Skip to main content

Singapura

SG rintis sistem caj berasaskan lokasi ERP 2 untuk LTA kumpulkan maklum balas

Anggaran Waktu Membaca:
SG rintis sistem caj berasaskan lokasi ERP 2 untuk LTA kumpulkan maklum balas

Wartawan CNA Justin Ong menguji cuba sistem caj berasaskan lokasi ERP 2. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 15 Jun 2026 08:46PM Dikemas Kini : 15 Jun 2026 08:49PM
SINGAPURA: Satu amaran bahawa kawasan Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) berada di hadapan muncul pada paparan OBU.

Tetapi tiada gantri, dan sebahagian jalan dicat biru - dikenali sebagai zon caj ERP. Apabila pemandu melaluinya, mesej kedua pada OBU menunjukkan caj telah dibayar.

Ini mungkin bukan sesuatu yang biasa kepada pemandu di bawah sistem ERP semasa, tetapi ia antara ciri yang boleh menjadi sebahagian daripada sistem caj berasaskan lokasi ERP 2 baharu apabila ia dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari 2027.

Kira-kira 1,000 pemandu kenderaan adalah sebahagian daripada percubaan yang bermula bulan ini untuk caj berasaskan lokasi baharu. Mediacorp juga diberi peluang untuk menguji ciri baharu ini.

Jurucakap Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata pada Isnin (15 Jun) bahawa percubaan itu akan membolehkannya mengumpul maklum balas mengenai ciri dan antara muka pengguna ERP 2 serta membuat penambahbaikan jika perlu sebelum dilancarkan sepenuhnya kepada semua pemandu.

Pada masa ini, tiada amaran zon caj ERP pada OBU, dan pemandu biasanya bergantung kepada penglihatan fizikal gantri untuk mengetahui bahawa mereka akan dikenakan caj. Caj akan dikenakan apabila gantri ERP mengesan kenderaan.

Tetapi dengan Singapura beralih sepenuhnya kepada sistem caj berasaskan lokasi ERP 2 mulai 1 Januari tahun depan, gantri tidak lagi akan digunakan untuk menandakan zon caj ERP.

Gantri ERP akan dimansuhkan secara berperingkat mulai akhir tahun ini, bermula dengan yang tidak lagi beroperasi.

Papan tanda jalan dan tanda baharu boleh digunakan untuk menunjukkan lokasi caj ERP. Sesi percubaan untuknya sudah pun mula dijalankan sejak Mac.

Tetapi sejauh manakah perbezaan ciri di bawah sistem baharu ini? Mediacorp mengujinya.

CAJ BERASASKAN LOKASI

Bagi yang berada di bawah percubaan, zon caj berasaskan lokasi ERP 2 akan diperkenalkan di 22 lokasi ERP yang beroperasi.

Memandangkan gantri ERP tidak lagi akan berfungsi sebagai penanda lokasi caj di bawah sistem akan datang, LTA telah menguji keberkesanan tanda jalan dan papan tanda baharu sebagai isyarat visual di sepanjang atau berhampiran ekspreswe di lima lokasi.

Wartawan Mediacorp memandu melepasi dua lokasi tersebut.

Yang pertama ialah ERP di Ekspreswe Central (CTE) dari Jalan Serangoon.

Apabila wartawan ini memandu ke arah zon caj ERP, satu mesej muncul pada paparan OBU, menunjukkan lokasi dan jumlah yang akan dikenakan caj.

Apabila kenderaan berlalu tepat di bawah gantri ERP pada pukul 7.31 pagi, tiada caj dipaparkan pada skrin. Ini kerana di bawah sistem berasaskan satelit baharu, pemandu kenderaan tidak dikenakan caj melalui gantri.

Selepas dua saat, apabila kereta memandu melepasi tanda jalan ERP di luar gantri, caj sebanyak S$1 muncul pada skrin.

Terdapat juga papan tanda di kedua-dua belah jalan menunjukkan bahawa ia adalah "Zon Caj ERP".

Tiga lokasi lain yang mempunyai tanda dan papan tanda percubaan ini ialah: PIE arah barat sebelum Eunos Link, Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) arah bandar selepas Dewan Bandar Jurong, dan Marina Boulevard ke Marina Coastal Expressway (MCE) arah timur.

MENGELAK CAJ ERP

Wartawan Mediacorp kemudian menguji sama ada mesej amaran akan diberikan jika pemandu cuba mengelak caj ERP.

LTA menyatakan bahawa zon amaran ERP terletak di sekitar laluan keluar terakhir yang mungkin sebelum pemandu kenderaan sampai ke lokasi caj, supaya pemandu kenderaan boleh mempertimbangkan laluan alternatif.

Tetapi berapa lama amaran akan muncul sebelum laluan keluar terdekat, dan adakah terdapat masa yang cukup untuk menukar laluan dan mengelak daripada dikenakan caj?

Wartawan Mediacorp mencubanya di jalan yang lebih kecil iaitu Clementi Ave 2, yang mempunyai zon caj ERP di jalan susur keluar ke AYE.

Amaran "ERP Ahead" muncul kurang daripada 100 meter dari laluan keluar ke AYE di mana ERP berada, dan ia memberikan wartawan ini masa yang cukup untuk mengelak daripada memasuki lorong dan dikenakan caj.

Tetapi mengelakkan caj ERP di ekspreswe agak berbeza. Memandu di AYE ke arah ERP sebelum Alexandra Road, laluan keluar terakhir yang mungkin sebelum lokasi caj ialah Jejambat Portsdown/Queensway.

Bergerak di lorong 2, adakah amaran akan muncul cukup awal untuk beralih ke laluan keluar di lorong kelima?

Jawapannya ialah ya – tetapi hampir-hampir. Amaran ERP muncul pada paparan OBU kira-kira 200m dari laluan keluar.

Wartawan ini membuat tiga pertukaran lorong secara pantas dan dapat menyusur ke lorong keluar pada saat-saat akhir.

Sekiranya terdapat lebih banyak kesesakan, atau jika kereta berada di lorong 1, ia mungkin tidak berjaya sampai ke laluan keluar dengan selamat.

CAJ YANG TEPAT

Wartawan Mediacorp kemudian berusaha menguji sama ada kereta boleh tersilap dikenakan caj jika mereka memandu di jalan selari berhampiran kawasan caj ERP.

Satu contoh ialah Clementi Avenue 2. Sekiranya kereta memilih untuk tidak keluar ke AYE, mereka akan memandu di jejambat selari kira-kira 30m dari kawasan caj ERP.

Sistem berasaskan satelit lulus ujian ini. CNA memandu di lorong paling kiri semasa melalui bersebelahan dengan kawasan caj ERP.

Ini dilakukan sebanyak tiga kali, dan tiada caj dikenakan.

CIRI-CIRI LAIN

Ciri-ciri lain yang akan dilaksanakan untuk pemandu kenderaan dalam fasa perintis ini termasuk pembayaran automatik tol di pusat pemeriksaan.

Pada masa ini, di pusat pemeriksaan Singapura, pemandu kenderaan membayar tol dengan memasukkan NETS CashCard atau kad CEPAS ke dalam pembaca kad di kaunter imigresen.

Selepas ERP 2 dilaksanakan pada 1 Januari 2027, sistem kutipan tol tanpa sentuh akan dilaksanakan.

Paparan OBU akan menunjukkan amaran "Toll Ahead" sebelum pemandu tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands atau Tuas.

Sistem letak kereta elektronik tepi jalan (REP) baharu juga akan diuji untuk 1,000 kenderaan bermula pada Ogos.

Sehingga 31 Mei, kira-kira 960,000 kenderaan atau lebih daripada 96 peratus kenderaan di Singapura telah memasang OBU ERP 2.

Sejak pemasangan OBU dilanjutkan kepada kenderaan berdaftar asing mulai 1 April, lebih 5,700 kenderaan berdaftar asing telah memilih untuk memasang OBU.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita