Skip to main content

Singapura

SG persiap bakat, mahu pertingkat prasarana demi penuhi permintaan industri aeroangkasa

Anggaran Waktu Membaca:
 SG persiap bakat, mahu pertingkat prasarana demi penuhi permintaan industri aeroangkasa
Diterbitkan : 27 Feb 2024 05:17PM Dikemas Kini : 27 Feb 2024 05:18PM
SINGAPURA: Perjalanan udara dijangka disambung semula sepenuhnya tahun ini, dan Singapura sedang melakukan persiapan untuk menyediakan industri aeroangkasa dengan tenaga kerja yang diperlukan untuk berkembang.

Sektor tersebut akan mengambil lebih 2,500 pekerja di negara ini dalam tempoh tiga hingga lima tahun seterusnya bagi menyokong pemulihan berterusan sektor itu.

Tahun lalu, pengeluaran aeroangkasa di sini meningkat 16 peratus dari tahun ke tahun, mengatasi pengeluaran global.

Dengan seramai 1,800 pelajar menamatkan pengajian mereka dalam kursus aeroangkasa dan penerbangan setiap tahun, persatuan industri itu memberitahu Mediacorp bahawa terdapat bakat yang mencukupi dalam perancangan.

"Dari segi jumlah sebenar yang dilatih di sekolah-sekolah, saya rasa kami mempunyai lebih daripada apa yang diperlukan oleh industri," jelas Encik Sia Kheng Yok, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Industri Aeroangkasa (Singapura).

MEMIKAT PELAJAR UNTUK CEBURI AEROANGKASA

Persatuan tersebut bekerjasama dengan sekolah-sekolah untuk menyuntik minat dalam kalangan pelajar kepada industri itu sejak awal lagi, seperti membawa mereka mengunjungi Pertunjukan Udara Singapura yang berlangsung selama enam hari hingga Ahad (25 Feb).

Ia juga mengambil inisiatif untuk berhubung dengan bakat-bakat yang berpotensi. Misalnya, ia mendampingi para pelajar di kelab-kelab penerbangan universiti, yang menyuarakan minat dalam industri itu.

Persatuan itu juga sudahpun menubuhkan sebuah panel penasihat pendidikan, yang sering mengadakan pertemuan dengan Institut Pendidikan Tinggi (IHL) seperti politeknik untuk membincangkan kukurikulum tersebut, dan bagaimana ia dapat disesuaikan dengan keperluan industri itu pada masa depan, tambah Encik Sia.

Di samping itu, para pemain industri juga memainkan peranan mereka untuk memastikan para pekerja muda kekal dalam sektor itu selepas mereka mengambil bahagian.

MEMASTIKAN SEKTOR KEKAL MENARIK

Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) juga sedang berusaha untuk memastikan ada pekerjaan menarik dalam sektor tersebut.

Ini termasuk peranan dalam pengilangan menggunakan teknologi dan kaedah inovatif, inovasi dan kemampanan.

Penduduk tempatan membentuk 70 peratus tenaga kerja aeroangkasa keseluruhannya, tambahnya.

Selain memikat peserta baharu ke sektor tersebut, terdapat usaha untuk menarik para pekerja pertengahan kerjaya.

Sejak 2019, kira-kira 500 rakyat Singapura dan lebih 400 syarikat industri aeroangkasa itu meraih manfaat daripada program penukaran kerjaya Workforce Singapore, katanya.


PERTUMBUHAN PRASARANA

Prasarana untuk menyokong inisiatif-inisiatif sedemikian juga dijangka berkembang seiring dengan bakat yang ada dalam memenuhi permintaan daripada industri aeroangkasa itu.

Awal bulan ini, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengumumkan bahawa JTC Corporation, agensi pemerintah yang bertanggungjawab bagi kemajuan industri Singapura, akan membina fasa keempat pembangunan kilang di Taman Aeroangkasa Seletar menjelang 2027.

Cik Lim Ai Ting, pengarah Kelompok Aeroangkasa & Marin di lembaga berkanun itu, berkata bahawa JTC aeroSpace Four, yang akan menambah ruang seluas 11,000 meter persegi dan 25 peratus lebih banyak unit kilang standard, akan meningkatkan kapasiti pengeluaran.

JTC Corporation sudah mengambil kira perubahan dalam industri itu apabila merancang ruang kilang baharu, jelasnya dalam rancangan Singapore Tonight, terbitan CNA, pada Jumaat.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita