Skip to main content

Singapura

SG, PM Wong sasaran kempen salah maklumat dipacu AI di YouTube

Beratus-ratus video YouTube berbahasa Cina yang dijana AI menyasarkan Singapura dan Perdana Menteri Lawrence Wong sebagai sebahagian daripada kempen maklumat salah yang berterusan, menurut penemuan CNA.
Anggaran Waktu Membaca:
SG, PM Wong sasaran kempen salah maklumat dipacu AI di YouTube
Antara naratif palsu yang disebarkan menerusi video-video tersebut termasuk dakwaan bahawa Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, bakal dipecat oleh pendahulunya, Menteri Kanan Lee Hsien Loong. (Gambar: Tangkapan skrin CNA/YouTube)
Diterbitkan : 25 Feb 2026 07:37AM
SINGAPURA: Beratus-ratus video YouTube berbahasa Cina yang dijana AI menyasarkan Singapura dan Perdana Menteri Lawrence Wong sebagai sebahagian daripada kempen maklumat salah yang berterusan, menurut penemuan CNA.

Tujuh daripada 10 video menyerang Encik Wong secara khusus, mereka-reka naratif tentang peranan kepimpinannya yang dikatakan terancam, dan menyebarkan teori konspirasi mengenai pergaduhan politik di Singapura.

Video-video tersebut mencatatkan berjuta-juta tontonan sejak ia muncul pada hujung tahun lalu, walauuan para pakar mencadangkan trafik bot atau automasi mungkin bertanggungjawab.

Secara keseluruhannya, video-video itu merupakan salah satu kempen awam terbesar dan paling berterusan ke atas Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Mediacorp menganalisis hampir 300 video sedemikian dalam tempoh tiga minggu sebagai sebahagian daripada siasatan itu.

Video-video berkenaan dimuat naik oleh lebih 30 saluran YouTube, beserta video yang menyasarkan pemimpin dunia lain dan menampilkan suara alih dalam Bahasa Mandarin yang dijana oleh komputer dan sari kata dalam aksara Cina tradisional.

Satu lagi ciri tersendiri bagi operasi itu adalah penggunaan tanda pagar (hashtag) secara agresif bagi merujuk kepada Singapura atau Encik Wong.

Taktik itu yang dikenali sebagai "pencemaran" SEO (pengoptimuman enjin carian) bertujuan untuk "mencemarkan" hasil carian berbahasa Cina di YouTube dan menarik para penonton yang mungkin tidak akan berinteraksi dengan video sedemikian.

Sesetengah klip dan saluran berkaitan sudah pun dipadamkan, sebelum video-video baharu muncul dengan pantas, sekali gus menjadikannya mencabar untuk menentukan skala sebenar dan jangkauan operasi tersebut.

Video-video itu dicirikan oleh serangan bermusuhan terhadap Perdana Menteri Singapura dan gambaran negara itu sebagai ditakdirkan untuk mengalami kehancuran ekonomi, seperti dilihat dalam gambar kecil salah satu klip tersebut.

REKAAN DAN KEPALSUAN

Antara pelbagai naratif palsu yang disebarkan adalah teori konspirasi yang mendakwa Encik Wong akan dipecat oleh pendahulunya, Menteri Kanan Lee Hsien Loong, di mana video-video tersebut mendakwa beliau sedang merancang untuk merebut semula kepimpinan Singapura.

Tajuk video yang lantang mengisytiharkan Encik Wong sudah "jatuh daripada kuasa" dan merujuknya sebagai "PM dengan tempoh berkhidmat paling singkat."

Satu lagi tema yang berulang sepanjang video kempen tersebut - di mana puratanya adalah kira-kira setengah jam setiap satu, dengan yang paling lama hampir sejam - adalah "malapetaka" ekonomi Singapura yang didakwa bakal berlaku.

Video-video itu mendakwa hab perdagangan itu sedang diancam oleh pelabuhan Hainan yang beroperasi sepenuhnya pada Disember, sambil menukil statistik yang tidak dapat disahkan mengenai jumlah perkapalan Singapura yang "runtuh" dan penghijrahan besar-besaran syarikat Fortune 500.

Pada hakikatnya, pelabuhan Singapura mengendalikan rekod 44.66 juta kontena pada 2025 dan kekal sebagai pelabuhan kontena kedua paling sibuk di dunia — satu pengiktirafan yang dipegangnya sepanjang 15 tahun yang lalu.

Di tempat lain, operasi salah maklumat itu juga memberi tumpuan kepada hubungan luar Singapura, dengan beberapa video mengejek negara itu sebagai boneka atau pion Amerika, manakala yang lain memalsukan berita mengenai Singapura "mengkhianati" Amerika Syarikat atas sebab ekonomi.

Sebagai sebahagian daripada siasatannya, Mediacorp mengajukan soalan mengenai kempen-kempen salah maklumat itu serta contoh dua akaun YouTube yang memuat naik video yang menyebarkan naratif palsu kepada Google, pemilik YouTube.

Dalam masa 12 jam, kedua-dua akaun dipadamkan.

Seorang jurucakap YouTube berkata dalam responsnya: "YouTube tidak membenarkan spam, penipuan, atau amalan memperdaya lain yang mengambil kesempatan terhadap komuniti YouTube. Selaras dengan dasar-dasar ini, kami telah memadamkan saluran-saluran YouTube yang dilaporkan."

Sungguhpun begitu, kebanyakan daripada 300 video yang dianalisis oleh Mediacorp masih kekal online, bahkan, carian di YouTube beberapa minggu selepas siasatan awal dilakukan pula menampilkan lebih banyak video sedemikian yang menyerang Singapura.

Petikan skrin ini menunjukkan empat akaun YouTube yang mempamerkan tanda-tanda paling kuat dikawal secara berpusat, seperti melalui penggunaan templat visual yang sama.

KAWAL PERBUATAN PIHAK LAIN

Kewujudan kempen itu pertama kali dilaporkan oleh akhbar Bahasa Cina, Lianhe Zaobao.

Mediacorp kini boleh menunjukkan bahawa melalui analisis manual dan dibantu AI terhadap visual, teks dan tingkah laku akaun bahawa sekurang-kurangnya 10 saluran YouTube berkemungkinan bertindak secara selaras – ciri utama operasi pengaruh untuk memanipulasi pendapat umum.

Akaun-akaun tersebut berkemungkinan dikawal oleh pengendali atau kumpulan pengendali yang sama, berdasarkan pelbagai bukti termasuk dalam kes yang paling jelas, video dimuat naik pada saat yang sama atau menggunakan skrip dan suara latar yang sama.

Mengambil kira empat saluran YouTube yang berkongsi awalan nama "Southern Master" (CNA tidak memberikan nama pengguna atau URL yang tepat, bagi mengelak penyebaran maklumat salah selanjutnya).

Keempat-empat saluran itu dicipta dalam tempoh 20 minit pada 18 Januari, dengan jurang masa hanya 13 saat antara dua saluran.

Kesemua empat akaun menerbitkan sembilan video, dijadualkan secara konsisten pada pukul 10.00 pagi, dan sama ada selang beberapa saat sahaja atau pada selang masa tetap 15 atau 30 minit.

Video-video itu berkongsi tajuk yang hampir sama dan menerima penglibatan yang sangat rendah di mana jumlahnya hampir cecah sifar.

Paling ketara, video-video tersebut menggunakan templat visual yang sama, dengan hanya sedikit kelainan, berpusat pada deepfake pelabur Amerika yang sudah meninggal dunia, Charlie Munger.

Satu teknik dalam kempen salah maklumat itu ialah penggunaan transkrip yang serupa dan juga suara latar yang sama, tetapi dengan visual yang sama sekali berbeza, seperti yang dilihat dalam petikan skrin daripada dua video yang berbeza ini.

BINA PERTAHANAN

Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura (MDDI) memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya sedia maklum mengenai beberapa akaun online yang menerbitkan video-video sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini untuk membuat "dakwaan luar biasa dan direka-reka" tentang dasar luar negara dan politik domestik Singapura.

"Adalah jelas kepada rakyat Singapura, dan mereka yang tinggal di sini, bahawa video-video tersebut mengandungi jalan cerita yang sepenuhnya direka-reka tentang hal ehwal semasa Singapura."

Seorang jurucakap menyatakan bahawa Singapura tidak terlepas daripada percubaan pihak lain untuk menyemai ketidakpercayaan, mempengaruhi pendapat umum atau campur tangan dalam politik domestiknya.

"Selain langkah-langkah kawal selia, orang ramai yang berpengetahuan, berwaspada dan bijak menilai merupakan lapisan pertahanan pertama dan paling penting kita terhadap maklumat salah," tambah MDDI, sambil merujuk kepada langkah-langkah pendidikan awam dan sumber yang dibangunkan oleh pemerintah.

Kementerian itu menggesa orang ramai untuk menyemak sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan mengelak daripada menyebarkan kandungan daripada sumber yang tidak dikenali atau tidak disahkan.
Sumber : CNA/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita