Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG perlu utamakan pembangunan pemain belia tempatan daripada import pemain bakat asing, kata Edwin Tong

Anggaran Waktu Membaca:
SG perlu utamakan pembangunan pemain belia tempatan daripada import pemain bakat asing, kata Edwin Tong

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 26 Sep 2024 11:42AM Dikemas Kini : 26 Sep 2024 03:18PM
SINGAPURA: Cara paling mampan untuk mengembangkan bola sepak Singapura adalah untuk memupuk pemain belianya sendiri, daripada mengimport bakat asing, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong.

Ketika bercakap dalam program CNA, Talking Point, Encik Tong berkata pendekatan tersebut paling sesuai dengan Singapura.

"Dari masa ke semasa, kami mungkin menambah beberapa individu yang pernah berada di sini, bukan sahaja sebagai pemain bola sepak, tetapi sebagai individu yang boleh kaitkan dirinya dengan Singapura dan masyarakat. Saya fikir itu penting.

"Kerana saya tidak ingin pasukan yang terdiri daripada para pemain yang hanya menyarung jersi, dengan bendera negara, namun saya tidak kenal mereka."

Encik Tong mengambil Indonesia sebagai contoh, yang baru-baru ini seri dengan pasukan gergasi Asia, Australia dan Arab Saudi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia. Kedua-dua pasukan itu bertanding di edisi terakhir Piala Dunia yang diadakan di Qatar.

Sebahagian besar kesebelasan utama Indonesia terdiri daripada pemain kacukan.

"Mereka berbangsa Indonesia menerusi kelahiran atau keturunan, tetapi bukan dari segi warisan. Saya ingin membina pasukan Singapura yang terdiri daripada rakyat Singapura yang berwarisan dan menonjolkan identiti sebagai rakyat Singapura," kata Encik Tong.

"Sekiranya saya boleh menyertakan beberapa pemain asing yang mempunyai kaitan dengan Singapura ... kami akan lakukannya. Namun, tumpuan kami adalah untuk membina asas Singapura."

Awal bulan ini, pemain pertahanan Perry Ng, dari pasukan Cardiff City yang bertanding di peringkat kedua England, disertakan dalam pasukan negara sebagai sebahagian daripada usaha "membiasakan diri" dengan pasukan tersebut.

Di bawah undang-undang FIFA, Ng layak mewakili Singapura menerusi arwah datuk sebelah bapanya yang dilahirkan di sini, namun kemudiannya berpindah ke Liverpool.

Meskipun demikian, di bawah undang-undang kewarganegaraan Singapura, seseorang individu hanya boleh memegang satu pasport menerusi keturunan, sekiranya salah satu ibu atau bapanya dilahirkan di negara ini atau merupakan rakyat yang didaftarkan.
"PROJEK BERSEMANGAT"

Encik Tong berkata demikian kepada Steve Chia daripada CNA serta anggota panel lain, sebagai sebahagian daripada rancangan khas dua bahagian 'Talking Point', bertajuk "Bola Sepak Singapura: Bolehkah Kita Menjadikannya Hebat (Sekali Lagi)?".

Selepas Thailand, Singapura memenangi jumlah terbanyak Piala ASEAN (AFF). Namun, kali terakhir pasukan negara merangkul kejuaraan tersebut adalah pada 2012, dan pembangunan tempatan terhadap sukan itu tidak menghasilkan kejayaan selama sedekad.

Encik Tong berkata bahawa "buat seketika waktu" pada awal tahun 2000-an, Singapura bergantung kepada "ramai" pemain naturalisasi, ketika menjadi pasukan terbaik rantau ini.

Walau bagaimanapun, ia menyebabkan masalah lebih mendalam.

"Kita menang beberapa Piala AFF pada tempoh tersebut. Dan saya fikir, ia menyelubungi masalah sebenar," katanya.

"Masalah asas sebenar adalah, kita tidak membangunkan pemain muda untuk masa depan, dan sebaik sahaja kita berhenti menggunakan pemain naturalisasi, masalah sebenar terbongkar."

Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) Bernard Tan, yang bercakap secara berasingan dalam rancangan yang sama, berkata pemain naturalisasi bukan strategi yang sesuai, dan penangguhan pada cara tersebut menunjukkan tumpuan yang kurang terhadap pembangunan pemain belia tempatan.

Kejayaan Singapura yang diraih di padang mungkin menyembunyikan keperluan yang mendesak untuk membina sistem pembangunan belia, yang diberikan perhatian oleh negara lain di rantau ini, tambahnya.

"Kini kita dalam keadaan di mana kita perlu memberikan tumpuan penuh dan gigih berusaha untuk membina pembangunan pemain belia," kata Encik Tan.

Oleh itu, projek Unleash The Roar (UTR) diumumkan pada 2021.

Inisiatif di bawah UTR termasuk penubuhan Akademi Bola Sepak Sekolah, biasiswa luar negara dan Liga Belia Singapura.

Encik Tong, yang menggelar UTR sebagai "projek bersemangat" buat Singapura, berkata kemajuan tidak boleh diraih "dengan segera".

"Pendapat kita adalah, dengan menumpukan kepada spektrum belia, membangun jumlah pemain muda yang kukuh, dan pemain asas yang ramai, ia adalah cara paling mampan untuk membina semula bola sepak di Singapura."

Oleh itu, ia lebih baik untuk mengelakkan "cara pembetulan paling pantas" dan "membina semula daripada asas", tambah Encik Tong.

"Sekiranya kita melakukannya dengan betul, saya fikir kita boleh menghasilkan keputusan lebih baik pada masa akan datang. Ia bukanlah projek semalaman, ia tidak akan berlaku pada keesokan hari, tetapi berikannya masa dan saya fikir kita akan menyaksikan hasilnya nanti."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan