Skip to main content

Singapura

SG, Pakistan harap perkukuh kerjasama sedang kedua-dua negara rai 60 tahun hubungan diplomatik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Aug 2026 09:59PM Dikemas Kini : 04 Sep 2026 11:03PM
  • Singapura dan Pakistan menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik, dengan pemimpin kedua-dua negara menyatakan komitmen memperkukuh kerjasama.
  • Perdana Menteri Lawrence Wong dan Shehbaz Sharif menekankan hubungan mesra yang dibina atas rasa hormat serta persefahaman sejak 1966.
  • Kedua-dua negara melihat potensi memperluaskan kerjasama dalam bidang perdagangan, ekonomi digital, pelaburan, pendidikan, budaya dan inovasi.
  • Usaha ini bertujuan menghadapi cabaran global bersama dan memperdalam hubungan dua hala untuk manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan Pakistan bagi manfaat bersama, sedang kedua-dua negara mengharungi cabaran global yang semakin berubah.

Ia juga bertepatan dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Singapura dan Pakistan menjalin hubungan diplomatik pada 17 Ogos 1966.

Dalam surat kepada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata kedua-dua negara menikmati hubungan mesra yang dibina atas rasa hormat dan persefahaman bersama.

Pakistan merupakan antara negara pertama yang mengiktiraf Singapura sejurus negara ini mencapai kemerdekaan.

Encik Wong turut melahirkan harapan untuk memperluaskan hubungan dua hala.

Menurutnya, terdapat ruang untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang seperti perdagangan dan ekonomi digital.

Hubungan Singapura-Pakistan selama ini turut merangkumi kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, budaya serta hubungan antara rakyat.

'PERSAHABATAN YANG SUDAH LAMA TERJALIN'

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan pula berkata ulang tahun ke-60 itu merupakan detik penting yang menggariskan persahabatan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Beliau berkata meskipun kerjasama dua hala sudah berkembang sepanjang beberapa dekad, masih terdapat ruang untuk memperkukuh hubungan.

Di pihak Pakistan, Perdana Menteri Shehbaz menegaskan semula komitmen negaranya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Singapura pada tahun-tahun mendatang.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Ehwal Luar Pakistan Mohammad Ishaq Dar pula menyatakan hasrat untuk memperdalam kerjasama perdagangan dan pelaburan, khususnya dalam bidang ekonomi digital, iklim, teknologi kewangan dan inovasi.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita