Skip to main content

Singapura

SG saksikan tahap kepuasan tertinggi dalam kalangan pekerja hijrahan; 95% puas hati dengan keadaan kerja

Lebih 95 peratus pekerja hijrahan yang ditinjau oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tahun lalu berpuas hati dengan keadaan kerja dan kehidupan mereka di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
SG saksikan tahap kepuasan tertinggi dalam kalangan pekerja hijrahan; 95% puas hati dengan keadaan kerja

Para pekerja di sebuah tapak binaan di Singapura pada 14 September 2021. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 21 Aug 2025 05:56PM Dikemas Kini : 21 Aug 2025 07:52PM
SINGAPURA: Lebih 95 peratus pekerja hijrahan yang ditinjau oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tahun lalu berpuas hati dengan keadaan kerja dan kehidupan mereka di Singapura.

Menurut dapatan Tinjauan Pengalaman Pekerja Hijrahan MOM yang dikeluarkan pada Khamis (21 Ogos), 95.3 peratus pekerja hijrahan pada 2024 melaporkan bahawa mereka berpuas hati dengan kerja dan kehidupan mereka di Singapura, meningkat daripada 86.3 peratus pada 2018.

Ini menandakan tahap kepuasan tertinggi yang pernah dicatat sejak tinjauan itu dijalankan buat pertama kali pada 2011.

Dalam kalangan mereka yang ditinjau, 96.7 peratus berkata mereka berhasrat untuk terus bekerja dengan majikan sedia ada atau kembali ke Singapura pada masa depan, naik daripada 91.9 peratus pada 2018.

MOM menyatakan bahawa ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap Singapura sebagai destinasi pilihan untuk bekerja.

“Kami berasa terdorong dengan tahap kepuasan pekerja yang tinggi dan semakin meningkat, di samping kepercayaan berterusan mereka terhadap peranan kawal selia MOM,” menurut kementerian itu.

“Penerapan meluas bagi amalan pengambilan pekerja yang adil serta kadar pengekalan pekerja yang tinggi menggambarkan satu sistem yang berfungsi dengan baik.”
Selaras dengan trend sentimen yang bertambah baik, 92.3 peratus pekerja hijrahan yang ditinjau tahun lalu berkata bahawa mereka akan mengesyorkan Singapura sebagai tempat untuk bekerja, berbanding 84 peratus pada 2018.

Lima sebab utama yang disebutkan ialah persekitaran kerja yang selamat di Singapura, yang diketengahkan oleh 84.4 peratus responden, diikuti dengan gaji yang tinggi (71.2 peratus), perlindungan pekerja yang mencukupi (65.2 peratus), keadaan hidup yang baik (46 peratus), dan pekerjaan yang stabil (44.1 peratus).

Dalam kalangan mereka yang ditinjau, 97 peratus bersetuju bahawa MOM didapati berkesan dalam melindungi mereka, dengan peratusan sama melaporkan bahawa keadaan kerja mereka terasa selamat.

Kedua-dua petunjuk itu meningkat berbanding sekitar 87 peratus pada 2018.

Kira-kira 89.3 peratus pekerja hijrahan juga mendapati ia mudah bagi mereka untuk mendekati MOM bagi hal-hal berhubung pekerjaan, berbanding 82.8 peratus pada 2018.

Kepercayaan (trust) di tempat kerja juga kelihatan kukuh, dengan 99.5 peratus responden berkata bahawa mereka akan mendapatkan bantuan penyelia atau majikan jika berlaku kecederaan di tempat kerja.

“Melalui kerjasama rapat antara pemerintah, majikan, pekerja dan pihak berkepentingan seperti pengendali asrama serta pertubuhan bukan pemerintah, kami telah membuat penambahbaikan yang ketara terhadap kesejahteraan para pekerja hijrahan dan terus mengekalkan persekitaran kerja positif buat mereka,” menurut MOM.

“Pekerja hijrahan kami memainkan peranan penting dalam membina negara kita, dan kesejahteraan mereka kekal sebagai keutamaan penting bagi MOM,” tambah Menteri Negara Tenaga Manusia, Dinesh Vasu Dash.

Kementerian itu juga menekankan bahawa rangka kerja kawal selia yang kukuh dan “langkah-langkah progresif” berjaya menyemai kepercayaan dan keyakinan terhadap Singapura sebagai tempat untuk bekerja.

Dapatan lain daripada tinjauan itu turut menunjukkan hampir semua pekerja menggunakan kaedah pembayaran gaji elektronik, dengan 92 peratus pekerja hijrahan menerima gaji ke akaun bank mereka secara langsung.

Selain itu, 88.5 peratus berkata mereka diberikan pilihan bagi aturan makanan mengikut kehendak mereka - lazimnya memasak sendiri atau membeli makanan dari gerai - mencerminkan keprihatinan majikan terhadap pilihan para pekerja.

Bagi penyimpanan dokumen peribadi pula, peratusan pekerja hijrahan yang menyimpan pasport sendiri meningkat daripada 38.8 peratus pada 2018 kepada 68.4 peratus pada 2024.

Dalam kalangan pekerja hijrahan yang tidak menyimpan pasport mereka sendiri, 83.3 peratus melaporkan pada 2024 bahawa pasport mereka dipulangkan apabila diminta, naik daripada 70.4 peratus pada 2018.

TINJAUAN PERTAMA MAJIKAN PEKERJA HIJRAHAN

Pada Khamis, MOM turut mengeluarkan dapatan daripada Tinjauan Majikan Pekerja Hijrahan yang dijalankan buat julung kalinya, yang menunjukkan bahawa majikan secara umumnya melaporkan sentimen positif terhadap pekerja mereka.

Menurut MOM, tinjauan tersebut dijalankan bagi memahami perspektif majikan berhubung pengambilan dan pengurusan tenaga kerja hijrahan mereka.

Dalam kalangan majikan yang ditinjau pada 2024, 70.8 peratus menyatakan kepuasan terhadap mutu pekerja hijrahan mereka, manakala hanya 1.4 peratus melaporkan rasa tidak puas hati. Baki 27.8 peratus bersikap neutral.
Dari segi pengekalan pekerja, 75.2 peratus majikan menyatakan bahawa pihaknya sudah memperbaharui permit kerja bagi lebih 80 peratus daripada tenaga kerja hijrahan mereka, menunjukkan hubungan pekerjaan yang stabil.

Pihak majikan juga proaktif dalam mengekalkan pekerja, dengan 88.8 peratus daripada mereka yang ditinjau menawarkan faedah untuk menggalakkan pekerja kekal bekerja dengan mereka. Kenaikan gaji merupakan kaedah yang paling kerap digunakan pada kadar 81.7 peratus.

Melangkaui keperluan wajib, 80.6 peratus majikan menyediakan latihan tambahan untuk meningkatkan kemahiran pekerja hijrahan mereka.

Ini menunjukkan “komitmen untuk mengekalkan tenaga kerja hijrahan yang mahir,” menurut MOM.

Banyak majikan (81.7 peratus) juga berpendapat bahawa perlindungan insurans perubatan wajib yang ditetapkan MOM adalah mencukupi.

Encik Dinesh berkata: “Dapatan tinjauan kami mengesahkan impak positif daripada usaha berterusan untuk meningkatkan standard, mempertingkat kebolehdiaman (liveability) dan jagaan bagi pekerja hijrahan kami.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan majikan, pengendali asrama dan rakan masyarakat untuk memastikan pekerja kami dapat bekerja dalam keadaan yang selamat, di samping membantu mewujudkan suasana seperti di rumah biarpun mereka jauh dari rumah.”

PERKARA YANG PERLU DIBERI PERHATIAN

Walaupun sentimen dalam kalangan pekerja hijrahan dan majikan pada umumnya positif, dapatan tinjauan menunjukkan bahawa akses kepada tenaga kerja mahir merupakan satu aspek yang memerlukan lebih banyak perhatian.

MOM merujuk kepada “kesukaran yang semakin meningkat” yang dilaporkan para majikan untuk mendapatkan pekerja dengan kemahiran yang sesuai.

Walaupun 47.5 peratus majikan yang ditinjau merasakan mereka mempunyai akses yang baik kepada pekerja hijrahan secara keseluruhan, hanya 27.3 peratus menyatakan ia mudah untuk mendapatkan pekerja hijrahan dengan kemahiran yang relevan.

Ini menunjukkan ada ruang untuk penambahbaikan bagi membolehkan majikan mengambil pekerja lebih mahir, khususnya bagi peranan-peranan yang lebih khusus, menurut MOM.

Encik Dinesh menambah bahawa pihak kementerian sedang menilai semula rangka kerja Permit Kerja bagi memberikan majikan akses lebih baik kepada pekerja hijrahan berkemahiran tinggi, yang seterusnya akan menyokong transformasi ke arah tenaga kerja “bermutu tinggi”.

MOM juga memaklumkan bahawa ia akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama untuk “menambah baik keadaan hidup pekerja dan menyokong kesejahteraan mereka”.

Tinjauan Majikan dan Pengalaman Pekerja Hijrahan adalah sebahagian daripada usaha berterusan MOM untuk lebih memahami pengalaman pekerja hijrahan yang bekerja dan menetap di Singapura, serta perspektif majikan dalam pengambilan pekerja dan pengurusan tenaga kerja hijrahan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita