Skip to main content

Singapura

SG pertimbang pembelajaran di rumah jika berlaku gelombang haba, guna dewan sukan sebagai 'ruang pendinginan'

Sekolah-sekolah di Singapura mungkin akan beralih kepada pembelajaran di rumah secara separa atau sepenuhnya sebagai sebahagian daripada langkah yang dipertingkat sekiranya berlaku gelombang haba.

Anggaran Waktu Membaca:
SG pertimbang pembelajaran di rumah jika berlaku gelombang haba, guna dewan sukan sebagai 'ruang pendinginan'

Gambar fail yang menunjukkan seorang wanita dan kanak-kanak yang berjalan sambil menggunakan payung di Singapura, pada 16 November 2022. (Gambar fail: CNA/Hanidah Amin)

Diterbitkan : 19 Mar 2025 11:52PM Dikemas Kini : 19 Mar 2025 11:53PM
SINGAPURA: Sekolah-sekolah di Singapura mungkin akan beralih kepada pembelajaran di rumah secara separa atau sepenuhnya sebagai sebahagian daripada langkah yang dipertingkat sekiranya berlaku gelombang haba.

Ruang pendinginan seperti kelab masyarakat dan dewan sukan yang mempunyai alat hawa dingin juga akan dibuka kepada orang ramai yang memerlukan tempat untuk berteduh daripada kepanasan.

Langkah-langkah tersebut diumumkan Pasukan Bertindak Mercury berbilang agensi pada Rabu (19 Mac) semasa ia membentangkan rancangan tindak balas haba pemerintah.

Pasukan bertindak tersebut, yang dibentuk pada 2023, melakar dan melaksanakan pelan tindakan untuk mengurangkan dan mengurus kesan gelombang haba di Singapura.

Pasukan itu terdiri daripada 37 agensi pemerintah, termasuk Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Sudah ada langkah-langkah sedia ada untuk melindungi golongan yang terdedah kepada tekanan haba.

Sebagai contoh, Kementerian Tenaga Manusia mewajibkan majikan memberi waktu rehat sekurang-kurangnya 10 minit setiap jam kepada pekerja yang terlibat dalam kerja fizikal yang berat di tengah-tengah gelombang haba yang tinggi.

Singapura menggunakan "Wet Bulb Globe Temperature" (WBGT), satu penanda aras yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, untuk mengukur tekanan haba berdasarkan suhu udara, kelembapan, kelajuan angin dan radiasi solar.

Namun demikian, sekiranya gelombang haba berlaku, langkah-langkah tambahan merentasi sektor akan dilaksanakan.

Ini termasuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar antara pukul 11.00 pagi dengan pukul 4.00 petang disebabkan tahap tekanan haba yang lebih tinggi bagi tempoh tersebut.

Setiap sekolah juga akan melaksanakan pemakaian yang lebih santai serta mengubah suai atau bahkan menggantung aktiviti luar berdasarkan tahap tekanan haba.

Prasekolah tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti luar antara pukul 11.00 pagi dengan pukul 4.00 petang, memandangkan usia kanak-kanak berdaftar yang lebih muda, menurut Pasukan Bertindak Mercury.

Ia menambah: "Jika pendirian negara adalah untuk mengambil langkah-langkah yang dipertingkat, MOE akan membimbing sekolah-sekolah untuk menjalankan pembelajaran di rumah sama ada secara separa atau sepenuhnya agar tidak mengganggu pembelajaran pelajar."

Bagi ruang pendinginan, kelab masyarakat dan kelab Persatuan Rakyat, serta pusat Rangkaian Penduduk terpilih, terutamanya yang terletak berhampiran dengan blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) satu hingga dua bilik, akan dilengkapi dengan bilik berhawa dingin bagi membolehkan orang ramai berteduh daripada cuaca panas.

Sehingga lapan dewan sukan berhawa dingin mungkin diubah suai menjadi pusat perlindungan haba bagi golongan yang terdedah dalam masyarakat, menurut pasukan bertindak.

"Rancangannya adalah agar lokasi-lokasi itu ditempatkan di seluruh atau merata Singapura supaya terdapat akses yang mudah ke kemudahan-kemudahan tersebut," tambahnya.

Gelombang haba di Singapura berlaku apabila suhu harian tertinggi dicatat pada sekurang-kurangnya 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, dan purata suhu setiap hari pada sekurang-kurangnya 29 darjah Celsius.

Singapura mengalami enam peristiwa gelombang haba dalam sejarah, dengan yang terkini pada 2016.

Jika agensi kaji cuaca kebangsaan meramalkan gelombang haba, satu panduan media bersama akan dikeluarkan.

Panduan tersebut akan dikekalkan sehingga Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) meramalkan tempoh suhu tinggi tidak lagi berterusan.

Selain itu, panduan berbentuk lain berhubung pelaksanaan amalan pengurusan haba di rumah untuk menyediakan ruang dingin dan mengurangkan risiko kecederaan berkaitan haba juga akan disediakan.

Maklumat mengenai ruang pendinginan masyarakat juga akan diberikan kepada orang ramai.

Pasukan bertindak itu menyatakan semasa taklimat pada Rabu bahawa ia mungkin tidak dapat meramalkan gelombang haba "terlalu awal" kerana cuaca iklim tropika berubah dengan sangat cepat.

Misalnya, jika ada hujan lebat, ia mungkin menyederhanakan suhu.

"Bergantung kepada situasi sebenar, jika kami menilai bahawa kriteria gelombang haba berkemungkinan akan dilanggar, kami akan berusaha untuk mengeluarkan panduan sehari sebelumnya," kata pasukan petugas itu.

RISIKO GELOMBANG HABA LEBIH RENDAH PADA 2025

Pelan tindak balas haba yang diselaraskan bagi seluruh pemerintah diumumkan menjelang tempoh paling panas dalam masa setahun di Singapura, antara Mac hingga Mei.

Tahun lalu merupakan tahun terpanas yang direkodkan di Singapura, seiring dengan 2019 dan 2016, dengan suhu purata tahunan pada 28.4 darjah Celsius.

Sebanyak 21 hari mencatat tekanan haba tinggi, kebanyakannya berlaku pada Mac, April dan Mei.

Namun, pasukan bertindak menekankan bahawa risiko gelombang haba berlaku sepanjang musim panas 2025 adalah lebih rendah kerana faktor iklim global yang "tidak kondusif" bagi keadaan tersebut.

Walau bagaimanapun, ia masih menjangkakan suhu di atas paras normal dalam tempoh tersebut.

Terdapat peluang setinggi 60 peratus bahawa purata suhu bagi Mac hingga Mei akan melebihi 28.4 darjah Celsius.

Bulan Mei, khususnya, berkemungkinan menjadi bulan yang paling panas sepanjang musim panas tahun ini.

"Kita perlu terus menyebarkan kesedaran tentang tekanan haba (seperti panduan mengenai tekanan haba kita) supaya orang ramai mengambil tindakan yang sesuai untuk mengurangkan kecederaan haba sedang kita bersiap sedia untuk menghadapi Singapura yang kian memanas," jelas pasukan bertindak itu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita