Skip to main content

Singapura

SG rampas rekod 35.7kg tanduk badak sumbu bernilai S$1.13 juta di Lapangan Terbang Changi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Nov 2025 06:51PM Dikemas Kini : 26 Nov 2025 07:35PM
SINGAPURA: Cubaan menyeludup 35.7 kilogram (kg) tanduk badak sumbu dari Afrika Selatan ke Laos melalui Lapangan Terbang Changi berjaya digagalkan awal bulan ini.

Sebanyak 20 tanduk badak sumbu bernilai sekitar S$1.13 juta, bersama 150kg bahagian haiwan lain termasuk tulang dan gigi, dikesan dalam empat muatan kargo menuju ke Vientiane pada 8 Nov, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dan pengendali kargo udara SATS dalam kenyataan media bersamanya pada Selasa (18 Nov).

Ini sekali gus menandakan rampasan tanduk badak sumbu terbesar di Singapura setakat ini, melepasi rampasan sebelum ini sebanyak 34.7 kg pada Oktober 2022.

Pemeriksaan oleh kakitangan SATS di Lapangan Terbang Changi mendapati kandungan kargo tidak selaras dengan label yang dinyatakan sebagai alat kelengkapan perabot.

Pekerja penerimaan kargo SATS, Vengadeswaran Letchumanan, mengesan bau kuat daripada bungkusan itu semasa menjalankan pemeriksaan.

Beliau memaklumkan kepada pengurus yang bertugas, yang kemudian mengaktifkan perkhidmatan keselamatan SATS untuk melakukan pemeriksaan terperinci ke atas penghantaran tersebut.

Salah satu daripada bungkusan itu dibuka untuk pemeriksaan dan didapati mengandungi bahagian haiwan. Bungkusan yang lain diimbas dengan sinar-X dan turut mengandungi kandungan serupa.

Siasatan mendapati 20 tanduk itu berasal dari Afrika Selatan dan daripada spesies badak sumbu putih, manakala pengenalan spesies bagi bahagian haiwan lain masih dijalankan.

Siasatan lanjut terhadap kes ini masih dijalankan.

Badak sumbu dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES), dan perdagangan antarabangsa tanduk badak sumbu adalah diharamkan.

“Singapura tidak bertolak ansur sama sekali terhadap perdagangan haram spesies hidupan liar terancam, termasuk bahagian dan derivatifnya,” kata NParks dan SATS.

NParks dan SATS menambah bahawa Singapura adalah penandatangan CITES dan komited terhadap usaha antarabangsa untuk membendung perdagangan hidupan liar haram bagi memastikan kelangsungan jangka panjang haiwan tersebut.

“Tanduk-tanduk ini akan dilupuskan mengikut garis panduan CITES untuk mengelakkan ia kembali ke pasaran, seterusnya mengganggu rantaian bekalan global bagi tanduk badak sumbu yang diperdagangkan secara haram.”

Rampasan terbesar sebelum ini melibatkan penyeludupan 20 tanduk badak sumbu melalui Lapangan Terbang Changi yang juga berasal dari Afrika Selatan dan menuju ke Laos.

Tanduk-tanduk itu ditemui dalam beg seorang lelaki Afrika Selatan yang ditangkap.

Pada 26 Januari 2024, Gumede Sthembiso Joel dipenjara 24 bulan selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan transit melalui Singapura dengan tanduk badak sumbu tanpa permit yang sah.

NParks menyatakan ini adalah hukuman terberat setakat ini di Singapura bagi kes penyeludupan bahagian hidupan liar.

Hukuman maksimum bagi perdagangan spesies Jadual I CITES tanpa permit sah adalah denda sehingga S$200,000 bagi setiap spesimen yang dalam transit dan/atau penjara sehingga lapan tahun.

Hukuman bagi kes transit ini adalah sama seperti untuk import dan eksport spesies Jadual CITES tanpa permit sah.
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita