SG sambut baik gencatan senjata Iran-Israel, gesa semua pihak patuhinya
Kementerian Luar Negeri (MFA) Singapura pada Rabu (25 Jun) menyatakan ia menyambut baik gencatan senjata yang baru diumumkan antara Israel dengan Iran.
"Kami menggesa semua pihak untuk mematuhinya, dan untuk kembali ke landasan diplomasi dan dialog," tambahnya.
Pada Selasa, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dengan Iran sudah dicapai, walaupun kedua-dua pihak menuduh satu sama lain melanggar perjanjian itu sejurus selepas ia berkuat kuasa.
Encik Trump mengkritik Israel atas skala pelanggarannya, menyuruhnya untuk "bertenang sekarang", dan kemudian berkata Israel membatalkan serangan lanjut.
Menteri pertahanan Israel, Israel Katz, berkata beliau memberitahu rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, Pete Hegseth, bahawa negaranya akan menghormati gencatan senjata melainkan Iran melanggarnya.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian juga berkata Iran akan menghormati gencatan senjata selagi Israel berbuat demikian, menurut media Iran.
Amerika Syarikat menyertai kempen Israel pada 22 Jun.
Encik Trump mendakwa serangan itu "memusnahkan sepenuhnya" tapak nuklear utama Iran, tetapi penilaian perisikan Amerika Syarikat dilaporkan menentukan bahawa serangan itu hanya melambatkan program nuklear Tehran selama beberapa bulan.
Sebagai tindak balas kepada serangan itu, Iran melancarkan peluru berpandu ke pangkalan udara Amerika di Qatar. Tiada kecederaan dilaporkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.