SG secara rasmi diperuntuk 900 tempat bagi musim haji 2024
SINGAPURA: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memberi Singapura kuota rasmi sebanyak 900 jemaah untuk menunaikan ibadah Haji tahun ini.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (8 Jan), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, telah menandatangani perjanjiannya dengan Kementerian itu, semasa beliau menghadiri Pameran dan Persidangan Haji dan Umrah di Jeddah, Arab Saudi.
Kesemua 900 tempat yang disediakan Saudi itu telah diperuntukkan kepada para jemaah yang layak berdasarkan nombor giliran pendaftaran mereka dalam Sistem Pendaftaran Haji Awal (AHRS).
Singapura juga diberi peruntukan 900 tempat untuk menunaikan haji pada 2023.
MUIS sudah menghubungi bakal jemaah yang telah dipilih pada bulan lalu melalui portal MyHajSG, kata Encik Masagos dalam catatan Facebooknya pada Isnin.
“Mereka menerima surat tawaran menunaikan haji tahun ini dan notis awal itu memberikan mereka lebih banyak masa bagi membuat persiapan lebih awal seperti aturan untuk permohonan cuti, penjagaan keluarga serta bersiap sedia dari segi rohani, jasmani dan kewangan,”tambah Encik Masagos.
Kesemua 900 bakal jemaah itu sudah mengesahkan akan menunaikan haji tahun ini dan mendapatkan pakej haji mereka daripada ejen-ejen pelancongan yang diluluskan MUIS.
Oleh itu, terdapat 54,000 jemaah yang masih menunggu giliran mereka dalam AHRS, kata MUIS.
Sejak tahun lalu, pendaftaran untuk menunaikan haji dilakukan melalui portal MyHajSG. Setiap pendaftaran termasuk yuran permohonan.
Bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025, yuran permohonan berharga S$285 bagi setiap pemohon, seperti yang tertera di laman web MUIS.
Ia dinaikkan kepada S$330 mulai 1 Januari 2026.
Jumlah tersebut tidak termasuk Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST), tambah MUIS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.