yang mencetuskan keperluan mendesak bagi sokongan emosi yang berstuktur.
Di Singapura, pertahanan psikologi adalah salah satu daripada enam tunggak Pertahanan Mutlak Singapura. Ia menekankan daya tahan kebangsaan apabila berdepan ketidaktentuan atau ancaman.
Pandemik COVID-19, sebagai contoh, mengubah pandangan warga Singapura terhadap kesejahteraan mental, kata Dr Jared Ng, seorang pakar psikiatri dan perunding kanan di Connections MindHealth.
"Orang ramai bercakap tentang pengasingan sosial, tentang ketidaktentuan, bagaimana ia menjejas diri mereka dan orang lain, dan lebih ramai orang semakin sedar tentang topik-topik seperti kesihatan mental," kata Dr Ng kepada Mediacorp.
Pada Jun, Singapura melancarkan talian bantuan kesihatan mental nasional - mindline 1771 - dengan dengan kaunselor terlatih menyediakan sokongan percuma sepanjang masa kepada mereka yang memerlukannya.
Kumpulan pengguna terbesarnya adalah golongan dewasa muda yang sudah bekerja, diikuti oleh golongan remaja.
"Topik kesihatan mental sememangnya kurang mendapat stigma sekarang. Orang ramai kini lebih terbuka untuk bercakap tentang keresahan, tekanan dan keletihan," kata Dr Ng.
"Sekarang saya melihat syarikat-syarikat, pasukan HR, guru-guru, pengurus-pengurus, sukarelawan akar umbi dan ibu bapa mendaftar ... mungkin kerana mereka mempunyai ahli keluarga yang mengalami tekanan kesihatan mental, rakan sekerja yang emosi mereka terganggu di tempat kerja," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.