Skip to main content

Singapura

SG sekat hampir 100 akaun media sosial dikaitkan dengan hartawan China Guo Wengui

MHA arah X, Facebook, Instagram, YouTube & TikTok sekat 95 akaun dikaitkan dengan Guo Wengui dan badan sekutunya yang menyebarkan berita palsu tentang peralihan kepimpinan Singapura.  

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jul 2024 09:40AM Dikemas Kini : 19 Jul 2024 09:06PM
SINGAPURA: Singapura akan menyekat hampir 100 akaun media sosial yang dikaitkan dengan hartawan China yang hidup dalam buangan, Guo Wengui, yang dipercayai mungkin akan melancarkan kempen maklumat berunsur bermusuhan di sini.

Ia merupakan penguatkuasaan pertama arahan sekatan akaun media sosial di bawah Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) sejak undang-undang itu diluluskan pada Oktober 2021.

Lima platform media sosial — X, Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok — telah diarahkan untuk menyekat sebanyak 95 akaun online daripada boleh diakses oleh pengguna Singapura, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Jumaat (19 Jul).

Tiada bukti bahawa mana-mana akaun itu dikendalikan oleh warga Singapura, menurut MHA.

Arahan itu dikeluarkan selepas kementerian tersebut mengenal pasti rangkaian akaun media sosial yang dikaitkan dengan Guo dan pertubuhan-pertubuhan, yang diketahui menyebarkan maklumat yang salah merentasi pelbagai platform.

Akaun-akaun ini telah menerbitkan catatan-catatan yang mendakwa seolah-olah Singapura "di bawah pengaruh pelaku asing" dalam pemilihan pemimpin generasi keempat Singapura" dedah MHA dalam kenyataan medianya.

Arahan sekatan akaun adalah antara tindakan-tindakan yang boleh diambil di bawah FICA. Individu dan pertubuhan juga boleh ditetapkan sebagai "individu penting dari segi politik" di bawah undang-undang.

Antara 17 Apr dan 10 Mei tahun ini, 92 akaun merentas lima platform media sosial menerbitkan lebih 120 catatan yang mengandungi video mengenai peralihan tampuk kepimpinan Singapura.

Akaun-akaun tersebut dikaitkan dengan Guo dan pertubuhan-pertubuhan yang dikaitkan dengannya, New Federal State of China dan Himalaya Supervisory Organisation, dedah MHA.

New Federal State of China ialah kumpulan politik dan pelobi sayap kanan yang diwujudkan oleh Guo dan bekas penasihat Donald Trump, Steve Bannon.

Tiga lagi akaun adalah milik cabang Singapura bagi Himalaya Supervisory Organisation, yang dikenali sebagai Himalaya Singapore.

Terdapat alasan untuk mempercayai bahawa rangkaian Guo akan menggunakan 95 akaun tersebut untuk melancarkan kempen maklumat berunsur bermusuhan yang disasarkan ke atas Singapura, tegas MHA.

Kempen sedemikian boleh menjejaskan kedaulatan dan perpaduan sosial negara ini, tekan MHA.

“Kami menggesa rakyat Singapura supaya berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan dan menyebarkan maklumat online. Kita harus sentiasa menyemak fakta maklumat untuk meneliti sama ada ia tepat dan sahih berdasarkan sumber-sumber yang boleh dipercayai dan diyakini,” menurut MHA selanjutnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita