Skip to main content

Singapura

SG perlu bina kepakaran nuklear untuk jadi 'pemerhati bijak': Pakar

Dengan mendalami pemahamannya tentang teknologi nuklear, Singapura dapat melibatkan rakan-rakan kongsi serantau dengan lebih baik dan menilai potensi berlaku risiko, kata Profesor Laurence Williams, Pengerusi Panel Penasihat Keselamatan Nuklear Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Anggaran Waktu Membaca:
SG perlu bina kepakaran nuklear untuk jadi 'pemerhati bijak': Pakar
Pandangan umum ruang operasi reaktor nuklear di kemudahan penyelidikan Reaktor Nuklear Kartini milik Agensi Penyeldikan dan Inovasi Nasional di Yogyakarta, Indonesia. (Gambar: AFP/Devi Rahman)
SINGAPURA: Dengan mendalami pemahamannya tentang teknologi nuklear, Singapura dapat melibatkan rakan-rakan kongsi serantau dengan lebih baik dan menilai potensi berlaku risiko, kata Profesor Laurence Williams, Pengerusi Panel Penasihat Keselamatan Nuklear Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Dalam temu bual bersama rancangan Singapore Tonight terbitan CNA pada Jumaat (14 Nov), Prof Williams berkata bahawa adalah penting untuk Singapura membangunkan keupayaan sedemikian "tanpa mengira sama ada pemerintah memutuskan untuk melancarkan program kuasa nuklear".

Singapura sedang mengkaji tenaga nuklear sebagai sumber tenaga rendah karbon.

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) sedang menilai daya maju penggunaan teknologi tenaga nuklear canggih di Singapura.

Awal tahun ini, NEA menubuhkan sebuah panel penasihat untuk membimbing pembinaan keupayaan Singapura dalam bidang-bidang keselamatan dan perlindungan nuklear.

Prof Williams menambah bahawa adalah penting untuk Singapura menjadi "pemerhati bijak" dengan keupayaan untuk memahami apa itu teknologi nuklear dan apakah risiko yang berkaitan dengan nuklear.

Beliau berkata kepakaran sedemikian akan membantu negara ini “berbincang dengan negara-negara jiran jika mereka sedang membangunkan program tenaga nuklear, untuk dapat mempengaruhi mereka, tetapi juga mempunyai pemahaman yang mendalam tentang maknanya kepada Singapura”.

Negara-negara Asia Tenggara lain seperti Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina juga sedang meneroka tenaga nuklear.

Singapura bagaimanapun tidak dapat mengesahkan keadaan semasa atau tahap kematangan rancangan mereka, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga dan Sains & Teknologi, Tan See Leng pada awal bulan ini.

Singapura sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk "mengelompokkan" data yang ada, kata Dr Tan di Parlimen.

Prof Williams turut menekankan betapa pentingnya kerjasama antarabangsa.

“Singapura mempunyai asas yang baik untuk memulakannya. Ia mempunyai universiti yang baik, jurutera yang baik, saintis yang baik. Keupayaan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan negara-negara yang mempunyai program yang lebih maju sangat penting.”

MENDAPATKAN PENERIMAAN AWAM

Walaupun tanpa keputusan untuk meneruskan tenaga nuklear, Prof Williams berkata adalah sesuatu yang “bijaksana” untuk pemerintah mengkaji pilihannya untuk masa depan.

“Singapura adalah sebuah negara perindustrian yang sangat maju. Ia memerlukan tenaga. Kemakmuran berkait rapat secara langsung dengan penggunaan tenaga,” katanya.

“Dengan perubahan iklim, kita sedang meneroka teknologi hijau. Tenaga nuklear merupakan tenaga rendah karbon, jadi ia berpotensi memainkan peranan penting.”

Kebimbangan orang ramai tentang sisa nuklear dan keselamatan kekal antara halangan terbesar di Singapura.

Prof Williams berkata pendidikan dan komunikasi akan menjadi kritikal untuk menangani kebimbangan ini.

“Saya fikir ia ditangani melalui perbincangan dengan orang ramai, menjelaskan apa itu tenaga nuklear, menjelaskan apa itu sisa nuklear,” katanya lagi.

“Oleh kerana tenaga nuklear merupakan medium yang sangat padat tenaga, jumlah sisa yang dihasilkan berbanding jumlah elektrik agak kecil (berbanding) dengan bentuk sisa perindustrian lain atau sisa domestik. Walaupun orang ramai agak bimbang mengenainya, ia merupakan aktiviti yang agak mudah untuk diuruskan.”

“Saya tidak menganggap sisa sebagai satu hambatan kepada penyampaian tenaga nuklear,” tambahnya, sambil merujuk kepada negara-negara seperti Perancis, Sweden dan Finland, yang berada di peringkat lanjutan dalam membangunkan tempat menyimpan sisa bawah tanah.

Ditanya soalan apa yang perlu dipertimbangkan oleh Singapura dalam menimbangkan daya maju tenaga nuklear, Prof Williams berkata perbincangan itu mesti mengambil kira perubahan iklim, keselamatan tenaga dan kepercayaan awam.

Sebahagian besar elektrik Singapura adalah daripada gas asli, yang tidak akan kekal selama-lamanya, katanya lagi.

“Kita tahu terdapat kesan hidrokarbon terhadap perubahan iklim. Apabila gas habis, harganya akan meningkat, jadi dari segi keselamatan tenaga, anda perlu melihat alternatifnya – nuklear, solar, angin.”

Berdasarkan geografi Singapura, tenaga nuklear mempunyai beberapa kelebihan berbanding dua pilihan lain, yang memerlukan ruang untuk memasang turbin angin atau panel solar, kata Prof Williams.

Sambil mengakui bahawa keyakinan awam terhadap keselamatan nuklear masih menjadi cabaran, Prof Williams menegaskan bahawa terdapat kira-kira 450 reaktor yang beroperasi di seluruh dunia, dengan lebih 20,000 tahun reaktor beroperasi dengan selamat.

"Teknologi ini sangat matang. Dan jika reaktor ini direka bentuk dengan betul, dibina dengan betul dan dikendalikan dengan betul, dan ia mempunyai pengawal selia yang kuat, ia tidak akan menimbulkan masalah."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita