SG perlu semai semangat keusahawanan dalam kalangan belia lebih awal, kata Dinesh Vasu Dash
Singapura mahu menyemai semangat keusahawanan lebih awal, dengan rancangan menyediakan para pelajar sekolah menengah dan maktab rendah dengan lebih banyak peluang untuk meneroka bidang keusahawanan.
Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash bercakap kepada Mediacorp dalam satu temu bual. (Gambar: CNA)
- Singapura, melalui Menteri Dinesh Vasu Dash dan agensi seperti EnterpriseSG, memperkenalkan lebih banyak peluang keusahawanan kepada pelajar sekolah menengah dan maktab rendah.
- Langkah ini bertujuan memupuk budaya mengambil risiko, belajar dari kegagalan, dan menggalakkan pemikiran melangkaui pasaran tempatan.
- Pelbagai program, ruang kerja seperti LaunchPad, serta penggunaan AI dan kerjasama antarabangsa disediakan untuk menyokong syarikat pemula.
- Matlamat utama ialah membina ekosistem keusahawanan yang kukuh agar syarikat Singapura dapat berkembang ke peringkat serantau dan global.
Langkah tersebut diambil sedang persekitaran bagi pengasas muda berubah, dengan halangan kemasukan yang lebih rendah, struktur sokongan yang lebih kukuh serta kecerdasan buatan (AI) yang memudahkan seseorang untuk memulakan sesuatu usaha niaga, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash.
Bercakap kepada Mediacorp dalam satu temu bual meluas, Encik Dinesh berkata Singapura juga harus membina suatu budaya di mana masyarakat bersedia untuk mengambil risiko, belajar daripada kegagalan dan berfikir melangkaui pasaran tempatan.
Beliau menambah pendekatan pemerintah adalah untuk menyokong idea-idea yang berpotensi merentasi pelbagai industri, bukan hanya sektor yang paling popular seperti kecerdasan buatan AI dan bioteknologi, di samping memberi syarikat pemula lebih banyak laluan untuk berkembang di dalam dan luar negara.
Encik Dinesh merupakan pengerusi bersama jawatankuasa Keusahawanan, salah satu daripada lima jawatankuasa yang meneliti daya saing jangka panjang Singapura di bawah Semakan Strategi Ekonomi (ESR) negara. Mandat jawatankuasa tersebut termasuk memupuk keusahawanan dan meningkatkan daya saing ekosistem syarikat pemula Singapura.
HALANGAN BIDANG KEUSAHAWANAN “JAUH LEBIH RENDAH”
Singapura mempunyai rangkaian syarikat pemula yang rancak. Enterprise Singapore (EnterpriseSG) – agensi utama pemerintah yang memperjuangkan pembangunan perusahaan – menyatakan ekosistemnya merangkumi lebih 4,500 syarikat pemula teknologi, 400 firma modal teroka dan 220 inkubator serta pemangkin pertumbuhan (accelarator).
Banyak syarikat pemula beroperasi dari ruang-ruang seperti LaunchPad @ one-north yang dikendalikan JTC Corporation. Pembangunan itu menawarkan ruang modular seluas 56,000 meter persegi bagi syarikat pemula dalam sektor-sektor seperti sains bioperubatan, infokom, media dan kejuruteraan.
JTC juga sedang memperluas LaunchPad ke Daerah Digital Punggol, yang memberi tumpuan kepada industri digital dan inovasi.
“Apa maknanya bagi golongan muda ... ialah halangan untuk menceburi bidang ini jauh lebih rendah. Jadi hari ini, dengan keupayaan untuk memulakan syarikat, ia sebenarnya sangat mudah, dengan pelbagai geran yang disediakan EnterpriseSG dan sebagainya,” kata beliau.
EnterpriseSG kini menawarkan skim seperti program Startup SG Founder, yang menyediakan bimbingan serta modal permulaan bagi usahawan kali pertama, selain program-program yang menyokong peluasan ke luar negara, inovasi dan pembangunan keupayaan.
Encik Dinesh turut menarik perhatian kepada kerjasama terkini antara Bursa Singapura (SGX) dengan Nasdaq – bursa saham Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat teknologi – yang bertujuan mewujudkan lebih banyak laluan bagi syarikat-syarikat mendapatkan akses kepada para pelabur di kedua-dua pasaran sedang mereka berkembang.
Encik Dinesh berkata matlamat pemerintah bukan sekadar untuk menyokong beberapa sektor yang popular.
“Kami bukan di sini untuk membuat pertaruhan dan mengatakan industri ini lebih baik daripada industri lain, tetapi untuk memastikan semua pilihan terbuka dan pihak yang melakukannya dahulu akan mendapat sokongan, dan kami kemudian akan mencari jalan untuk membantu mereka terus maju,” tambah beliau.
MENGAPA KEUSAHAWANAN PERLU DIMULAKAN LEBIH AWAL
Encik Dinesh berkata Singapura sudah mempunyai semangat keusahawanan dan ia harus dipupuk dari usia muda.
Beliau menceritakan bagaimana anak keduanya, ketika berusia sekitar empat atau lima tahun, memutuskan untuk menukar klip kertas miliknya dengan barangan yang semakin bernilai, dan terus menukarkan barangan tersebut sehingga dia memperolehi wang yang mencukupi untuk membeli sebatang pen – yang kemudiannya dijual pada harga S$20.
“Apa yang saya lihat pada anak saya bukan sesuatu yang unik (kepadanya),” kata Encik Dinesh. “Saya rasa ramai antara kita di Singapura mempunyai semangat keusahawanan dalam diri kita, dan penting untuk kita memupuknya.”
Beliau berkata sekolah, politeknik dan universiti sememangnya telah memainkan peranan, namun lebih banyak boleh dilakukan.
Beliau menyorot usaha untuk memperkenalkan peluang keusahawanan lebih awal, termasuk program “My First $1000” oleh firma modal teroka East Ventures – inisiatif selama lapan minggu yang memberi modal permulaan kepada belia berusia 14 hingga 18 tahun untuk merealisasikan idea perniagaan dalam keadaan pasaran sebenar.
Encik Dinesh berkata program sedemikian boleh membantu golongan muda belajar mengambil risiko yang diperhitungkan serta menjadi lebih selesa menghadapi kegagalan sejak awal lagi.
Beliau menambah bahawa terdapat juga perbincangan berhubung cara untuk memperluas pendedahan keusahawanan kepada para pelajar sekolah menengah dan maktab rendah. Ini boleh dilakukan menerusi kelab-kelab keusahawanan sedia ada dan program-program yang bertujuan memupuk minat dari usia muda.
AI BOLEH BANTU PENGASAS MULAKAN PERNIAGAAN DENGAN LEBIH RINGKAS
AI juga sedang mengubah rupa sesebuah perniagaan baharu. Daripada memerlukan pasukan penuh sejak hari pertama, para pengasas kini boleh menggunakan alat-alat digital untuk mengurus operasi asas dan mengurangkan kos awal.
“Banyak bantuan tambahan yang anda perlukan pada peringkat awal boleh dilakukan menerusi AI, anda boleh mempunyai pembantu yang membantu dalam urusan sumber manusia, kewangan dan sebagainya, dan anda belum perlu membelanjakan wang untuk perkara tersebut,” kata Encik Dinesh.
Beliau berkata AI boleh menjadi titik permulaan yang baik bagi syarikat pemula, membolehkan mereka melakukan eksperimen dan memperhalusi idea sebelum berkembang lebih jauh lagi.
Namun beliau menegaskan bahawa syarikat pemula akhirnya masih perlu berkembang melepasi peringkat awal, termasuk membina pasukan dan struktur yang lebih besar apabila perniagaan tersebut berkembang.
KEGAGALAN SEBAHAGIAN DARIPADA PERJALANAN
Bukan semua syarikat pemula akan mencapai kejayaan, dan Encik Dinesh berkata sesetengah pengasas berdepan kesukaran apabila pertumbuhan terlalu perlahan atau apabila pesaing bergerak dengan lebih pantas.
“Keseluruhan idea syarikat pemula ialah anda berkembang, bergerak dengan sangat pantas, mencari satu ruang, dan kemudian mula berkembang dengan cepat juga,” kata beliau.
“Jika kadar perkembangan tidak cukup pantas, dan apabila pesaing lain mula memasuki pasaran, di situlah wujudnya tahap risiko tertentu, jidar keuntungan akan menjadi lebih kecil, dan jika anda tidak dapat menyesuaikan diri dengan cukup pantas, maka anda mungkin terpaksa menutup syarikat anda.”
Namun beliau berkata kegagalan tidak seharusnya dianggap sebagai penamat.
“Kita seharusnya meraikan kegagalan … kerana setiap kegagalan akhirnya akan membawa kepada kejayaan yang lebih baik hasil daripada pengajaran yang dipelajari,” kata beliau.
Keusahawanan masih sering dilihat sebagai sesuatu yang berisiko di Singapura, dan Encik Dinesh berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan terhadap bidang tersebut.
Beliau menambah: “Kebanyakan ibu bapa tidak akan menghalang anak-anak mereka daripada melakukan apa yang mereka benar-benar mahu lakukan, dan (jika) anak-anak benar-benar percaya inilah yang perlu mereka lakukan, saya pasti kebanyakan ibu bapa … akan menyokong mereka.”
LANGKAH SETERUSNYA ADALAH UNTUK BERFIKIR LEBIH JAUH
Bagi Singapura, matlamatnya bukan sekadar untuk melahirkan lebih banyak syarikat pemula, tetapi membangunkan syarikat-syarikat yang mampu berkembang ke peringkat serantau dan global.
Encik Dinesh menegaskan bahawa pasaran domestik Singapura adalah kecil dan menggalakkan syarikat pemula supaya berfikir melangkaui pasaran tempatan jika mahu berkembang.
Beliau berkata agensi pemerintah boleh membantu syarikat pemula berkembang ke luar negara dengan menghubungkan mereka dengan rangkaian luar negara, menyediakan maklumat berhubung pasaran dan skim sokongan.
EnterpriseSG juga mengendalikan pusat-pusat luar negara yang membantu syarikat Singapura menyesuaikan diri dengan pasaran asing, peraturan dan persekitaran perniagaan sedang mereka berkembang ke luar negara.
Encik Dinesh berkata masyarakat tidak seharusnya melihat keusahawanan sebagai suatu usaha buat individu lain, sambil menambah bahawa semangat keusahawanan boleh wujud pada sebarang usia.
Malah sekarang, kata Encik Dinesh, beliau masih mempunyai ideanya sendiri.
“Saya sentiasa mahu membuka sebuah … bar atau restoran yang bagus suatu hari nanti.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.