Skip to main content

Singapura

SG, Perancis kukuhkan kerjasama pertahanan, termasuk keupayaan AI

Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing, dan rakan sejawatannya dari Perancis, Sebastien Lecornu, menandatangani deklarasi hasrat bagi memperkukuh kerjasama pertahanan dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan digital, serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam teknologi baru muncul.

Anggaran Waktu Membaca:
SG, Perancis kukuhkan kerjasama pertahanan, termasuk keupayaan AI

Menteri Pertahanan, Chan Chun Sing, bertukar Deklarasi Hasrat bagi Memperkukuh Kerjasama Pertahanan, Surat Hasrat bagi Kerjasama Kecerdasan Buatan dalam Pertahanan, serta Pindaan kepada Perjanjian Pentadbiran bagi Kerjasama Teknologi Pertahanan dengan Menteri Angkatan Tentera Perancis, Sébastien Lecornu, pada 30 Mei 2025, sempena lawatan negara Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Singapura. (Gambar: MDDI)

Diterbitkan : 31 May 2025 06:52AM Dikemas Kini : 31 May 2025 10:04PM
SINGAPURA: Singapura dan Perancis pada Jumaat (30 Mei) bersetuju untuk memperdalam hubungan pertahanan mereka, dengan memeterai beberapa perjanjian dalam bidang yang menjadi kepentingan bersama seperti teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Terdahulu, Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing, dan Menteri Angkatan Tentera Perancis, Sebastien Lecornu, menandatangani satu deklarasi hasrat bagi memperkukuh kerjasama pertahanan dalam pelbagai bidang, termasuk pertahanan digital, serta bagi meneroka bidang kerjasama baharu seperti teknologi baru muncul.

Deklarasi itu juga mengiktiraf sokongan jangka panjang kedua-dua negara kepada pengerahan masing-masing, termasuk unit latihan jet canggih Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) di Cazaux, Perancis.

Satu surat hasrat berasingan turut ditandatangani bagi memperluas keupayaan Makmal Penyelidikan dan Pembangunan Bersama yang ditubuhkan kedua-dua negara pada April 2023 untuk membantu membangunkan keupayaan penggunaan AI dalam pertahanan.

“Kami sudah mengenal pasti kes penggunaan bagi pemahaman dan analisis, menangani maklumat palsu dan tidak benar, sistem autonomi, serta pengesahan dan pengesahan semula sistem AI,” menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Jumaat.

Surat hasrat itu turut mencerminkan matlamat bersama kedua-dua pihak untuk melibatkan pengguna operasi dan rakan industri dalam pembangunan bersama huraian berasaskan AI untuk keperluan medan perang dan ancaman keselamatan yang semakin baru muncul.

Menurut kenyataan MINDEF pada April 2023, makmal tersebut merupakan yang pertama ditubuhkan Singapura dengan sebuah negara dan rakan luar.

Kedua-dua negara turut menandatangani pindaan kepada Perjanjian Pentadbiran bagi Kerjasama Teknologi Pertahanan, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta menonjolkan kerjasama baharu dalam inovasi terbuka dan teknologi kritikal seperti AI, kuantum dan mikroelektronik.

Perjanjian itu pertama kali ditandatangani pada November 2003 dan diperbaharui pada April 2016.

Encik Chan dan Encik Lecornu bertemu di luar acara lawatan negara dua hari Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Singapura, di mana beliau menyampaikan ucaptama pada Jumaat malam dalam Dialog Shangri-La, sidang pertahanan tahunan terkemuka di Asia.

“Encik Chan merakamkan penghargaan atas sokongan Perancis kepada latihan Angkatan Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Cazaux sejak 1998,” menurut MINDEF.

“Kedua-dua menteri juga bertukar pandangan mengenai keutamaan keselamatan dan perkembangan geopolitik.”

Pertukaran perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri Lawrence Wong dan Presiden Macron.

Sepanjang lawatan negara itu, Encik Wong dan Encik Macron turut mempertingkat hubungan dua hala kepada satu Perjanjian Strategik Menyeluruh (CSP), yang pertama bagi Singapura dengan sebuah negara Eropah.

Pelancaran kerjasama tersebut bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Perancis.
 
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita