Skip to main content

Singapura

SG sedia bantu Indonesia padam kebakaran hutan: Grace Fu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Oct 2026 11:23AM Dikemas Kini : 06 Nov 2026 01:56AM
Singapore ready to help Indonesia extinguish forest fires: Grace Fu
  • Singapore is ready to help Indonesia extinguish the forest fires that triggered the haze, after Grace Fu contacted Minister Jumhur Hidayat on Saturday, Oct 10.
  • Singapore's air quality remained unhealthy, with the highest 24-hour PSI this season recorded in the central region on Friday, ahead of the Formula 1 Grand Prix.
  • The NEA-led Haze Task Force has prepared measures covering health, schools, workplaces, transport and sports, including plans for if the PSI exceeds 200.
  • Indonesia is facing its worst fires in 11 years, has set up a new agency and suspended 57 companies, while Japan and Malaysia have offered assistance.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Singapura bersedia membantu Indonesia memadamkan kebakaran hutan di mana sahaja bantuan diperlukan di tengah-tengah jerebu yang berterusan, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Sabtu (10 Okt).

Cik Fu berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatannya dari Indonesia, Menteri Jumhur Hidayat, serta menawarkan sokongan dan menyuarakan penghargaan terhadap usaha yang dilakukannya untuk membendung kebakaran hutan di negara itu.

“Kami sedia maklum bahawa usaha sedang dijalankan. Kami bersedia membantu sedaya upaya,” katanya.

Beliau turut menyokong usaha serantau untuk membincangkan kerjasama dalam menangani isu jerebu.

“Kami prihatin terhadap kesejahteraan rakyat kami. Kami memantau keadaan dengan rapi dan sudah menyediakan pelan. Kami akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk melindungi kesihatan awam rakyat Singapura,” katanya.

Mutu udara di seluruh Singapura kekal pada tahap tidak sihat pada Sabtu, meskipun bacaannya turun sedikit sepanjang Jumaat malam.

Pada pukul 9.00 pagi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam ialah 174 di bahagian tengah Singapura, 160 di barat, 156 di timur, 135 di selatan dan 124 di utara.

Pada Jumaat, PSI 24 jam meningkat secara berterusan sepanjang pagi. Menjelang pukul 5.00 petang, kesemua lima kawasan berada pada tahap tidak sihat, dengan kawasan tengah mencatatkan PSI 192, iaitu paras tertinggi bagi musim jerebu 2026.

Dalam catatan media sosial pada Jumaat, Cik Fu berkata pemerintah memantau keadaan jerebu dengan teliti menjelang perlumbaan Grand Prix Singapura Formula 1 pada hujung minggu 11 Oktober. Beliau menambah bahawa tiada rancangan untuk mengubah kegiatan hiburan luar buat masa ini.

“Kami mempunyai pelan luar jangka bagi pelbagai tahap PSI dan PM2.5, termasuk memaklumkan perkembangan terkini jerebu kepada mereka yang berada di litar perlumbaan serta menyediakan bantuan perubatan dan pelitup muka N95 di lokasi sekiranya diperlukan.”

Related article image
Max Verstappen (Red Bull) memandu melepasi F1 Paddock Club semasa sesi latihan bebas dalam keadaan berjerebu di Grand Prix Formula 1 Singapura pada 9 Oktober 2026. (Gambarf: CNA/Alyssa Tan)

Pasukan Bertindak Jerebu turut mengumumkan beberapa langkah persediaan sekiranya PSI 24 jam melebihi 200.

Pasukan itu mengeluarkan nasihat pada Jumaat yang meliputi beberapa bidang, termasuk kesihatan, sekolah, tempat kerja, pengangkutan dan kegiatan sukan.

Kementerian Pendidikan (MOE) akan mempertimbangkan penutupan sekolah jika ramalan mutu udara bagi keesokan hari berada pada tahap berbahaya, dengan PSI 24 jam melebihi 300.

Institusi jagaan kesihatan, termasuk hospital awam, poliklinik dan rumah jagaan, telah mengaktifkan langkah kesediaan jerebu. Langkah itu termasuk menggunakan penapis udara, menutup tingkap di wad dan koridor serta mengurangkan suhu persekitaran menggunakan penyejuk udara mudah alih jika sesuai.

Pasukan bertindak itu turut menyatakan bahawa jabatan-jabatan Home Team di bawah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyelaraskan latihan dan kegiatan luar anggota mereka mengikut paras PSI 24 jam.

Majikan turut diingatkan supaya mengutamakan kesihatan dan keselamatan pekerja, khususnya mereka yang bekerja di luar bangunan.

Bagi kegiatan sukan, peserta, penganjur dan pengendali kemudahan dinasihatkan supaya memantau mutu udara dengan teliti serta menyesuaikan kegiatan dan operasi mereka sewajarnya.

Pasukan Bertindak Jerebu diketuai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan dianggotai 28 agensi pemerintah.

Indonesia sedang bergelut menangani kebakaran hutan dan tanah terburuk dalam tempoh 11 tahun, dengan fenomena El Nino super memburukkan lagi kebakaran.

Angka rasmi menunjukkan sekitar 202,000 hektar kawasan terbakar antara Januari dengan Julai. Namun, anggaran berdasarkan satelit menunjukkan kawasan terbakar meningkat kepada hampir 896,000 hektar menjelang akhir Ogos.

Baru-baru ini, Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengarahkan penubuhan sebuah agensi nasional baharu untuk menyelia pengurusan, pemulihan dan pemuliharaan tanah gambut serta hutan bakau. Agensi itu juga akan menerajui usaha mencegah kebakaran hutan, khususnya di kawasan yang sering mengalami kebakaran berulang kali.

Pihak berkuasa turut mempergiat penguatkuasaan dengan menggantung operasi 57 syarikat selepas pemeriksaan mendapati lebih 34,000 hektar tanah terbakar dalam kawasan masing-masing.

Negara-negara jiran dan rakan-rakan antarabangsa turut meningkatkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu.

Jepun telah mengerahkan tiga helikopter Chinook untuk menyertai operasi penyiraman air dari udara di Kalimantan Barat pada September.

Malaysia turut menawarkan pesawat, helikopter dan anggota untuk membantu usaha memadam kebakaran, dengan Presiden Prabowo menyatakan kesediaan menerima bantuan itu.

Menurut laporan media Malaysia, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata Presiden Prabowo bersetuju mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menangani jerebu yang menjejas Malaysia, selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbualan telefon awal minggu 5 Oktober.

Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita