Skip to main content

Singapura

SG pikat pelaburan aset tetap bernilai S$12.7 bilion pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Jan 2024 06:13PM Dikemas Kini : 30 Jan 2024 08:41PM
SINGAPURA: Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) berjaya menarik pelaburan S$12.7 bilion dalam aset tetap pada 2023.

Jumlah itu kurang S$9.8 bilion berbanding tahun sebelumnya, yang disifatkan sebagai tahun 'durian runtuh' yang tidak dijangka berulang.

Namun demikian, jumlah tahun 2023 itu masih melebihi sasaran jangka sederhana hingga jangka panjang EDB, iaitu antara S$8 bilion hingga S$10 bilion.

Tahun 2022 menyaksikan lonjakan luar biasa dalam pelaburan semikonduktor, yang membentuk dua pertiga daripada jumlah pelaburan.

EDB menyatakan, perangkaan lebih sederhana bagi 2023 itu masih sejajar dengan trend-trend masa lalu.

Tahun lepas, EDB juga menarik S$8.9 bilion dalam bentuk Jumlah Perbelanjaan Perniagaan, merujuk kepada perbelanjaan mengurus syarikat seperti gaji dan sewa.

Lembaga itu menambah, komitmen pelaburan tersebut apabila direalisasikan, dijangka mewujudkan lebih daripada 20,000 pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam tinjauan tahunannya, EDB menyatakan prospek perniagaan dan pelaburan untuk 2024 itu kekal mencabar.

Ini ekoran faktor-faktor seperti ketegangan geopolitik yang berterusan dan ketidaktentuan dasar akibat pilihan raya.

Lantaran itu, EDB akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti merubah sektor-sektor sedia ada.

Ini termasuk memanfaatkan AI dan pendigitalan untuk meningkatkan daya penghasilan, dan membuka peluang-peluang baharu untuk masa depan rendah karbon.

EDB juga akan berusaha meningkatkan keterhubungan, logistik dan keupayaan pengurusan bekalan Singapura, supaya syarikat-syarikat boleh menubuhkan operasi dengan cepat dan lancar.

Satu lagi bidang tumpuan adalah membina sektor-sektor pertumbuhan baharu seperti ekonomi hijau, AI dan perubatan jitu.

Mengulas mengenai antara faktor yang menjadikan Singapura menarik dalam kalangan para pelabur, Cik Jaqueline Poh, Pengarah Urusan Lembaga Kemajuan Ekonomi berkata: "Saya rasa kelebihan daya saing Singapura adalah kedudukan kita sebagai dipercayai, lokasi yang baik bagi syarikat-syarikat.

"Tetapi kita juga adalah hab inovasi. Kita sebuah tempat di mana anda boleh memanfaatkan bakat global, dan ekosistem penyelidikan yang bertaraf dunia untuk mencipta produk-produk baharu dan menambah baik produk anda yang sedia ada. Dan akhir sekali, kami berada di pintu gerbang rantau Asia kita yang semakin berkembang," tambahnya.
Sumber : CNA/SM/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita