SG pantau dengan teliti keadaan di Timur Tengah; sedia hulur sokongan kepada keluarga, perniagaan
Perdana Menteri Lawrence Wong berkata pemerintah Singapura sedang memantau keadaan di Timur Tengah dengan teliti, dan bersedia untuk melaksanakan langkah-langkah sokongan tambahan bagi isi rumah dan perniagaan jika perlu.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama media semasa menggulung lawatan rasminya ke Jepun.
Selain gangguan kepada ekonomi, Encik Wong juga memberi amaran mengenai dunia di mana peraturan dan undang-undang antarabangsa boleh terus melemah.
Ini bukan sahaja satu keprihatinan besar bagi negara-negara kecil, tetapi bagi semua negara.
"Jika trend ini berterusan, kita akan berada di dalam dunia di mana akan tercetus lebih banyak konflik, di mana perbezaan dihuraikan bukan secara damai, tetapi dengan kekerasan, dengan taktik memaksa dan dunia akan menjadi lebih bergolak, tidak menentu dan berbahaya.
"Kami bimbang tentang hal ini dan itu juga sebabnya mengapa kami berusaha lebih keras untuk menjalinkan ikatan dengan negara-negara sehaluan yang berpendirian tegas tentang orde berasaskan undang-undang," kata Encik Wong.
PM Wong juga memberi amaran tentang risiko lebih luas akibat konflik tersebut, sedang ketegangan di Timur Tengah terus berlarutan.
Beliau berkata gangguan yang berpanjangan ke atas Selat Hormuz boleh meninggalkan kesan buruk lebih luas terhadap ekonomi global melangkaui minyak dan gas.
"Kerana bekalan baja, contohnya, boleh terjejas dan ini akan meninggalkan kesan terhadap bekalan makanan di hilirnya.
"Atau contohnya barangan lain seperti helium. Saya fikir 30 peratus daripada bekalan helium dunia merentasi Selat Hormuz dan helium digunakan dalam mesin MRI, dalam peralatan khusus di hospital.
"Ia digunakan dalam pengeluaran semikonduktor. Jadi sekatan yang berpanjangan di selat itu akan membawa kesan ketara kepada ekonomi sejagat dan mungkin menyebabkan ekonomi global untuk dilanda kemerosotan atau kemelesetan," kata Encik Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.