Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG sasar perkukuh peranan sebagai hab digital, meterai kerjasama dengan EU

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapura sedang berusaha untuk mengukuhkan peranannya sebagai sebuah pusat perniagaan dan hab digital di peringkat global dan rantau ini.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan S Iswaran pada Selasa (31 Jan).

Bercakap kepada wartawan menerusi Zoom ketika dalam lawatan ke Brussels dan London, Encik Iswaran berkata: "Sama ada aliran data, sama ada analitik untuk dapatan yang boleh diperluaskan atau diguna pakai bagi rantau ini dan seterusnya, kegiatan-kegiatan sedemikian meletakkan asas di Singapura."

"Ia adalah jenis kegiatan yang intensif pengetahuan, teknologi tetapi juga data yang ingin kami bina untuk menjadi satu lagi tunggak dalam ekonomi kita sedang kita melangkah ke era digital baru ini."

Pada Selasa, Encik Iswaran dan Pesuruhjaya Eropah bagi Pasaran Dalaman Thierry Breton memeterai Perjanjian Digital EU-Singapura.

"Perjanjian sedemikian meningkatkan ketersambungan data kami, mewujudkan peraturan tentang aliran data dengan penuh yakin, kepercayaan, supaya pihak-pihak boleh berurus niaga dan kita boleh menjadi salah satu pusat bagi aliran data sedemikian, seperti cara kita muncul sebagai pusat bagi aliran modal dan barangan serta perkhidmatan," kata Encik Iswaran.

Kerjasama digital tersebut merupakan rangka kerja menyeluruh bagi semua bidang kerjasama digital dua hala antara Kesatuan Eropah dan Singapura, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan dalam satu kenyataan media berasingan.

Ia termasuk memudahkan dagangan digital, pengaliran data yang dipercayai, pembayaran elektronik serta piawai dan pematuhan.

Ia juga merangkumi bidang-bidang baru dan bakal muncul termasuk kecerdasan buatan (AI), identiti digital dan 5G atau 6G.

Encik Iswaran menarik perhatian bahawa terdapat "keinginan yang jelas" dari semua pihak untuk memulakan rundingan berhubung perjanjian tersebut pada tahun ini.

EU merupakan rakan digital kedua terbesar bagi khidmat perdagangan dan keempat terbesar bagi barangan perdagangan. Menurut Encik Iswaran, Singapura juga merupakan rakan perdagangan terbesar EU di ASEAN.

Beliau menambah bahawa terdapat sekitar 12,000 perniagaan EU di Singapura.

"Terdapat momentum yang baik dari segi perdagangan," kata Encik Iswaran, sambil menambah bahawa secara keseluruhan,dagangan barangan sudah berkembang kira-kira 10 peratus dari segi nilai.

Kerjasama tersebut bakal memanfaatkan perniagaan, terutama sekali syarikat kecil dan sederhana (SME), kata Encik Iswaran yang juga merupakan Menteri Pengangkutan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan