Skip to main content

Singapura

SG pacu pertumbuhan teknologi, pengilangan Batam

Syarikat-syarikat Singapura sedang memacu pertumbuhan ekonomi baharu di pulau Batam, Indonesia, didorong oleh kos lebih rendah dan jumlah bakat tempatan yang semakin meningkat.
Anggaran Waktu Membaca:
SG pacu pertumbuhan teknologi, pengilangan Batam
Taman Digital Nongsa, hab teknologi dan kreatif seluas 166 hektar di timur laut Batam. (Gambar: CNA)

BATAM: Syarikat-syarikat Singapura sedang memacu pertumbuhan ekonomi baharu di pulau Batam, Indonesia, didorong oleh kos lebih rendah dan jumlah bakat tempatan yang semakin meningkat.

Para pengendali taman-taman perniagaan di Batam yang menerima sokongan kukuh dari Singapura berkata Batam menawarkan penjimatan kos, khususnya bagi operasi berkaitan pengilangan dan teknologi.

Di tengah-tengah rundingan yang diperbaharui mengenai integrasi ekonomi dalam Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), para pakar percaya pulau itu boleh menarik lebih minat daripada industri yang mahu memanfaatkan kelebihannya.

Singapura kekal pelabur terbesar Batam.

Ia melabur sebanyak S$632 juta pada separuh pertama 2025, mencerminkan keyakinannya terhadap potensi pulau tersebut.

HAB KREATIF DAN DIGITAL

Sejak 2005, syarikat media Singapura Infinite Studios sudah beroperasi di kawasan Nongsa, sebelum lokasi itu dirasmikan sebagai Taman Digital Nongsa, iaitu sebuah hab kreatif dan teknologi seluas 166 hektar di bahagian timur laut Batam.

Sebahagian daripada filem-filem pecah panggung diterbitkan di studio tersebut, dengan warga Indonesia membentuk sebahagian besar tenaga kerja kreatifnya.

Apa yang bermula sebagai sebuah pasukan seramai tiga kakitangan kini berkembang kepada hampir 400 pekerja, didorong oleh bakat-bakat muda dalam bidang digital dan kreatif yang berpindah ke pulau itu.

"Bagi kami sebagai sebuah syarikat yang kreatif, kami benar-benar bertuah kerana dapat memanfaatkan kemungkinan berkembang menjadi hartanah yang lebih cekap kos dan mempunyai bakat yang banyak itu. Begitulah cara kami dapat mengembangkan perniagaan kami," kata CEO Infinite Studioes, Mike Wiluan.

Taman itu yang dilancarkan pada 2018, kini menampung kedua-dua firma Indonesia dan pemain antarabangsa, termasuk firma-firma Singapura dan gergasi teknologi global seperti Apple dan Infineon.

Ramai yang menggunakan Batam sebagai pangkalan untuk mengalihkan pekerjaan berkos rendah dan melatih bakat baharu di tengah-tengah pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) global.

Berada di tengah-tengah pembangunan Nongsa adalah kelompok pusat-pusat data yang semakin berkembang, dengan 13 sudah pun beroperasi dan lebih banyak lagi akan dibangunkan.

Kemudahan itu adalah penting kepada industri AI, menyediakan kuasa pengkomputeran besar yang diperlukan untuk melatih dan mengendalikan sistem AI.

Encik Wiluan, yang juga COE Taman Digital park, berkata pusat-pusat data datang dengan kemudahan bekalan tenaga, air dan ketersambungan yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat.

"Kini berada dalam ekosistem tersebut dan mempunyai akses berterusan kepada kuasa (dan) air, memberi keyakinan kepada perniagaan untuk mengetahui bahawa meereka berkemungkinan akan mengalami kurang bekalan elertrik terputus, mereka akan mempunyai lebih ketersambungan dan mereka berada dalam sekitaran selamat."

KELOMPOK INDUSTRI

Di tengah-tengah industri itu terletak Taman Perindustrian Batamindo, yang dimiliki oleh syarikat pegangan pelaburan tersenarai Singapura, Gallant Avenue.

Dibuka pada 1990, taman itu berkembang lebih sepertiga sejak 2021 dan merupakan pusat aktiviti pengilangan elektronik yang pesat.

Kebanyakan syarikat di taman itu beroperasi berdasarkan "model berkembar (twinning model) - dengan pengilangan di Batam dan fungsi-fungsi lain seperti kajian dan penyelidikan di SIngapura.

Jaraknya dengan Singapura juga memudahkan akses orang ramai kepada pelabuan dan lapangan terbang pulau tersebut.

Batamindo terletak dalam Zon Perdagangan Bebas Batam yang bersebelahan dengan lima Zon Ekonomi Khas (SEZ), termasuk Taman Digital Nongsa.

SEZ lain tertumpu kepada sektor-sektor seperti perkhidmatan kesihatan, penerbangan dan elektronik. Zon-zon tersebut adalah:

  • SEZ Pelancongan Nongsa: Destinasi untuk pembangunan pelancongan, hospitaliti dan acara MICE.
  • SEZ Batam Aero Technic: Kluster penerbangan yang memberi tumpuan kepada penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat.
  • SEZ Kesihatan Sekupang: Zon perubatan dan kesihatan yang tertumpu kepada perkhidmatan kesihatan dan pelancongan perubatan.
  • SEZ Tanjung Sauh: Zon logistik dan pemindahan yang menyokong aktiviti-aktiviti pelabuhan dan kargo serantau.

Zon-zon tersebut menawarkan kelebihan cukai dan manfaat kastam yang mengurangkan kos eksport serta menarik pelaburan asing.

Pulau Batam, Bintan dan Karimun di Indonesia, negeri Johor di Malaysia dan Singapura juga membentuk apa yang dikenali sebagai Segitiga Pertumbuhan Sijori – iaitu sebuah visi yang dilancarkan pada 1989 untuk menyepadukan aliran perdagangan dan pelaburan.

Pada Oktober, Singapura menyatakan hasrat untuk mengkaji semula konsep tersebut dan meneroka peluang kerjasama baharu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita