SG perkenal pelbagai inisiatif tangani isu ketelusan, keraguan terhadap kredit karbon
Di tengah-tengah keraguan daripada syarikat-syarikat perniagaan tentang mutu dan integriti kredit karbon di seluruh dunia, Singapura pada Selasa (28 Okt) mendedahkan beberapa inisiatif yang bertujuan untuk membantu syarikat-syarikat perniagaan memanfaatkan pasaran karbon sukarela.
Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Gan Siow Huang berucap di Sidang Puncak Tenaga Bersih Asia 2025 pada 28 Oktober 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Langkah-langkah tersebut termasuk S$15 juta yang diperuntukkan untuk geran bagi menggalakkan sektor kewangan menyertai pasaran karbon "integriti tinggi".
"Pasaran karbon sukarela telah menghadapi rintangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," kata Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan Gan Siow Huang pada pembukaan Sidang Puncak Tenaga Bersih Asia.
"Kebimbangan tentang integriti, ketelusan dan mutu kredit karbon sukarela telah menghakis keyakinan, manakala piawai yang tidak konsisten dan publisiti negatif telah menimbulkan kebimbangan terhadap reputasinya," kata Cik Gan di acara tersebut, yang merupakan sebahagian daripada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2025.
"Akibatnya, banyak syarikat teragak-agak untuk menggunakan kredit karbon sukarela bagi memenuhi komitmen iklim mereka atau sebagai sebahagian daripada rancangan menghapuskan karbon."
Kredit karbon ialah sijil yang dijana melalui projek atau aktiviti yang bertujuan untuk mengurangkan, menghapuskan atau mengelakkan pelepasan karbon, seperti memulihkan hutan atau melabur dalam tenaga boleh diperbaharui. Setiap kredit mewakili satu tan karbon dioksida yang sama ada dihapuskan dari atmosfera atau dihalang daripada dilepaskan.
Syarikat-syarikat membeli kredit karbon untuk mengimbangi pelepasan yang tidak dapat dielakkan, biasanya bergantung kepada pendaftaran pihak ketiga seperti Verra dan Gold Standard untuk mengesahkan bahawa projek sedia ada adalah sah.
Tetapi daya maju dan kredibiliti kredit karbon telah dipersoalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berikutan tuduhan berlaku greenwashing (taktik pemasaran yang digunakan untuk memperdaya orang ramai supaya mempercayai bahawa produk, perkhidmatan atau operasi sesebuah organisasi lebih mesra alam), sebahagiannya disebabkan oleh kesukaran menilai impak alam sekitar sebenar projek tindakan iklim.
Berlatarbelakangkan ini, Cik Gan mengumumkan empat inisiatif oleh Singapura untuk menggalakkan firma memulakan projek kredit karbon.
Sebagai permulaan, Singapura akan menerbitkan dokumen panduan yang akan dibangunkan oleh pemerintah dengan berunding dengan industri, katanya.
Panduan ini, yang diterbitkan pada Selasa (28 Okt) akan membantu firma-firma memahami cara menggunakan kredit karbon sukarela sebagai sebahagian daripada usaha pelupusan karbon. Ia dibangunkan dengan berunding dengan Singapore Sustainable Finance Association (Persatuan Kewangan Mampan Singapura), rakan kongsi industri, ahli akademik dan pertubuhan antarabangsa dan akan dikemas kini secara berkala untuk mengikuti perkembangan, menurut kenyataan media mengenainya.
Di samping itu, Enterprise Singapore (EnterpriseSG), sebuah lembaga berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat korporat terkemuka Asia untuk membentuk "gabungan pembeli".
Ini akan mengagregat dan menyalurkan permintaan untuk "kredit karbon sukarela berintegriti tinggi di rantau ini dan seterusnya", kata Cik Gan. Butiran lanjut boleh dijangkakan pada 2026.
Sementara itu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang memperkenalkan Geran Pembangunan Pasaran Karbon Sektor Kewangan baharu untuk meningkatkan penglibatan sektor kewangan merentasi rantaian nilai karbon. Permohonan untuk geran tersebut akan dibuka pada 1 November 2025.
MAS akan memperuntukkan S$15 juta dari 2025 hingga 2028 daripada Dana Pembangunan Sektor Kewangan untuk menyediakan dua landasan sokongan: membina keupayaan pasaran karbon dan memacu penyelesaian dan platform pembiayaan inovatif.
"Geran tersebut akan menampung kos tenaga kerja dan transaksi daripada pembiayaan dan perdagangan projek kredit karbon," kata Cik Gan.
Untuk tujuan itu, geran tersebut akan membiayai bersama tenaga kerja dan kos berkaitan dalam bidang seperti pembiayaan projek karbon, perdagangan karbon, insurans kredit karbon dan perkhidmatan pengurusan risiko.
Kos pendahuluan yang berkaitan dengan pembangunan, penstrukturan dan pelaksanaan transaksi kredit karbon, seperti premium insurans karbon, juga boleh diimbangi oleh geran tersebut.
Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan, MTI, EnterpriseSG dan MAS menyatakan dalam satu kenyataan bersama bahawa pasaran karbon merupakan "pengupaya kritikal untuk peralihan global kepada sifar bersih" kerana ia menyalurkan modal ke arah tindakan iklim.
"Walau bagaimanapun, pertumbuhan pasaran karbon telah dikekang sejak beberapa tahun kebelakangan ini oleh permintaan yang lemah, bekalan terhad projek berintegriti tinggi dan infrastruktur pasaran yang kurang membangun," menurut kenyataan media itu.
Ia menyatakan bahawa institusi kewangan juga mungkin menghadapi kos pendahuluan yang tinggi dalam membangunkan kepakaran dan mengurus kerumitan dan risiko transaksi awal. Geran tersebut akan membantu menampung halangan kos jangka pendek yang dihadapi oleh institusi kewangan dan membina asas untuk penglibatan berterusan dalam pasaran karbon.
Cik Gan juga menyatakan bagaimana Majlis Integriti untuk Pasaran Karbon Sukarela (ICVCM) telah menubuhkan pejabat luar negara pertamanya di Singapura. ICVCM ialah badan global yang memastikan kredit karbon sukarela berkualiti tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.