Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG negara paling bahagia di Asia buat 2 tahun berturut-turut

Anggaran Waktu Membaca:
SG negara paling bahagia di Asia buat 2 tahun berturut-turut

(Gambar: TODAY/Ooi Boon Keong)

SINGAPURA: Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai negara paling bahagia di Asia untuk tahun kedua berturut-turut dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2024. Bagaimanapun, di peringkat global ia jatuh lima anak tangga ke kedudukan ke-30.

Laporan tahunan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu, dikeluarkan pada Rabu (20 Mac).

Ia juga mendapati warga Singapura berumur bawah 30 tahun berada pada kedudukan lebih rendah dari segi kebahagiaan yang diukur berbanding rakan sejagat mereka dan berbanding warga berusia lebih 60 tahun.

Kedudukan itu berdasarkan tinjauan pendapat global yang dijalankan oleh Gallup, firma yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang meminta responden menilai kehidupan mereka pada skala 0 hingga 10.

Ia meninjau kira-kira 1,000 responden setiap negara setiap tahun, dengan kedudukan setiap tahun berdasarkan data yang dikumpul untuk tiga tahun terakhir. Untuk laporan 2024, data dari 2021 hingga 2023 telah digunakan.

Kedudukan Singapura di senarai itu terus meningkat sejak tiga laporan lalu. Ia berada di kedudukan ke-25, ke-27 dan ke-32 di peringkat global masing-masing pada tahun 2023, 2022 dan 2021.

“Finland masih berada di kedudukan teratas, dengan Denmark kini sangat hampir, dan kelima-lima negara Nordik dalam 10 kedudukan teratas,” kata laporan itu.

Bagaimanapun, lebih banyak perubahan ketara dicatat dalam 10 kedudakan seterusnya, dengan beberapa negara Eropah timur meningkat dalam senarai tersebut manakala Amerika Syarikat dan Jerman masing-masing terkeluar daripada 20 teratas kepada tempat ke 23 dan 24.

PALING BAHAGIA DI ASIA

Mendahului carta global daripada 143 tempat yang ditinjau laporan tahun ini ialah Finland, diikuti oleh Denmark, Iceland, Sweden dan Israel.

Turut diletakkan di atas Singapura ialah negara-negara di benua Asia tetapi diiktiraf sebagai sebahagian daripada rantau Timur Tengah, seperti Kuwait (ke-13), Amiriah Arab Bersatu (ke-22) dan Arab Saudi (ke-28).

Malaysia menduduki tempat ke-59 manakala Indonesia di tempat ke-80.

BELIA SINGAPURA KURANG GEMBIRA

Laporan 2024 itu turut menyatakan bahawa kedudukan negara untuk golongan muda dan tua "agak berbeza".

Laporan tahun ini memberi tumpuan pada dua kumpulan umur - "muda" berumur 30 tahun ke bawah dan "tua" berumur 60 tahun ke atas.

Di kalangan penduduk muda, Lithuania, Israel dan Serbia masing-masing menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga. Singapura menduduki tempat ke-54, satu tempat di bawah Greece dan di hadapan Sepanyol.

Sebaliknya, warga emas di Singapura menduduki tempat yang jauh lebih tinggi di tempat ke-26, di belakang Perancis dan mendahului Arab Saudi. Denmark, Finland dan Norway menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga.

Laporan sebelumnya tidak memberikan pecahan ranking kebahagiaan mengikut kumpulan umur.
 
Sumber : Today/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan