Skip to main content

Singapura

SG perdalam pemahaman tentang tenaga nuklear; tiada keputusan tentang penggunaan: EMA, NEA

Anggaran Waktu Membaca:
SG perdalam pemahaman tentang tenaga nuklear; tiada keputusan tentang penggunaan: EMA, NEA

Gambar hiasan loji nuklear di Perancis. (Gambar: GUILLAUME SOUVANT / AFP)

Diterbitkan : 22 Mar 2024 07:08AM Dikemas Kini : 22 Mar 2024 07:55AM
SINGAPURA: Meskipun Singapura belum membuat keputusan mengenai tenaga nuklear, usaha sedang dijalankan untuk lebih memahami teknologi dan implikasinya, kata pihak berkuasa pada Jumaat (21 Mac).

Singapura menetapkan sasaran untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050, tetapi sebagai sebuah negara "kurang tenaga", pilihannya adalah terhad, kata jurucakap Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

"Sebarang keputusan untuk menggunakan tenaga baharu memerlukan pertimbangan dan unsur keselamatan, kebolehpercayaan, kemampuan dan kemampanan alam sekitar," kata jurucakap itu.

Buat masa ini, kira-kira 95 peratus tenaga elektrik Singapura dijana daripada gas asli, dalam bentuk gas asli cecair (LNG) dari Indonesia dan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong bulan lalu berkata walaupun LNG adalah bentuk bahan api fosil paling bersih, Singapura tidak boleh mencapai sasaran pelepasan sifarnya dengan bergantung semata-mata kepada gas asli.

Penggunaan tenaga nuklear adalah salah satu senario yang mungkin ditetapkan oleh Singapura dalam Laporan Jawatankuasa Tenaga 2050 yang dikeluarkan pada 2022, di mana nuklear berpotensi dapat membekalkan kira-kira 10 peratus daripada keperluan negara.

Meskipun demikian, penggunaan tenaga nuklear mempunyai risikonya.

Pada Mac 2011, gempa bumi dan tsunami mengakibatkan keruntuhan di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi di Jepun, menyebabkan pemindahan semua orang yang tinggal dalam lingkungan 20km kerana bimbang akan pencemaran radiasi.

"Memandangkan kerumitan teknikal dan perkembangan berterusan dalam tenaga nuklear dan teknologi gabungan, terdapat keperluan untuk terus membina keupayaan untuk lebih memahami keselamatan, dan implikasi alam sekitar teknologi tenaga nuklear dalam konteks Singapura," kata jurucakap NEA dan EMA pada Jumaat.

Beberapa usaha ini termasuk menyokong penyelidikan keselamatan nuklear melalui inisiatif seperti Program Penyelidikan dan Pendidikan Keselamatan Nuklear, dan melalui institusi akademik seperti Inisiatif Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura.

Singapura juga terlibat dengan organisasi antarabangsa untuk memperdalam pemahamannya tentang teknologi nuklear yang berkembang, memudahkan perkongsian maklumat, dan membina keupayaan dalam keselamatan nuklear dan kesediaan dan tindak balas kecemasan.

"Dalam hal ini, NEA adalah ahli aktif Rangkaian Badan Kawal Selia ASEAN mengenai Tenaga Atom (ASEANTOM) yang bertujuan untuk meningkatkan aktiviti kawal selia dan mengukuhkan lagi keselamatan, dan perlindungan nuklear dalam Komuniti ASEAN," kata pihak berkuasa itu.

Untuk memenuhi sasaran pelepasan sifar bersih 2050, Singapura sedang mengembangkan bekalan tenaganya ke arah gas asli, tenaga suria, import elektrik dan alternatif rendah karbon, dalam apa yang digelar sebagai "empat suis".

Pendekatan "empat suis" bertujuan untuk mempelbagaikan sumber tenaga Singapura, meningkatkan kemampanan bekalan kuasanya, sambil memastikan keselamatan tenaga dan daya saing kos, kata NEA dan EMA.

Sebagai sebahagian daripada "suis" alternatif rendah karbon, Singapura perlu mengkaji sumber tenaga seperti "hidrogen, sistem geoterma dalam, biobahan api dan bentuk tenaga nuklear baharu yang berpotensi membolehkan Singapura mengurangkan pelepasan karbon sektor kuasa dalam jangka panjang", tambahnya.
 
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita