Skip to main content

Singapura

SG naikkan seganda import elektrik boleh diperbaharui, dengan bekalan tambahan dari Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapura akan meningkatkan kapasitinya untuk mengimport tenaga elektrik dari Laos dan Malaysia melalui projek tenaga empat negara.

Singapura kini mengimport sehingga 100 megawatt (MW) tenaga boleh diperbaharui dari Laos melalui inisiatif rentas sempadan yang diberi nama Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP).

Ini akan dinaikkan seganda kepada maksimum 200MW kuasa hidro boleh diperbaharui, dengan bekalan dari Malaysia juga.

Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan Keppel mengumumkan demikian dalam kenyataan media bersama pada Jumaat (20 Sep), dengan lesen Keppel untuk mengimport elektrik dilanjutkan selama dua tahun lagi sehingga 2026.

"Selain dapat mengimport tenaga elektrik dari Lao PDR, Keppel juga akan mengimport tenaga elektrik dari Malaysia," menurut kenyataan media itu.

LTMS-PIP, yang dilancarkan pada Jun 2022, merupakan kerjasama pertama antara empat negara anggota ASEAN berhubung perdagangan elektrik rentas sempadan berbilang hala bagi tenaga boleh diperbaharui.

Perjanjian awal bagi pembelian tenaga selama dua tahun telah ditandatangani antara Keppel dan Electricite du Laos milik pemerintah Laos untuk mengimport sehingga 100 MW kuasa hidro boleh diperbaharui melalui Thailand dan Malaysia menggunakan infrastruktur sedia ada.

Dengan Fasa 2 LTMS-PIP, jumlah tenaga elektrik yang didagangkan akan dinaikkan seganda.

"LTMS-PIP penting untuk menyokong usaha berterusan ke arah memajukan Grid Tenaga ASEAN dan Masyarakat Ekonomi ASEAN," menurut EMA dan Keppel.

"Dengan mewujudkan peluang untuk perdagangan elektrik berbilang hala dan pelbagai arah di rantau ini, LTMS-PIP yang dipertingkatkan akan mengukuhkan daya tahan grid dan menggalakkan integrasi tenaga untuk memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat di rantau ini."

Mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata pada 2023 bahawa grid tenaga serantau akan mengukuhkan keselamatan tenaga dan daya tahan negara anggota ASEAN.

Ketua Eksekutif EMA Puah Kok Keong berkata pada Jumaat (20 Sep) bahawa agensi itu mengalu-alukan peningkatan dua kali ganda dalam kapasiti perdagangan elektrik dan bekalan elektrik tambahan dari Malaysia.

"LTMS-PIP akan menjadi lebih dinamik dengan perdagangan tenaga berbilang hala," tambahnya.
Sumber : CNA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita