SG perlu 'bijak dan berani' untuk atasi perubahan dunia, kata DPM Wong
Dalam dunia yang berubah-ubah di mana peraturan kini dibentuk bukan oleh prinsip yang konsisten tetapi geopolitik dan keperluan keselamatan, Singapura “tidak mampu untuk mengatasi pesaingnya yang lebih besar” untuk menarik pelaburan, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (1 Mei).
Namun, Encik Wong berkata meskipun Singapura "tidak akan mempunyai wang yang cukup" untuk menyaingi persaingan, negara ini masih boleh berjaya jika ia mempunyai "semangat berani, bijak dan berinovasi,", katanya dalam ucap tama di Rapat Hari Buruh.
“Itulah satu-satunya cara kita akan berjaya,” kata Encik Wong, sambil berkata ini bukan kali pertama Singapura terpaksa mengambil tindakan untuk mengatasi cabaran berat sedemikian, yang merangkumi isu minyak hingga krisis kewangan.
Setiap kali Singapura dicabar, kata Encik Wong, negara ini tidak menyerah kalah.
"Sebaliknya, kami bekerja lebih keras dan bangkit dengan lebih kuat," katanya.
Meskipun ia adalah kali kedua Encik Wong berucap di Rapat Hari Buruh, hakikatnya ialah ucap tama di perhimpunan tahunan itu disampaikan oleh DPM Wong dan bukannya Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
PM Lee turut hadir bersama 1,400 pemimpin pergerakan buruh, pekerja dan rakan kongsi tiga pihak di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.
CABARAN DIHADAPI SINGAPURA
Encik Wong menjelaskan lagi bagaimana Singapura sudah merasai kesan daripada peraturan yang berubah-ubah itu dengan negara-negara ekonomi utama menggerakkan "sejumlah wang yang sangat besar" untuk membangunkan industri strategik.
Sebagai contoh, Jerman sedang berunding dengan pembuat cip Intel untuk menubuhkan kilang semikonduktor di Jerman Timur. Perjanjian itu melibatkan sokongan pembiayaan sebanyak S$10 bilion (AS$7.5 bilion).
"S$10 bilion untuk hanya satu projek....Itu hampir seganda jumlah yang akan dibelanjakan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan tahun ini untuk mengembangkan keseluruhan ekonomi kita! Bayangkan hanya satu projek – dan subsidi yang dijanjikan adalah seganda daripada perbelanjaan MTI dalam setahun!" kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.
Ekonomi-ekonomi maju, katanya, turut memberikan "subsidi besar-besaran" untuk membina kapasiti pengeluaran dalam negeri mereka sendiri, terutamanya dalam industri strategik seperti semikonduktor dan tenaga bersih.
Ironinya, kata Encik Wong, tidak lama dulu, negara-negara yang sama ini merungut tentang apa yang mereka panggil persaingan cukai yang berbahaya - iaitu bagaimana pemerintah di seluruh dunia bersaing antara satu sama lain dengan menawarkan lebih banyak insentif cukai yang lebih murah hati.
Negara-negara tersebut ketika itu mendesak diadakan perjanjian global untuk menghentikan persaingan cukai, yang kini dipanggil Base Erosion Profit Shifting atau BEPS, yang termasuk cukai korporat minimum sebanyak 15 peratus.
"Namun, sebelum ini boleh dilaksanakan, ekonomi utama - Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China - sudahpun mengeluarkan subsidi besar untuk projek dan pelaburan utama," kata Encik Wong.
"Insentif cukai dan subsidi semuanya melibatkan dana awam. Jadi adalah sangat tidak konsisten untuk mengatakan insentif cukai tidak boleh dilakukan, tetapi boleh untuk subsidi."
Singapura sudah pun merasai kesan perubahan peraturan ini, kata Encik Wong.
Sebagai contoh, apabila Pemerintah berunding dengan syarikat berbilang negara (MNC) tentang menaikkan kadar cukai korporat kepada 15 peratus, firma-firma tersebut berkata ia maklum tentang rasionalnya kerana ia berlaku di seluruh dunia.
Bagaimanapun, syarikat-syarikat ini juga berkata jika ia berlaku, Singapura akan "kurang berdaya saing berbanding tempat lain" kerana bidang kuasa negara asal mereka kini menawarkan subsidi yang besar.
MNC ingin tahu apa yang boleh ditawarkan Singapura untuk memujuk mereka menempatkan projek pelaburan seterusnya di Republik ini, tambah DPM Wong.
RANCANG MASA DEPAN SINGAPURA
Memandang ke depan, Encik Wong berkata COVID-19 telah "meningkatkan reputasi antarabangsa negara ini sebagai hab perniagaan yang boleh dipercayai".
Oleh itu, beliau berkata Singapura mesti merebut peluang ini, untuk menjadikan negara ini "lebih berdaya saing dan relevan" kepada dunia.
Strategi lain termasuk melabur dalam ketersambungan dan prasarana Singapura, seperti Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan projek Pelabuhan Tuas.
“Ini akan meningkatkan kapasiti kami dengan ketara dan mengukuhkan status daya saing kami sebagai hab perniagaan dan logistik,” kata beliau.
Mendalami keupayaan Singapura untuk berinovasi, terutamanya dalam bidang kekuatan negara ini seperti penyelidikan dan pembangunan juga akan menjadi satu lagi strategi, kata DPM Wong.
Rancangan sedemikian, kata beliau, telah membawa kepada syarikat-syarikat yang ingin melabur dan mewujudkan pekerjaan di Singapura merentasi semua sektor dalam ekonomi.
“Jadi, di sebalik awan gelap di sekeliling kita, saya berkata: jangan takut, dan jangan putus asa. Singapura mungkin negara yang kecil. Tetapi titik merah kecil ini bersinar lebih terang daripada sebelumnya,” ujar Encik Wong lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.