SG perlu pastikan bidang guaman terus mampan, bukan lebih mudah: Edwin Tong
Singapura perlu memastikan bidang guaman terus mampan, dan bukannya menjadikannya lebih mudah, kata Menteri Undang-Undang Edwin Tong pada Selasa (7 Jul).
Kadar peguam yang meninggalkan bidang guaman kekal stabil sepanjang sedekad lalu, kata Menteri Undang-Undang Edwin Tong pada 7 Julai 2026. (Gambar: CNA)
Menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP) berhubung kemampanan bidang guaman, Encik Tong mengakui kerjaya tersebut sememangnya mencabar, namun menegaskan ia mempunyai tujuan yang lebih besar.
“Walaupun tekanan seperti tempoh masa yang singkat, tuntutan klien dan tekanan ekonomi bukanlah sesuatu yang unik dalam bidang guaman, apa yang membezakannya ialah keistimewaan untuk memperjuangkan kepentingan orang lain,” kata beliau dalam satu jawapan bertulis.
Ramai peguam memilih untuk menceburi bidang itu kerana mereka menghargai makna dan tujuan kerjaya tersebut, serta sanggup untuk memikul tanggungjawab dan tekanan yang datang bersamanya, kata Encik Tong.
“Oleh itu, persoalannya bukan bagaimana untuk menjadikan bidang ini lebih mudah, tetapi bagaimana untuk memastikan ia terus mampan, supaya mereka yang memilih kerjaya ini atas sebab yang betul tidak meninggalkannya atas sebab yang salah.”
Empat AP mengemukakan soalan berkaitan kajian oleh Persatuan Guaman Singapura (LawSoc), yang mendapati ramai peguam meninggalkan bidang guaman swasta akibat budaya kerja yang toksik, pembulian, beban kerja yang tidak munasabah serta kerjaya yang mengganggu kehidupan peribadi mereka.
Dapatan kajian yang diterbitkan pada Jun lalu itu menambah kepada kebimbangan yang sudah lama dibangkitkan mengenai kadar peguam yang meninggalkan bidang tersebut.
Sebelum ini, Hakim Besar Sundaresh Menon berkata seorang daripada setiap tiga peguam baharu mungkin meninggalkan bidang itu dalam tempoh tiga tahun akibat beban kerja dan budaya kerja yang kurang sihat.
“Secara keseluruhannya, kajian itu mendedahkan beberapa dapatan yang membimbangkan dan ia perlu dipandang serius, dengan perubahan yang tegas dilaksanakan jika sesuai,” kata Encik Tong.
LawSoc telah menubuhkan sebuah pasukan bertindak untuk meneliti dapatan serta implikasi kajian tersebut, selain mengemukakan saranan.
Sebuah jawatankuasa bersama Badan Kehakiman dan LawSoc turut ditubuhkan untuk menangani maklum balas yang berada di bawah bidang kuasa mahkamah.
KADAR PEGUAM TINGGALKAN BIDANG KEKAL STABIL
Usaha untuk meningkatkan kadar pengekalan peguam perlu mengambil kira pelbagai faktor yang menjadi sebab untuk meninggalkan bidang itu, kata Encik Tong, sambil menegaskan bahawa kadar mereka yang meninggalkan bidang guaman kekal stabil.
Beliau berkata para peguam meninggalkan bidang tersebut atas pelbagai sebab.
Antaranya termasuk beban kerja, budaya tempat kerja, kekurangan penyeliaan atau bimbingan, serta peluang kerjaya yang lebih menarik di tempat lain.
“Sebarang usaha yang serius untuk meningkatkan kadar pengekalan perlu menangani faktor-faktor ini,” kata beliau.
Bagaimanapun, beliau turut menarik perhatian bahawa kadar peguam yang meninggalkan bidang guaman kekal stabil sepanjang sedekad lalu.
“Itulah gambaran keseluruhannya,” kata Encik Tong.
BUDAYA TEMPAT KERJA, BULI
Menurut kajian LawSoc, corak budaya tempat kerja yang toksik, termasuk sikap tidak beradab dan amalan membuli, dilaporkan berlaku di semua peringkat kerjaya guaman, daripada peguam pelatih hingga peguam kanan.
Kajian itu juga mendapati kesihatan diri serta kesejahteraan mental merupakan antara faktor utama yang mendorong para peguam untuk meninggalkan bidang tersebut.
Mengulas kebimbangan itu, Encik Tong berkata perlindungan sedia ada, seperti Nasihat Tiga Pihak mengenai Pengurusan Gangguan di Tempat Kerja, dilaksanakan dengan tahap ketegasan yang sama dalam sektor guaman seperti sektor-sektor lain.
Beliau turut menarik perhatian bahawa LawSoc telah mengeluarkan "nota dan set panduan" pada Oktober tahun lalu bagi mencegah perbuatan membuli dan gangguan di tempat kerja.
“Namun begitu, kami menerima hakikat bahawa kajian tersebut mencerminkan satu kebimbangan yang lebih khusus, iaitu peguam, terutama yang lebih muda, mungkin berasa tidak mampu membangkitkan kebimbangan mengenai tingkah laku yang memudaratkan di tempat kerja atau di mahkamah kerana bimbang ia akan menjejas kerjaya mereka,” kata Encik Tong.
Bagi menangani isu tersebut, Encik Tong berkata rangka kerja rasmi semata-mata tidak mencukupi.
“Bagi ramai peguam, risiko untuk tampil bersuara mungkin dirasakan terlalu tinggi, dan perkara itu perlu diberi perhatian.”
Beliau menambah bahawa tingkah laku, jangkaan serta budaya yang ditetapkan oleh para pemimpin industri akan memainkan peranan yang “amat penting” dalam membentuk pengalaman peguam menjalankan tugas mereka, serta menentukan sama ada mereka akan terus kekal dalam bidang tersebut, sekali gus mengulangi pandangan yang pernah disuarakan Hakim Besar Sundaresh Menon.
"TINGKATKAN KEUPAYAAN"
Encik Tong menambah bahawa Kementerian Undang-Undang (MinLaw) sedang memberi tumpuan kepada pelbagai program dan skim bagi membantu bidang guaman "meningkatkan keupayaannya".
Menurut kajian tersebut, sebahagian responden berpendapat bahawa latihan guaman yang diterima tidak mencukupi untuk menyediakan mereka menghadapi realiti sebenar sebagai seorang peguam.
Beberapa responden berkata pendidikan guaman mereka kurang memberi pendedahan kepada kemahiran praktikal seperti penyediaan dokumen undang-undang dan temu bual dengan pelanggan, manakala yang lain pula membangkitkan jurang dalam kemahiran perhubungan serta pembangunan profesional.
“MinLaw telah melaksanakan pelbagai skim untuk melengkapkan dan menyokong para peguam serta firma guaman dalam menyesuaikan diri dengan amalan guaman moden,” kata Encik Tong.
Antara usaha tersebut termasuk satu inisiatif bagi membantu firma guaman melaksanakan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan menguruskan perubahan, selain menawarkan anugerah pendidikan dalam bidang undang-undang sivil, kata beliau.
Kementerian itu juga melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program pertukaran dan rangkaian antarabangsa yang memberi peluang kepada para peguam untuk berinteraksi dengan masyarakat perundangan antarabangsa, kata Encik Tong.
Menurut beliau, inisiatif sedemikian dapat meningkatkan profil dan reputasi para peserta, sekali gus meletakkan mereka pada kedudukan yang lebih baik untuk bersaing bagi mendapatkan tugas guaman rentas sempadan.
“Jawatankuasa Masa Depan Kerjaya Guaman akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk meneliti isu-isu ini, termasuk menilai semula cara kerja guaman diatur dan dilaksanakan, bagaimana peguam dibangunkan serta disokong, dan bagaimana kerjaya yang mampan dapat dibina dalam amalan guaman masa kini.”
KESAN AI TERHADAP PEGUAM
Menjawab satu soalan mengenai kesan AI terhadap para peguam, Encik Tong berkata AI “akan terus berkekalan”, dan bidang guaman perlu menerimanya.
Menurut beliau, teknologi itu berpotensi mengurangkan beban tugas rutin yang memakan masa, namun pada masa yang sama meningkatkan jangkaan pelanggan, memendekkan tempoh penyelesaian kerja dan menimbulkan kebimbangan sebenar tentang masa depan kerjaya dalam bidang guaman.
Tanpa pengurusan yang teliti, sebarang peningkatan kecekapan hasil penggunaan AI boleh diatasi oleh peningkatan tuntutan kerja, sekali gus menafikan manfaatnya terhadap kemampanan kerjaya guaman, kata beliau.
“Cara kita menguruskan peralihan dan penggunaan AI akan menentukan bagaimana industri guaman berkembang.”
Encik Tong berkata MinLaw sedang meneliti penggunaan AI pada tahap yang lebih asas, termasuk sama ada struktur latihan guaman dari sekolah undang-undang hingga ke dunia pekerjaan perlu diubah bagi mempersiapkan para peguam menghadapi landskap yang semakin berubah.
MODEL BAYARAN MENGIKUT JAM
Menteri itu menambah bahawa MinLaw akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk memajukan pembangunan sistem perundangan Singapura dalam sekitaran global yang semakin berdaya saing dan mencabar.
Salah satu aspek yang sedang diteliti ialah cara perkhidmatan guaman dikenakan bayaran, kata beliau sambil menarik perhatian bahawa model tradisional bil mengikut jam, di mana bayaran dikenakan berdasarkan tempoh masa yang diambil untuk menyediakan perkhidmatan guaman kepada pelanggan, kini semakin dipersoalkan.
Kajian LawSoc turut membangkitkan kelemahan model tersebut, dengan menyatakan bahawa ia boleh mewujudkan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan rakan sekerja, dengan peguam kanan menyimpan kes-kes yang lebih menguntungkan untuk diri mereka sendiri.
“Kami sedar persaingan yang semakin sengit akan meletakkan tuntutan yang lebih besar ke atas para peguam,” kata Encik Tong.
“Dalam sekitaran sedemikian, kita perlu mengukuhkan semula tujuan yang lebih mendalam serta nilai-nilai murni profesion guaman, iaitu bukan sekadar satu kerjaya, tetapi satu tugas yang berteraskan khidmat, integriti dan keadilan.”
Beliau menambah, bidang guaman yang teguh menjadi asas kepada ekonomi yang kukuh dan masyarakat yang bersatu padu.
“Matlamatnya bukan untuk merendahkan piawaian, tetapi mengekalkan kecemerlangan dengan cara yang membolehkan para peguam membina kerjaya yang panjang dan memuaskan, di samping memastikan sektor guaman terus berkembang maju.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.