SG perlu bantu pendatang asing, pekerja hijrahan sesuaikan diri dengan norma sosial: SM Lee
Menteri Kanan Lee Hsien Loong berkata Singapura harus membantu pendatang asing dan pekerja hijrahan untuk menyesuaikan diri dengan norma sosial negara ini, selain mengalu-alukan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar Singapura.
Beliau berkata demikian di majlis menjunjung budi untuknya yang dianjurkan oleh masyarakat India tempatan pada Sabtu (11 Jan).
Dalam ucapannya, SM Lee akur kehadiran pendatang dan pekerja hijrahan telah menimbulkan pelbagai cabaran dalam politik banyak masyarakat lain.
Namun Singapura, tegasnya, sangat bergantung kepada pendatang dan pekerja hijrahan untuk meningkatkan jumlah penduduk dan bakatnya.
"Maka itu, kita perlu mengurus kemasukan dan (proses mereka) menyesuaikan diri secara sangat sensitif dan penuh berhati-hati, demi memastikan pergerakan di sini seimbang dan mampan," jelas SM Lee.
Beliau selanjutnya berkata Singapura perlu menentang pandangan yang lebih mengutamakan hak dan kepentingan penduduk asal.
"Kita juga harus berdiri teguh menentang nativisme dan xenofobia, dan mengalu-alukan pendatang baharu sebagai sebahagian daripada keluarga besar kita," ujarnya.
"Kita juga harus membantu mereka menyesuaikan diri secara bertahap-tahap kepada cara hidup kita di Singapura, kepada norma dan etos sosial kita."
"Inilah bagaimana generasi-generasi lalu menjadi bangsa India rakyat Singapura, dan ia akan berlaku dalam generasi ini, serta bagi pendatang baharu dari kumpulan dan tempat lain juga," tambah beliau.
"Begini caranya kita dapat mengekalkan dan memperkaya identiti Singapura yang dikongsi bersama. Dan ini caranya untuk membina sebuah masyarakat kohesif dan inklusif," kata SM Lee lagi.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat India atas sokongan kukuh ramai individunya pada waktu-waktu sukar. Ini menurutnya mencerminkan nilai-nilai teras rakyat Singapura.
Hampir 2,000 pemimpin dan anggota masyarakat India hadir untuk memberi penghormatan kepada mantan Perdana Menteri itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.