Skip to main content

Singapura

SG sahkan 2 kes mpox jangkitan tempatan; risiko terhadap orang awam adalah rendah

Anggaran Waktu Membaca:
SG sahkan 2 kes mpox jangkitan tempatan; risiko terhadap orang awam adalah rendah

Mikrograf elektron berwarna penularan zarah virus mpox yang ditemui dalam sel yang dijangkiti. (Gambar fail: Reuters/NIAID)

Diterbitkan : 02 Apr 2026 07:31PM Dikemas Kini : 02 Apr 2026 07:40PM
  • Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) mengesahkan dua kes mpox klad lb di Singapura, melibatkan dua lelaki yang dijangkiti melalui aktiviti seksual.
  • Kedua-dua pesakit berada dalam keadaan stabil dan kini menjalani pengasingan di rumah sehingga semakan klinikal lanjut.
  • CDA menjalankan siasatan dan pengesanan kontak, serta menyarankan vaksinasi kepada kontak berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan.
  • Orang ramai diingatkan agar mengelakkan aktiviti seksual berisiko tinggi dan mengamalkan langkah kebersihan, manakala vaksin mpox tersedia untuk kumpulan berisiko di beberapa klinik.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Dua kes jangkitan mpox klad lb disahkan di Singapura, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada Khamis (2 Apr).

"Kedua-duanya berkemungkinan besar dijangkiti melalui aktiviti seksual, dan berada dalam keadaan stabil," tambah agensi itu.

"Memandangkan mpox kebanyakannya disebarkan melalui sentuhan fizikal intim atau berpanjangan, termasuk hubungan seksual, risiko kepada orang ramai pada masa ini adalah rendah."

Kes pertama ialah seorang lelaki berusia 30 tahun tanpa sejarah perjalanan baru-baru ini dan yang melaporkan mempunyai hubungan seksual baru-baru ini, menurut CDA.

Dia mengalami gejala pada 25 Mac dan dimasukkan ke hospital pada 30 Mac. Pada 31 Mac, ujian makmal mengesahkan jangkitan mpox.

Lelaki itu berada dalam keadaan stabil dan sudahpun dibenarkan pulang, menurut CDA, sambil menambah bahawa dia diletakkan dalam pengasingan di rumah sehingga 20 April, sementara menunggu semakan klinikal lanjut.

Kes kedua, seorang lelaki berusia 34 tahun, melaporkan sejarah perjalanan baru-baru ini dan hubungan seksual, dan mempunyai "sentuhan fizikal berpanjangan" dengan kes pertama baru-baru ini, menurut CDA.

Dia mengalami gejala pada 26 Mac dan mendapatkan rawatan perubatan pada 31 Mac. Pada 1 April, ujian makmal mengesahkan jangkitannya.

Dia juga berada dalam keadaan stabil dan kini diletakkan dalam pengasingan di rumah sehingga 21 April, sementara menunggu semakan klinikal lanjut.

"Siasatan dan pengesanan kontak sedang dijalankan untuk kedua-dua kes. Kontak rapat mereka dinasihatkan untuk memantau kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan perubatan jika mereka tidak sihat. Kontak berisiko tinggi akan disyorkan vaksinasi mpox sebagai profilaksis selepas pendedahan," menurut CDA.

Menurut data yang diterbitkan di laman CDA, terdapat tujuh kes mpox setakat ini, berbanding empat kes bagi keseluruhan 2025. Sehingga kini, semua jangkitan mpox yang dikesan adalah jangkitan Klad IIb.

Klad 1 adalah subjenis mpox yang lebih menyebabkan kematian. Jenis bermutasi - klad 1b - mula-mula muncul pada September 2023 dan pertama kali dikesan dalam kalangan pekerja seks di Republik Demokratik Congo. Ia menyebabkan lonjakan kes di negara-negara Afrika pada 2024.

Gejala mpox yang biasa termasuk ruam, demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, dan nodus limfa bengkak.

"Mpox kebanyakannya disebarkan melalui sentuhan fizikal intim atau berpanjangan, termasuk hubungan seksual. Oleh itu, vaksinasi seluruh penduduk tidak disyorkan."

Agensi itu menambah bahawa bagi kumpulan yang berisiko tertinggi, vaksin mpox boleh didapati atas dasar bayaran sendiri, di Klinik Jabatan Kawalan Jangkitan Kelamin, Klinik Perubatan Tanjong Pagar, Pusat Perubatan Dr Jay, dan Anteh Dispensary.

Ia juga akan tersedia di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) mulai Mei 2026 dan seterusnya.

"Orang ramai harus sentiasa berwaspada dan melindungi diri mereka daripada mpox dengan mengelakkan aktiviti seksual berisiko tinggi, seperti terlibat dalam hubungan seks santai atau mempunyai ramai pasangan seksual.

"Selain itu, pengembara ke negara yang terjejas oleh mpox harus mengamalkan kebersihan tangan yang baik, mengurangkan sentuhan fizikal dengan orang yang tidak sihat dan mengelakkan memakan daging haiwan liar."
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita