Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG semak semula syarat perjanjian F1 di tengah-tengah tuduhan ke atas Iswaran

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Feb 2024 05:21PM Dikemas Kini : 06 Feb 2024 12:21AM
SINGAPURA: Pemerintah sedang menyemak semula syarat-syarat perjanjian perlumbaan Formula 1 Singapura, dan meminta Lembaga Pelancongan Singapura (STB) untuk melakukan audit bagi Grand Prix Singapura 2022.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Grace Fu di parlimen pada Isnin (5 Feb).

Cik Fu berkata demikian semasa menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP). Beliau tidak memberi perincian lanjut, namun sebaliknya berkata: "Para anggota akan faham bahawa saya tidak boleh mengatakan lebih lanjut mengenai perkara ini pada ketika ini."

Beberapa AP telah memfailkan pertanyaan parlimen berhubung perlumbaan F1 itu selepas mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran diberkas atas tuduhan rasuah. Kes terhadap mantan menteri itu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, masih dijalankan.

Dia berdepan 27 tuduhan: Dua bagi tuduhan rasuah, satu kerana menghalang proses keadilan dan lagi 24 kerana menerima ganjaran sebagai penjawat awam.

Cik Fu juga menjelaskan dalam jawapannya itu, bahawa beliau tidak dapat menjawab soalan-soalan berkaitan perkara yang mungkin perlu ditangani semasa perbicaraan Iswaran.

"Adalah tidak wajar untuk kami membuat spekulasi atau menentukan keputusan prosiding. Saya akan menjawab sebanyak mana yang mungkin," kata Cik Fu.

Di sidang parlimen pada Isnin, Encik Gan Thiam Poh (PAP - Ang Mo Kio) telah bertanya bagaimana Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menilai manfaat kontrak F1 itu.

Sementara itu, Encik Edward Chia (PAP - Holland-Bukit Timah), pula bertanya sama ada STB melakukan penilaian mengenai hubungan antara Iswaran dengan Encik Ong Beng Seng berhubung perlumbaan F1 itu.

Profesor Madya Jamus Lim (WP - Sengkang) juga bertanya tentang kontrak pemerintah dengan syarikat Encik Ong, manakala beberapa AP bertanya sama ada terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap proses tersebut.

Cik Fu menjelaskan bahawa STB telah memeterai kontrak pada tahun 2007, dengan GP Singapura untuk menganjurkan perlumbaan malam F1. Lembaga pelancongan itu memperbaharui kontrak tersebut sebanyak tiga kali, pada 2012, 2017 dan 2022. Kontrak itu kini dalam penggal keempat, yang akan berakhir pada 2028.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan