SG sedia aktifkan pelan tindak balas jerebu; amaran ASEAN dinaikkan ke Tahap 2
Singapura bersedia mengaktifkan pelan tindak balasnya sekiranya jerebu rentas sempadan menjejaskan mutu udara negara ini, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu pada Rabu (5 Ogos), selepas sebuah pusat pemantauan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) menaikkan tahap amaran bagi rantau ini.
Latar langit Singapura diselubungi jerebu, dilihat dari Batam di Kepulauan Riau, Indonesia. (Gambar fail: AFP/Bay Ismoyo)
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada Isnin menaikkan tahap amaran kepada Tahap 2, iaitu tahap kedua tertinggi, yang menandakan peningkatan risiko jerebu rentas sempadan di rantau ini.
Cik Fu berkata agensi-agensi pemerintah yang menganggotai Pasukan Petugas Jerebu bersedia melaksanakan langkah masing-masing sekiranya keadaan bertambah buruk.
"Kami telah memastikan stok pelitup negara mencukupi, dan sekolah, prasekolah serta kemudahan kediaman dan jagaan dilengkapi dengan penapis udara," kata beliau dalam satu jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan Anggota Parlimen Joan Pereira (PAP-Tanjong Pagar GRC).
"Keutamaan kami adalah untuk melindungi kesihatan orang ramai, khususnya golongan yang rentan, serta memastikan kehidupan harian dan perkhidmatan penting dapat diteruskan seperti biasa."
AMARAN TAHAP 2
Rantau selatan ASEAN kini memasuki musim kering.
Keadaan cuaca tahun ini dijangka lebih panas dan kering disebabkan oleh fenomena El Nino, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran dan kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan.
Amaran Tahap 2 turut menunjukkan peningkatan kegiatan titik-titik panas, dengan jerebu sederhana hingga tebal diperhatikan selama dua hari berturut-turut atau lebih.
Berdasarkan pemantauan satelit pada Rabu, ASMC menyatakan beberapa titik panas dikesan, terutamanya di Sumatra dan Kalimantan, Indonesia.
"Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) menjangkakan cuaca kering di rantau ini sepanjang minggu depan, yang boleh meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan menjejaskan Singapura sekiranya pembakaran di Kalimantan dan selatan Sumatra bertambah buruk," kata Cik Fu.
"Kami sedang memantau keadaan ini dengan teliti."
Sebagai maklum balas terhadap peningkatan risiko tersebut, pihak berkuasa telah memperhebatkan usaha komunikasi awam bagi membantu orang ramai dan pertubuhan membuat persediaan.
Sejak Mei, agensi-agensi berkaitan telah mengeluarkan nasihat menerusi media, kandungan di media sosial serta video pendidikan bagi meningkatkan kesedaran berhubung risiko jerebu dan langkah-langkah perlindungan, kata Cik Fu.
"Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan terus bekerjasama dengan pihak media bagi menyokong penyampaian maklumat tepat pada masanya berhubung mutu udara dan nasihat kesihatan, supaya sekolah, majikan dan orang ramai dapat mengikuti perkembangan serta mengambil tindakan yang sewajarnya jika mutu udara terjejas," tambah beliau.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini menerusi laman web NEA, laman mikro jerebu, aplikasi myENV serta saluran media sosial agensi berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.