Skip to main content

Singapura

SG sedia langkah ke hadapan dengan yakin di tengah ketidaktentuan global: SM Lee

Singapura bersedia untuk terus melangkah ke hadapan di tengah-tengah keadaan global yang tidak menentu, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong hari ini (22 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Feb 2025 09:05PM Dikemas Kini : 23 Feb 2025 12:31AM
  • "Kami ada perancangan yang kukuh untuk membolehkan Singapura melangkah ke hadapan dengan yakin − perancangan bagi tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang," kata Encik Lee di Majlis Anugerah Merit Pendidikan Teck Ghee di Sekolah Rendah Townsville.
  • Sebahagian daripada rancangan masa depan negara sudah dibentangkan dalam ucapan Belanjawan 2025 Perdana Menteri Lawrence Wong baru-baru ini.
  • Pemerintah juga sudah melabur dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja melalui program Peningkatan Kemahiran SkillsFuture.
  • Kata Encik Lee, "Kami memerlukan rakyat Singapura untuk memainkan peranan anda juga − untuk kekal bersatu sebagai satu bangsa; untuk menyokong pemerintah yang berwibawa dalam mentadbir dan memimpin Singapura dengan baik; untuk bekerjasama dari tahun ke tahun, merealisasikan impian; dan memastikan Singapura terus bersinar untuk bertahun-tahun yang akan datang."
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura bersedia untuk terus melangkah ke hadapan di tengah-tengah keadaan global yang tidak menentu, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong hari ini (22 Feb).

Beliau menambah, rakyat tidak perlu bimbang atau takut kerana pemerintah sudah lama bersiap sedia untuk menghadapi situasi sedemikian.

"Kami ada perancangan yang kukuh untuk membolehkan Singapura melangkah ke hadapan dengan yakin − perancangan bagi tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang," kata Encik Lee di Majlis Anugerah Merit Pendidikan Teck Ghee di Sekolah Rendah Townsville

Sekalipun demikian, beliau menekankan pemerintah tidak mampu melakukannya sendiri dan memerlukan rakyat Singapura untuk kekal bersatu serta memberikan sokongan.

Kenyataan tersebut dibuat dalam konteks persekitaran antarabangsa yang sentiasa berubah-ubah.

Encik Lee turut menarik perhatian kepada pentadbiran baharu Amerika yang "pada dasarnya berpegang kepada pandangan dunia berbeza".

"Amerika sudah membuat perubahan dasar yang drastik, yang membawa kesan besar bukan sahaja kepada Amerika tetapi juga kepada negara lain," kata Encik Lee, sambil merujuk kepada pendekatan negara itu terhadap pertahanan, Ukraine, China, dan tarif perdagangan.

Beliau berkata pemerintah tidak dapat meramalkan dengan tepat bagaimana keadaan akan berkembang dan bagaimana ia akan memberi kesan terhadap Singapura.

"Tetapi kita boleh yakin bahawa Singapura akan berdepan persekitaran yang sangat berbeza di masa hadapan. Kita mesti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, dan itu bermakna kita harus bersiap sedia dan kekal bersatu."

SOKONGAN BERTERUSAN

Sebahagian daripada rancangan masa depan negara sudah dibentangkan dalam ucapan Belanjawan 2025 Perdana Menteri Lawrence Wong baru-baru ini.

Antaranya termasuk sokongan berterusan untuk isi rumah dalam menangani tekanan kos, seperti Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) tambahan dan rebat U-Save. Keluarga juga akan menerima S$500 bagi setiap anak dalam bentuk kredit LifeSG, dengan lebih banyak bantuan diberikan kepada mereka yang mempunyai lebih daripada dua anak.

"Jika anda mempunyai anak ketiga, anda akan menerima sokongan yang sangat bermurah hati daripada pemerintah, baik untuk anak itu mahupun ibunya. Keluarga berpendapatan rendah juga akan mendapat bantuan tambahan. Jadi, dari segi kos, kami melakukan banyak perkara," kata Encik Lee.

Pemerintah juga sudah melabur dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja melalui program Peningkatan Kemahiran SkillsFuture. Inisiatif yang menyediakan elaun bagi pekerja pertengahan kerjaya berusia 40 tahun dan ke atas yang mengikuti kursus latihan tersebut akan diperluaskan bagi merangkumi program separuh masa.

Dalam aspek kemampanan, Singapura memperuntukkan tambahan S$5 bilion tahun ini untuk membiayai skim perlindungan pantai dan banjir agar negara menjadi negara lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

"Suhu mungkin semakin panas, dan paras laut dijangka meningkat. Tetapi kita memastikan diri kita selamat dan bebas daripada banjir," kata Encik Lee.

Dari segi memperkukuh enjin pertumbuhan negara, Singapura melabur dalam kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum, serta prasarana seperti Terminal 5 di Changi. Singapura juga sedang berusaha mendapatkan sumber tenaga bersih, seperti elektrik rendah karbon dari rantau ini, dan turut meneroka kemungkinan untuk menjana tenaga nuklear.

BELANJAWAN BAGI SETIAP WARGA SINGAPURA

Encik Lee turut menambah bahawa Belanjawan 2025 adalah belanjawan bagi setiap warga Singapura, mencerminkan komitmen pemerintah dalam membentuk satu masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif.

"Belanjawan ini memberi lebih banyak tumpuan kepada keluarga berpendapatan rendah, tetapi keluarga yang lebih berkemampuan juga menerima sesuatu, termasuk mereka yang tinggal di hartanah persendirian," katanya, merujuk kepada baucar CDC.

Inisiatif seperti Baucar Iklim dan program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (EASE) turut diperluas kepada pemilik hartanah persendirian.

"Dan sudah tentu, tahun ini adalah SG60 − ulang tahun ke-60 Singapura. Setiap orang dewasa akan menerima baucar SG60 tanpa mengira pendapatan − sama ada S$600 atau S$800, bergantung pada umur anda. Jika anda sudah banyak beruban, anda akan mendapat lebih banyak sedikit," kata Encik Lee.

"Itulah cara kita semua untuk maju bersama − semua dapat berkongsi manfaat daripada kemajuan negara kita."

Encik Lee mengakhiri ucapannya dengan menegaskan bahawa pemerintah tidak mampu melakukannya secara bersendirian.

"Kami memerlukan rakyat Singapura untuk memainkan peranan anda juga − untuk kekal bersatu sebagai satu bangsa; untuk menyokong pemerintah yang berwibawa dalam mentadbir dan memimpin Singapura dengan baik; untuk bekerjasama dari tahun ke tahun, merealisasikan impian; dan memastikan Singapura terus bersinar untuk bertahun-tahun yang akan datang."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita