Skip to main content

Singapura

SG, Pemangku Sultan Johor setuju tukar bidang tanah di Holland Road

Pemerintah Singapura bersetuju untuk menukar beberapa bidang tanah di Holland Road dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menurut kenyataan bersama oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Selasa (10 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Jun 2025 03:03PM Dikemas Kini : 11 Jun 2025 12:28AM
SINGAPURA: Pemerintah Singapura bersetuju untuk menukar beberapa bidang tanah di Holland Road dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menurut kenyataan bersama oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Selasa (10 Jun).

Tunku Ismail, yang juga Tunku Mahkota Johor, pada masa ini memiliki tanah seluas 21.1 hektar di Holland Road.

Pemangku Sultan Johor "merancang untuk membangunkan tanahnya", yang telah berada di bawah pemilikan peribadi keluarga diraja Johor selama beberapa generasi, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan media bersama.

Pertukaran tanah tersebut dibuat supaya “pembangunan yang dirancang oleh Tunku Ismail terletak lebih jauh dari Tapak Warisan Dunia UNESCO, Kebun Bunga Singapura”, menurut kenyataan media tersebut.

Kebun Bunga Singapura yang berusia 166 tahun merupakan Tapak Warisan Dunia pertama negara ini di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selepas ia menerima pengiktirafan tersebut pada 2015.

Di bawah perjanjian pertukaran itu, Tunku Ismail akan memindahkan sebahagian daripada tanahnya - plot tanah seluas 13 hektar yang bersempadan dengan Tyersall Avenue di sebelah timurnya dan terletak bersebelahan dengan Kebun Bunga Singapura - kepada pemerintah Singapura.

Sebagai pertukaran, pemerintah Singapura akan menyerahkan tanah negara seluas 8.5 hektar kepada Tunku Ismail. Tanah tersebut terletak di sebelah barat tanah yang dimiliki secara peribadi oleh Pemangku Sultan Johor.

“Tanah-tanah yang akan ditukar mempunyai nilai yang setara,” kata pihak berkuasa.

Baki 8.1 hektar tanah yang terletak antara kedua-dua lot tersebut akan kekal di bawah pemilikan peribadi Tunku Ismail.

Pemerintah Singapura menyatakan bahawa tanah seluas 13 hektar yang dipindahkan kepada mereka "tidak akan dibangunkan buat masa ini, sambil mengekalkan pelan masa depan kami untuk kawasan tersebut”.

Plot tanah tersebut kini dilabelkan sebagai “ruang terbuka” di laman web URA.

Sementara itu, dua lot tanah lain — 8.5 hektar yang dipindahkan kepada Tunku Ismail serta 8.1 hektar yang kekal di bawah pemilikan beliau — kini dikategorikan sebagai kawasan “kegunaan khas”, merujuk kepada tanah yang digunakan atau dirancang untuk tujuan tertentu.

Pihak berkuasa Singapura menyatakan Tunku Ismail “boleh membangunkan tanah miliknya selepas pertukaran ini, yang sesuai untuk pembangunan kediaman bertingkat rendah dan berkepadatan rendah”.

Mereka menambah bahawa sebarang pelan pembangunan akan tertakluk kepada proses sedia ada, dan URA bersama agensi-agensinya akan menilai permohonan pembangunan bagi memastikan ia “selaras dan sensitif dengan konteks persekitaran kawasan itu”.

Pembangunan juga tertakluk kepada kajian alam sekitar sebelum sebarang kerja pembinaan dimulakan.

Satu laporan Bloomberg pada 2021 menyatakan bahawa Tunku Ismail mempunyai rancangan untuk membangunkan “projek kediaman mewah bernilai berbilion dolar” di atas tanah milik keluarganya di Singapura, yang terletak di Taman Tyersall dan merangkumi runtuhan Istana Woodneuk.

Istana Woodneuk, bersama Istana Tyersall yang telah dirobohkan, merupakan kediaman mantan Temenggong Johor, Abu Bakar Daeng Ibrahim, pada lewat abad ke-19.

Laporan Bloomberg, memetik sumber-sumber, mengatakan Tunku Ismail sedang memohon kebenaran untuk membangunkan tanah tersebut menjadi "kelompok rumah mewah".

Mediacorp telah menghubungi SLA dan URA bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita