SG peruntukkan tambahan S$112 juta bagi R&D sektor binaan, peraturan baharu penyeliaan tapak mulai 2028
Singapura memperuntukkan tambahan S$112 juta bagi penyelidikan dan inovasi untuk meningkatkan produktiviti serta kemampanan sektor persekitaran binaan, menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada Rabu (2 Sep).
Sebahagian daripada sebuah tapak binaan di Singapura. (Gambar fail: CNA)
Peruntukan itu merupakan antara beberapa langkah yang diumumkan Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat pada pembukaan Minggu Persekitaran Binaan Antarabangsa di Marina Bay Sands.
Acara tersebut berlangsung dari Rabu (2 Sep) hingga Jumaat (4 Sep).
Dana tambahan S$112 juta di bawah fasa seterusnya rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030 akan disalurkan kepada Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Cities of Tomorrow serta Program BETA Catalyst.
Pembiayaan itu akan memacu penyelidikan dan inovasi dalam empat bidang utama sepanjang lima tahun akan datang, sejajar dengan keutamaan terbaharu Singapura.
Ia termasuk menggalakkan kaedah perobohan yang produktif dan selamat bagi memenuhi keperluan pembaharuan bandar, di samping meningkatkan produktiviti dan mengurangkan gangguan di kawasan yang sudah dibangunkan.
Usaha juga akan ditumpukan kepada peningkatan keupayaan untuk membuat pemodelan jangka hayat bangunan, meningkatkan kebolehpercayaan penyenggaraan serta memastikan kerja pembaikan dilakukan tepat pada masanya.
Turut diberi tumpuan ialah usaha mengurangkan karbon terkandung dan meningkatkan kecekapan tenaga bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih dalam sektor persekitaran binaan menjelang 2050.
Hasil penyelidikan dan inovasi juga akan diterjemahkan kepada penggunaan dalam industri menerusi Program BETA Catalyst.
Menurut BCA, pelaburan itu dilaksanakan sejajar dengan momentum dan keyakinan yang semakin meningkat dalam industri.
Lebih banyak syarikat sektor swasta kini melabur dalam penyelidikan dan inovasi, termasuk membangunkan inovasi secara bersama, mengambil bahagian dalam projek perintis dan menggunakan penyelesaian yang berpotensi dalam projek mereka.
Program R&D Cities of Tomorrow merupakan usaha berbilang agensi yang diterajui Kementerian Pembangunan Negara (MND), yang menggunakan penyelidikan dan inovasi untuk menyokong pembangunan jangka panjang Singapura.
Di bawah peruntukan RIE sebelum ini, S$46 juta diperuntukkan pada 2022 bagi penyelidikan dalam pembinaan canggih dan pengurusan kemudahan.
Panggilan pertama bagi geran di bawah Program R&D Cities of Tomorrow dijangka dilancarkan pada Oktober.
SKIM PENSIJILAN BANGUNAN HIJAU DIPERBAHARUI
Skim pensijilan bangunan hijau Singapura juga akan diperbaharui bagi mempercepat usaha penyahkarbonan dan menggalakkan persekitaran binaan yang lebih mesra alam, sejajar dengan Pelan Hijau Singapura 2030.
Green Mark Versi 7 BCA mempunyai tiga matlamat utama – menghijaukan lebih banyak bangunan di Singapura, memperluaskan penggunaan bangunan Tenaga Super Rendah (SLE) dan menjadikan usaha kemampanan lebih praktikal serta mudah dicapai.
Skim yang diperbaharui itu akan memperkenalkan penarafan baharu yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi tenaga sesebuah bangunan.
Ini membolehkan pemilik melabur dalam usaha meningkatkan kecekapan tenaga dengan pulangan pelaburan yang lebih jelas.
Ia turut merangkumi SLE70, iaitu tahap baharu Tenaga Super Rendah yang memerlukan penjimatan tenaga lebih 70 peratus berbanding paras asas 2005 bagi jenis bangunan berkenaan.
Teknologi penyejukan alternatif seperti sistem penyejukan hibrid, rasuk sejuk aktif dan penyejukan anjakan pasif turut akan diiktiraf di bawah Green Mark Versi 7.
Menurut BCA, teknologi tersebut boleh menghasilkan penjimatan tenaga sehingga 50 peratus berbanding sistem penghawa dingin konvensional.
Pemilik yang mempunyai portfolio besar hartanah serupa juga boleh mendapatkan pensijilan semula bagi beberapa bangunan secara serentak.
Bangunan yang mengekalkan prestasi tenaga pula boleh melanjutkan tempoh sah pensijilan daripada tiga tahun kepada sehingga lima tahun.
PERATURAN BAHARU PENYELIAAN TAPAK MULAI 2028
Mulai 2028, projek kerja struktur berskala besar bernilai lebih S$75 juta diwajibkan melantik firma berlesen BCA untuk menyediakan khidmat penyeliaan tapak.
Menurut BCA, penyeliaan tapak dari jarak jauh semakin banyak digunakan, membolehkan firma menyelia beberapa tapak projek secara maya menggunakan alat digital seperti platform data, kaca mata pintar dan peranti penstriman langsung.
Pelantikan firma berlesen BCA akan memastikan projek mempunyai sumber, kepakaran dan teknologi terkini yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan yang semakin berkembang.
Majlis Akreditasi Singapura (SAC) sudah melancarkan Skim Akreditasi Firma Penyeliaan Tapak.
Di bawah skim tersebut, firma perlu terlebih dahulu mendapatkan akreditasi sebelum boleh memperolehi lesen BCA untuk menyediakan khidmat yang diwajibkan bagi projek kerja struktur berskala besar.
Untuk layak, firma perlu memenuhi syarat berkaitan kecekapan, sikap berkecuali dan operasi yang konsisten mengikut piawaian yang ditetapkan.
Firma juga perlu menunjukkan bahawa mereka mempunyai kepakaran teknikal, tenaga kerja dan pengalaman profesional yang diperlukan serta menyediakan program latihan yang berstruktur.
BCA menggalakkan pemaju dan kontraktor supaya mula mendapatkan khidmat firma penyeliaan tapak yang diiktiraf sebelum syarat baharu itu berkuat kuasa pada 2028.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.