Skip to main content

Singapura

SG-New Zealand pertingkat hubungan, meterai perjanjian 'pertama seumpamanya' bagi bekalan penting

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Oct 2025 02:08PM Dikemas Kini : 14 Oct 2025 03:48PM
SINGAPURA: Singapura dan New Zealand mencapai satu perjanjian “pertama seumpamanya” untuk terus berdagang barangan penting walaupun dalam masa krisis, sedang kedua-dua negara meningkatkan hubungan menerusi Perkongsian Strategik Menyeluruh (CSP), kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Jumaat (10 Okt).

Encik Wong berkata demikian dalam sidang media bersama Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon di Auckland selepas kedua-dua pemimpin menandatangani CSP dalam lawatan rasmi selama tiga hari.

“Di bawah CSP, kami akan meneruskan projek-projek yang lebih bercita-cita tinggi dan berdaya inovasi bersama-sama,” kata Encik Wong.

CSP ialah perjanjian yang memberi isyarat kepada peningkatan hubungan dua hala ke tahap tertinggi, untuk memperdalam bidang kerjasama sedia ada serta menerokai bidang baharu.

Kementerian Ehwal Luar mengumumkan CSP dengan New Zealand pada pertengahan September sebagai sebahagian daripada usaha Singapura untuk memperkukuh kerjasama sedia ada dalam suasana global yang semakin tidak menentu.

Pada Rabu, Encik Wong turut menandatangani satu lagi CSP dengan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese semasa lawatan rasmi pertama beliau ke negara itu sebagai perdana menteri.

Encik Wong juga melawat New Zealand buat kali pertama sebagai perdana menteri, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat antara Singapura dan New Zealand merupakan perjanjian perdagangan bebas dua hala pertama bagi Singapura, kata Encik Wong.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-25 perjanjian tersebut.

“Sebagai negara kecil dan terbuka dengan pandangan strategik yang selari, kedua-dua negara kita berkongsi persahabatan muhibbah yang dibina atas asas kepercayaan yang mendalam, dan kita sudah melalui banyak detik penting bersama-sama,” katanya.

“Saya dan Perdana Menteri Luxon bersetuju untuk meneruskan pencapaian ini dan meningkatkan hubungan kami kepada satu Perkongsian Strategik Menyeluruh atau satu CSP yang ‘dibina dari sejarah’ dan ‘relevan untuk masa depan’.”

PERJANJIAN PERTAMA SEUMPAMANYA UNTUK DAGANG BEKALAN PENTING

Antara perjanjian yang dicapai adalah satu perjanjian mengikat dari segi undang-undang untuk berdagang bekalan penting semasa krisis, kata Encik Wong.

“Ia yang pertama seumpamanya, dan melanjutkan pengalaman semasa COVID,” tambahnya.

Beliau berkata semasa pandemik COVID-19, kedua-dua negara mengalami gangguan bekalan penting, dan satu inisiatif yang dinamakan Projek Pengangkutan Udara Singapura/New Zealand memastikan pesawat kargo terus mengangkut bekalan penting antara kedua-dua negara.

“Berdasarkan pengalaman itu, kini kami sudah mencapai perjanjian yang sah dari segi undang-undang… untuk memastikan bahawa bekalan penting akan terus disalurkan,” kata Encik Wong.

Ini bermakna kedua-dua pemerintah akan memberi komitmen untuk tidak mengenakan sekatan eksport walaupun semasa krisis terhadap beberapa produk utama seperti ubat-ubatan dan bekalan penting.

“Saya fikir ini adalah perjanjian yang akan memberi jaminan kepada kedua-dua negara dan rakyat bahawa dalam waktu memerlukan, kita akan sentiasa saling membantu,” katanya.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI) menyatakan dalam kenyataan berasingan bahawa perjanjian itu, yang dikenali sebagai Perjanjian Perdagangan Bekalan Penting (AOTES), merupakan perjanjian daya tahan rantaian bekalan dua hala pertama yang sah dari segi undang-undang bagi Singapura.

“Perjanjian ini akan memberi keyakinan bahawa kedua-dua pihak boleh terus menerima bekalan penting semasa gangguan rantaian bekalan, membantu mengurus gangguan pasaran, memberi keyakinan kepada syarikat dan kestabilan harga kepada pengguna,” menurut kementerian itu.

KERJASAMA EKONOMI DAN KESELAMATAN LEBIH KUKUH

CSP juga akan mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, kata Encik Wong.

Lebih banyak pelaburan dan kerjasama pasaran modal juga akan dilaksanakan, yang akan membolehkan syarikat New Zealand memanfaatkan Singapura sebagai “batu loncatan” ke Asia Tenggara, dan syarikat rantau ini pula berpeluang menembusi pasaran New Zealand.

Satu perkongsian ekonomi hijau berbilang pihak juga sedang dibincangkan untuk “meneroka sempadan baharu bagi menyepadukan perdagangan dan tindakan iklim,” katanya.

Forum Kepimpinan New Zealand-Singapura juga akan diadakan tahun depan untuk mengukuhkan hubungan ekonomi, dasar dan perniagaan antara kedua-dua negara.

Kerjasama keselamatan juga akan diperluaskan.

Encik Wong menyatakan penghargaan beliau atas “sokongan berterusan” New Zealand terhadap latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Beliau berkata Singapura akan terus memudahkan akses Pasukan Pertahanan New Zealand ke dalam dan melalui Singapura, termasuk dengan menempatkan aset mereka untuk penyenggaraan.

Bidang kerjasama baharu seperti teknologi tanpa pemandu turut diterokai, tambahnya.

Kedua-dua negara juga akan mengadakan mesyuarat tahunan antara pemimpin untuk terus memantau kerjasama.

“Bersama-sama, kita akan bekerjasama bukan sahaja untuk projek dua hala yang saling menguntungkan, tetapi juga untuk menyokong rantau kita secara lebih meluas,” katanya.

Kementerian Ehwal Luar menyatakan dalam satu kenyataan bahawa pelan tindakan terperinci akan membimbing pelaksanaan CSP sepanjang dekad akan datang, dengan pegawai akan menjalankan semakan berkala untuk “menjejaki kemajuan dan mengekalkan visi strategik perkongsian kami”.

MTI, dalam kenyataan berasingan, turut memberi maklumat lanjut tentang inisiatif ekonomi di bawah CSP, termasuk satu kerjasama antara Enterprise Singapore dan New Zealand Trade and Enterprise.

Di bawah Memorandum Persefahaman yang diperbaharui, kedua-dua negara akan memperdalam kerjasama dan menggalak hubungan perniagaan dalam bidang seperti perdagangan dan keterhubungan, serta teknologi dan inovasi.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita