SG percepat inovasi jagaan kesihatan; sasar jadi hab penyelidikan klinikal serantau
Singapura menyasarkan untuk menjadi antara hab penyelidikan klinikal dan penjanaan bukti yang paling dipercayai serta cekap di rantau ini, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (12 Okt), ketika mengumumkan beberapa langkah untuk mempercepat proses kawal selia bagi pembangunan dan ujian ubat-ubatan.
- Singapore wants to become a trusted hub for clinical research and health evidence, with HSA speeding up medicines regulation and linking clinical development, technology assessment and patient access.
- Ong Ye Kung announced the HSA-ACE pathway and a collaboration with Britain, which could shorten approval for certain Phase 3 trials to 15 days and assessment decisions to six to nine months.
- HSA will become an integrated health regulator, with MOH functions to be transferred on Nov 1 and SPB functions by the end of 2027 after amendment legislation was passed in September.
- Singapore is also pursuing WHO recognition for vaccines and will set up an industry advisory council by the first half of 2027 to address innovation, new risks and the use of AI.
- Singapura mahu menjadi hab penyelidikan klinikal dan bukti kesihatan yang dipercayai, dengan HSA mempercepat kawal selia ubat serta menghubungkan pembangunan klinikal, penilaian teknologi dan akses pesakit.
- Ong Ye Kung mengumumkan laluan HSA-ACE dan kerjasama Britain, yang boleh memendekkan kelulusan ujian Fasa 3 tertentu kepada 15 hari serta keputusan penilaian kepada enam hingga sembilan bulan.
- HSA akan menjadi badan kawal selia kesihatan bersepadu, dengan fungsi MOH dipindahkan pada 1 November dan fungsi SPB menjelang akhir 2027 selepas undang-undang pindaan diluluskan pada September.
- Singapura juga mengejar pengiktirafan WHO bagi vaksin dan akan menubuhkan Majlis Penasihat Industri menjelang separuh pertama 2027 bagi menangani inovasi, risiko baharu dan penggunaan AI.
SINGAPURA: Singapura menyasarkan untuk menjadi antara hab penyelidikan klinikal dan penjanaan bukti yang paling dipercayai serta cekap di rantau ini, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (12 Okt), ketika mengumumkan beberapa langkah untuk mempercepat proses kawal selia bagi pembangunan dan ujian ubat-ubatan.
Bagi mencapai matlamat tersebut, Encik Ong berkata usaha Penguasa Sains Kesihatan (HSA) akan merangkumi keseluruhan rantaian nilai jagaan kesihatan, dengan menghubungkan bidang-bidang seperti pembangunan klinikal, kawal selia, penilaian teknologi kesihatan dan akses pesakit kepada rawatan.
Antara langkah yang diumumkan ialah laluan keutamaan baharu antara HSA dengan Agensi Keberkesanan Jagaan (ACE), yang membolehkan produk kesihatan terpilih menjalani penilaian kawal selia dan penilaian teknologi kesihatan secara serentak.
Satu lagi inisiatif melibatkan kerjasama dengan Britain untuk mewujudkan "koridor inovasi kawal selia" baharu bagi menilai terapi perintis, termasuk yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan ubat-ubatan dan ujian klinikal.
Inisiatif tersebut, termasuk rancangan HSA untuk memperkemas proses semakan kawal selia, berpotensi mengurangkan separuh tempoh kelulusan bagi ujian klinikal Fasa 3 terpilih yang mempunyai risiko lebih rendah, daripada 30 hari kepada 15 hari. Ia juga dapat memendekkan tempoh bagi keputusan pertama penilaian teknologi kesihatan, daripada sekitar setahun kepada antara enam dengan sembilan bulan selepas kelulusan kawal selia diberikan.
Encik Ong berkata syarikat-syarikat ketika ini perlu berurusan dengan beberapa agensi pemerintah sepanjang proses, daripada penyelidikan kepada pembangunan klinikal, penilaian kawal selia dan akses pesakit kepada rawatan.
"Setiap kali proses itu berpindah daripada satu pihak kepada pihak lain, ia boleh memakan masa, kos dan ketidakpastian. Kami mahu memudahkan dan memperkemas proses ini, tanpa menjejas kebebasan atau ketelitian setiap proses kawal selia," kata beliau.
Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras Dasar Sosial, berucap di Persidangan Kawal Selia Kesihatan sulung di Hotel Grand Copthorne Waterfront Singapore. Persidangan tersebut dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan HSA, dengan sokongan Pusat Kecemerlangan Kawal Selia Duke-NUS.
Beliau berkata pendekatan kawal selia HSA sedang diperluas merentasi tiga bidang – sempadan geografi, rantaian nilai jagaan kesihatan dan pelbagai bidang kawal selia.
Bagi memperkukuh kedudukan Singapura sebagai hab kawal selia yang dipercayai di peringkat sejagat, HSA sedang mempererat kerjasama antarabangsa dan memastikan rangka kerja kawal selianya sejajar dengan rangka kerja rakan-rakan antarabangsa.
"Dengan segala usaha ini, Singapura bukan sekadar sebuah pasaran dengan enam juta penduduk. Kita boleh menjadi pintu masuk yang dipercayai ke pasaran yang merangkumi ratusan juta penduduk di negara-negara dan rantau lain," kata Encik Ong.
Singapura juga sedang berusaha mendapatkan status sebagai pihak berkuasa yang disenaraikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi vaksin, menurut HSA dalam satu kenyataan media.
Status tersebut merupakan tahap pengiktirafan tertinggi di bawah rangka kerja penanda aras WHO bagi badan kawal selia. Menurut HSA, pengiktirafan tersebut berpotensi mempercepat akses kepada vaksin sambil mengekalkan piawaian keselamatan yang tinggi.
PENYATUAN BIDANG KAWAL SELIA
Bidang-bidang utama kawal selia juga akan disatukan di bawah HSA bagi mewujudkan sistem kawal selia yang lebih jelas dan mudah, serta berupaya menilai inovasi dalam jagaan kesihatan. Rang Undang-Undang (Pindaan) Penguasa Sains Kesihatan dan Perkara-Perkara Lain, yang diluluskan parlimen pada September, menetapkan HSA sebagai badan kawal selia kesihatan bersepadu Singapura.
Sebelum ini, MOH bertanggungjawab mengawal selia perkhidmatan jagaan kesihatan, maklumat kesihatan, penyelidikan bioperubatan melibatkan manusia dan biokeselamatan.
HSA pula mengawal selia produk-produk kesihatan seperti ubat-ubatan dan peranti perubatan, manakala Sekretariat Lembaga Profesional Penjagaan Kesihatan (SPB) menyokong lembaga dan majlis yang menerajui kawal selia para karyawan perubatan serta kesihatan bersekutu.
Menurut HSA, penyatuan itu akan dilaksanakan dalam dua fasa. Dalam fasa pertama, fungsi kawal selia dan tenaga kerja MOH akan dipindahkan kepada HSA pada 1 November. Bagi fasa kedua pula, fungsi dan tenaga kerja SPB akan dipindahkan kepada HSA menjelang akhir 2027.
Encik Ong berkata sedang sektor penjagaan kesihatan sendiri menjadi semakin bersepadu, perbezaan dari segi tradisional antara ubat-ubatan, peranti, perkhidmatan, golongan karyawan dan maklumat kesihatan juga semakin kabur.
"Banyak model penjagaan baharu tidak lagi dapat diletakkan dengan jelas di bawah satu bidang kawal selia sahaja," kata Encik Ong.
Beliau memberi contoh penggunaan peranti perubatan yang dipacu AI, perkhidmatan jagaan kesihatan yang menggunakan AI dan doktor yang menggunakan AI, yang masing-masing mungkin tertakluk kepada peraturan dan undang-undang berbeza.
"Kategori-kategori ini akan terus dikekalkan, tetapi terdapat manfaat apabila satu pihak berkuasa menyelia penggunaan AI yang merentasi semua kategori tersebut," kata Encik Ong.
Dari segi penguatkuasaan pula, beliau berkata kes salah laku sering melibatkan kedua-dua penyalahgunaan produk kesihatan dan salah laku seseorang karyawan. Kawal selia yang berasingan mungkin gagal mengenal pasti kaitan antara kedua-duanya, manakala penyeliaan bersepadu membolehkan sesuatu kes dinilai secara menyeluruh.
HSA juga akan menubuhkan Majlis Penasihat Industri Jagaan Kesihatan menjelang separuh pertama 2027. Majlis tersebut akan menghimpunkan rakan-rakan industri untuk mengenal pasti peluang dan risiko baharu, memberi nasihat mengenai keupayaan yang diperlukan dalam keseluruhan ekosistem inovasi kesihatan serta memastikan pandangan industri diambil kira dalam pembangunan dasar.
Encik Ong berkata kawal selia penjagaan kesihatan kini bukan lagi sekadar memastikan keselamatan, malah semakin memainkan peranan dalam membentuk pembangunan keseluruhan sektor penjagaan kesihatan.
"Oleh sebab pesakit jarang melihat proses ini, kita kadangkala terlepas pandang betapa pantasnya kawal selia perlu berkembang. Teknologi, perubahan demografi dan kemajuan perubatan sentiasa mengubah cara penjagaan disediakan. Kawal selia perlu bergerak seiring dengan perubahan itu, menyesuaikan diri secara bijak dengan keadaan baharu sambil mengekalkan piawaian," kata Encik Ong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.