SG sekat 6 lagi laman web pelaku asing susuli ancaman kempen maklumat berniat jahat
Singapura menyekat enam lagi laman web yang dibangunkan oleh pihak asing dan berpotensi digunakan untuk melancarkan kempen maklumat berniat jahat, menurut pihak berkuasa pada Khamis (23 Apr).
Enam laman web tersebut – singaporeheadline.com, singaporeweek.com, singapore24hour.com, nanyangweekly.com, singaporebuzz.com dan sgtimes.com – menyamar sebagai saluran berita Singapura dengan meniru atau menggunakan istilah berkaitan Singapura dalam nama domainnya serta memaparkan kandungan tempatan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam satu kenyataan media.
Membina laman web yang kelihatan sahih untuk menarik pengikut tempatan, sebelum menggunakannya bagi melancarkan kempen maklumat berniat jahat, merupakan helah yang lazim digunakan pelaku asing yang berniat jahat, menurut pihak berkuasa.
Contoh-contoh di luar negara menunjukkan pelaku sedemikian mewujudkan laman web berita tidak sahih untuk menyebarkan berita palsu dan mempengaruhi sentimen penduduk yang disasarkan demi kepentingan mereka sendiri, hingga menyebabkan kesan yang serius, tambahnya.
Kempen maklumat berniat jahat boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya, menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi dan mengambil kesempatan daripada perpecahan dalam masyarakat.
Pengeluaran arahan di bawah Akta Penyiaran untuk menyekat akses kepada enam laman web tersebut bagi para pengguna di Singapura adalah demi kepentingan awam, tegas kedua-dua agensi itu.
Undang-undang yang sama turut digunakan pada Oktober 2024 untuk menyekat 10 laman web tidak sahih yang dibangunkan oleh pelaku asing.
Menurut MHA, ia mengesan enam laman web tersebut antara 2024 dan 2025 melalui pemantauan rutin.
“Kami hanya mengambil tindakan sekarang kerana masa diperlukan untuk menyiasat secara menyeluruh laman-laman web ini serta rangkaiannya, bagi menilai potensi kesannya terhadap Singapura dan sama ada ia digunakan oleh pelaku asing,” menurut kementerian itu sebagai maklum balas kepada pertanyaan Mediacorp.
Tiada satu pun daripada enam laman tersebut digunakan dalam kempen maklumat berniat jahat terhadap Singapura, dan tahap pendedahan pengguna di Singapura terhadapnya juga dinilai sebagai rendah, tambah MHA. Berdasarkan penilaian itu, pihak berkuasa memutuskan tiada keperluan untuk mengambil tindakan segera, dan membentuk pelan tindakan bagi menangani ancaman tersebut selepas siasatan selesai.
LIMA LAMAN DIBANGUNKAN PADA TARIKH YANG SAMA
Lima daripada enam laman web itu dikaitkan dengan laman dan rangkaian lain yang sebelum ini dikenal pasti oleh Kumpulan Analisis Ancaman Google serta firma keselamatan siber miliknya, Mandiant, kerana menjalankan kegiatan maklumat palsu dan tidak tepat, menurut pihak berkuasa.
Kesemua lima laman tersebut dibangunkan pada tarikh yang sama pada 2021, dikemas kini dalam tempoh yang sama pada Jun 2025, dan menjalani peningkatan yang serupa untuk menyerupai laman berita yang sah.
Lima laman pertama menyenaraikan terma dan syarat, yang kali terakhirnya dikemas kini pada 1 Disember 2020, yang menyatakan bahawa ia tertakluk kepada undang-undang Amerika Syarikat. Setiap satu turut memaparkan emel sokongan atau pentadbir; salah satu daripadanya mencatatkan alamat ibu pejabatnya di 123 Orchard Road #10-01 Singapura 238888 – iaitu pos kod dan alamat jalan yang tidak sepadan.
Kelima-lima domain tersebut kali terakhir dikemas kini pada 26 Februari 2026 dan dijadual tamat tempoh pada 28 Mac 2027. Ia dipercayai didaftarkan di Kepulauan Cayman.
Empat daripada lima laman itu memaparkan berita berkaitan Pilihan Raya Umum (GE2025) sepanjang tempoh kempen 10 hari bagi pilihan raya 2025, menurut MHA dan IMDA. Kebanyakannya tidak aktif sebelum writ pilihan raya dikeluarkan.
Sebahagian besar daripada kandungan berkaitan Singapura di lima laman tersebut diambil daripada saluran berita tempatan – CNA, The Straits Times dan Mothership – serta media luar negara seperti Bloomberg dan Business Insider, tetapi dikreditkan kepada laman itu sendiri.
“Tindakan sedemikian boleh mengelirukan para pembaca sehingga mempercayai bahawa laman tersebut merupakan portal berita Singapura yang sah dan kandungan yang diterbitkan mencerminkan pendirian rasmi atau sentimen tempatan,” menurut MHA dan IMDA.
Laman keenam, sgtimes.com, turut menampilkan diri sebagai saluran berita arus perdana Singapura. Tajuk kecilnya berbunyi “Singapore News and Travel”, dan sebahagian besar laman itu memaparkan kandungan berkaitan Singapura. Pada Julai 2025, ia menerbitkan satu rencana yang menggambarkan pihaknya sebagai salah satu media arus perdana Singapura dengan “jumlah kunjungan bulanan yang tinggi”.
“Rakyat Singapura perlu terus berwaspada apabila mengakses kandungan online dan peka terhadap laman-laman tidak sahih seperti ini serta ancaman yang dibawanya,” menurut MHA dan IMDA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.