Skip to main content

Singapura

SG rancang cipta model mampu lakukan simulasi cuaca dengan terperinci

Anggaran Waktu Membaca:
SG rancang cipta model mampu lakukan simulasi cuaca dengan terperinci
Diterbitkan : 17 Sep 2023 06:41PM Dikemas Kini : 17 Sep 2023 07:29PM
SINGAPURA: Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) menyatakan pihaknya akan terus mempertingkat sistem pemantauan cuaca kendaliannya.

Dalam perancangan ialah model cuaca berskala bandar yang mampu melakukan simulasi keadaan cuaca di Singapura dengan cukup terperinci.

Usaha itu dilakukan sedang pakar-pakar memberi amaran, cuaca bukan sahaja akan menjadi lebih ekstrem, malah cuaca ekstrem akan terjadi lebih kerap lagi.

Cuaca ekstrem seperti fenomena hujan lebat yang berlarutan sehingga mencetuskan banjir besar, sebagaimana yang berlaku di Hong Kong baru-baru ini, lazimnya terjadi sekali dalam 50 hingga 100 tahun.

Kini dengan pemanasan global, pakar-pakar memberi amaran, ia boleh berlaku lebih kerap - mungkin setiap 10 tahun.

Singapura terdedah kepada fenomena cuaca sedemikian.

Prof Vladan berkata: "Kita ada haba bandar. Jadi jika Singapura menjadi semakin hangat, panas, ini bermakna udaranya boleh menyimpan lebih banyak wap dalam atmosfera, lebih banyak air, yang bermakna kita akan ada lebih banyak hujan ekstrem juga."

Dalam pada itu, memandangkan wujudnya landskap perbandaran di sini, tidak mudah untuk membuat ramalan cuaca yang tepat.

Oleh itu, MSS sedang mencipta satu model cuaca baharu.

Ia menggunakan program komputer yang kompleks untuk membuat simulasi corak udara di Singapura.

Pelbagai data yang dikumpulkan menerusi alat-alat penderia yang dipasang di merata Singapura akan digunakan untuk menilai ketepatan model ini.

Namun demikian, jabatan tersebut menyatakan, kejadian-kejadian cuaca ekstrem masih lagi sukar untuk diramal.

Oleh itu, pendidikan awam terus menjadi penting supaya jika berlaku becana akibat cuaca ekstrem, semua orang tahu apa yang perlu dilakukan.

"Jadi kita perlu adakan kempen kesedaran awam serta program pendidikan untuk maklumkan kepada penduduk tentang risiko banjir, isu-isu keselamatan serta bagaimana untuk bertindak apabila amaran dikeluarkan.

"Didik dan persiapkan rakyat jadi mereka boleh ambil langkah proaktif untuk lindungi diri serta membantu yang lain," kata Penolong Profesor Wang Jingyu, Pengajian Kemanusiaan & Sosial, NIE.

Bagi kejadian ribut petir yang boleh mencetuskan banjir kilat, pihak MSS mengeluarkan amaran awal sekitar 30 minit sebelumnya.

Orang awam juga boleh melanggani khidmat SMS atau aplikasi Telegram kendalian PUB, yang memberi amaran tentang hujan lebat serta paras air yang meningkat.
Sumber : CNA/IQ/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita