Skip to main content

Singapura

SG perlukan media yang boleh dipercayai, lebih-lebih lagi sekarang: PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Jul 2025 09:42PM Dikemas Kini : 11 Jul 2025 11:47PM
SINGAPURA: Singapura memerlukan media yang dipercayai, lebih-lebih lagi sekarang, untuk mengharungi dunia yang lebih rumit dan membezakan fakta daripada kepalsuan, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (11 Jul).

Bercakap di majlis jamuan malam meraikan ulang tahun ke-180 The Straits Times, beliau berkata Singapura memerlukan media yang dipercayai untuk "mewujudkan persefahaman bersama" dalam era yang pantas berubah dan rumit ini.

Pada Jumaat, akhbar tersebut melancarkan laman dan aplikasi yang dirombak semula, serta pameran yang meneroka sejarah 180 tahunnya. Encik Wong menghadiri sambutan di Jewel Changi bersama Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Josephine Teo dan pengerusi SPH Media Trust (SMT) Khaw Boon Wan. Ketua Pembangkang Pritam Singh turut hadir.

Model perniagaan untuk kewartawanan bermutu "malangnya" kini berada di bawah tekanan di mana-mana, kata Encik Wong, sambil menyatakan bahawa bilik berita di seluruh dunia semakin mengecil dan banyak saluran sudah "menjadi tawanan kepada kepentingan komersil".

"Kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku di Singapura. Kita tidak mahu akhbar nasional kita dimiliki oleh hartawan dengan agenda sempit atau berpihak. Kita juga tidak mahu kepercayaan awam terhadap media terhakis," tambahnya.

Inilah sebabnya mengapa pemerintah campur tangan untuk menyokong media perkhidmatan awam di Singapura bagi memastikan kewartawanan bermutu kekal "berdaya maju, bebas dan bertanggungjawab kepada rakyat Singapura", kata perdana menteri.
Related article image
Perdana Menteri Lawrence Wong berjabat tangan dengan Ketua Pembangkang, Pritam Singh, di Majlis Jamuan Malam dan Pelancaran Pameran Peringatan The Straits Times ke-180 di Jewel, Lapangan Terbang Changi pada 11 Julai 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Pada Februari 2022, pemerintah mengumumkan akan menyediakan sehingga S$ 900juta sokongan dana untuk SMT, yang mengendalikan The Straits Times, sepanjang lima tahun akan datang.

Rancangan itu adalah sehingga S$180 juta akan disalurkan setiap tahun, bergantung kepada sama ada SMT memenuhi sasaran prestasi utama.

Ini berlaku selepas SMT dipisahkan daripada Singapore Press Holdings pada 2021 untuk menjadi entiti bukan berasaskan keuntungan, di tengah-tengah kemerosotan mendadak media cetak dan penghijrahan ke ruang digital.

The Straits Times mesti menggunakan sepenuhnya sokongan pemerintah untuk menghasilkan akhbar nasional bermutu tinggi untuk semua rakyat Singapura, kata Encik Wong pada Jumaat.

"Anda mendapat keyakinan dan sokongan penuh kami dalam misi ini."

Persaingan The Straits Times adalah global, kata Encik Wong, sambil menyatakan bahawa akhbar itu bersaing bukan sahaja dengan saluran media tradisional lain, tetapi juga dengan pencipta kandungan terbaik di seluruh dunia dan segala-galanya di skrin.

Akhbar itu mesti menyesuaikan diri dengan persekitaran media baharu ini, katanya, sambil menambah bahawa ini tidak akan mudah.

"Saya percaya masih akan ada tempat untuk cetakan, dan kita semua harus melakukan yang terbaik untuk memastikan akhbar cetak berdaya maju di Singapura selama mungkin," kata Encik Wong.

"Tetapi 10 tahun dari sekarang, The Straits Times versi cetak mungkin kelihatan sangat berbeza daripada hari ini, dari segi gaya, nada dan panjangnya. Ia perlu berbeza jika ia ingin kekal relevan dan berguna kepada pembaca masa depan."

Hanya The Straits Times boleh membuat keputusan mengenai perubahan yang perlu dilakukan dan pemerintah tidak berada dalam kedudukan untuk menetapkan penyelesaian, kata perdana menteri.

Menawarkan "pandangan luas" tentang apa yang boleh dilakukan akhbar itu untuk kekal relevan dalam persekitaran baharu ini, Encik Wong menggesa The Straits Times untuk membina kekuatannya sebagai "akhbar utama yang dipercayai" untuk rakyat Singapura, mengekalkan mutu sebagai teras segala yang dilakukannya dan menyampaikan suara Singapura kepada dunia.

"Sebagai negara kecil yang mengharungi dunia yang rumit dan tidak menentu, kita memerlukan institusi yang kuat dan berwibawa yang boleh menganalisis dengan jelas, menjelaskan secara mendalam, dan memperjuangkan kepentingan Singapura dengan yakin. Dan inilah peranan yang mesti terus dipenuhi oleh The Straits Times," katanya.
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita