Skip to main content

Singapura

SG naikkan had umur penderma darah kali pertama kepada 65 tahun

Dalam usaha untuk mengembangkan kumpulan penderma darah di Singapura, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) akan menaikkan had umur maksimum bagi penderma darah kali pertama daripada 60 kepada 65 tahun, umum Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Sabtu (28 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jun 2025 01:05PM Dikemas Kini : 29 Jun 2025 09:08PM
SINGAPURA: Dalam usaha untuk mengembangkan kumpulan penderma darah di Singapura, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) akan menaikkan had umur maksimum bagi penderma darah kali pertama daripada 60 kepada 65 tahun, umum Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Sabtu (28 Jun).

Pelonggaran peraturan tersebut, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, sejajar dengan jangka hayat yang lebih panjang dan kesihatan yang lebih baik dalam kalangan golongan warga emas, kata Encik Ong.

Beliau juga mengatakan bahawa data tempatan menunjukkan kadar reaksi negatif terhadap pendermaan darah sebenarnya menurun mengikut usia dalam kalangan penderma kali pertama di Singapura sehingga had umur semasa, iaitu 60 tahun.

“Tiada sebab untuk percaya bahawa sebaik sahaja anda melepasi umur 60 tahun, kadar reaksi negatif tiba-tiba akan meningkat dengan mendadak,” kata Encik Ong semasa satu acara di Marina Bay Sands sempena Hari Penderma Darah Sedunia.

Buat masa ini, penderma darah penuh kali pertama di Singapura mesti berumur 60 tahun ke bawah. Penderma berulang boleh menderma sehingga umur 65 tahun, atau lebih jika mereka memenuhi kriteria kesihatan dan pernah menderma tidak lama sebelum itu.

Di bawah dasar yang disemak semula itu, individu yang sihat akan dibenarkan menderma darah buat kali pertama sehingga umur 65 tahun, menyelaraskan dasar Singapura dengan bidang kuasa lain seperti Hong Kong, Taiwan, Ireland, Belanda, Korea Selatan dan United Kingdom.

CABARAN BERKAITAN BEKALAN DARAH

Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras Dasar Sosial, mengatakan bahawa Singapura menghadapi cabaran struktur dalam mengekalkan bekalan darah yang stabil.

Penuaan penduduk mendorong peningkatan permintaan terhadap produk darah, manakala kumpulan penderma yang layak semakin mengecil, katanya.

Jumlah penderma darah baharu juga menurun, daripada lebih 20,000 pada 2013 kepada sekitar 18,000 pada 2024.

Pada masa yang sama, permintaan terus meningkat, kata Encik Ong. Tahun lalu, lebih 35,000 pesakit di Singapura menerima pemindahan darah, yang diperlukan bagi pembedahan, rawatan barah dan komplikasi semasa bersalin.

“Setiap pendermaan darah menyelamatkan sehingga tiga nyawa,” kata Encik Ong. Tetapi jika bekalan darah merosot, pembedahan akan ditangguhkan, rawatan dilewatkan dan nyawa boleh terancam, kata beliau memberi amaran.

Singapura juga berdepan turun naik bermusim dari bekalan, dengan jumlah penderma merosot semasa musim perayaan, cuti sekolah dan hujung minggu panjang apabila ramai bercuti ke luar negara.

Awal tahun lalu, bekalan darah Kumpulan O di Singapura jatuh ke paras kritikal apabila simpanan negara berada di bawah paras enam hari.

Rayuan peribadi oleh Encik Ong, katanya, menyebabkan bekalan darah meningkat hampir 2.3 kali ganda dalam tempoh seminggu.

Encik Ong berkata pengalaman itu menunjukkan bahawa orang ramai bersedia untuk tampil ke hadapan, sambil menambah bahawa pihak berkuasa akan berusaha menjadikan proses pendermaan lebih mudah, dan meminimumkan penolakan terhadap penderma yang bersedia.

GALAKAN AGAR LEBIH RAMAI TAMPIL KE HADAPAN

Selain perubahan dasar, Encik Ong berkongsi bahawa beliau sendiri tidak dapat menderma darah selama bertahun-tahun kerana pernah menetap di Britain pada 1980-an, ketika terdapat risiko pendedahan kepada Penyakit Varian Creutzfeldt-Jakob (vCJD) – yang juga dikenali sebagai penyakit lembu gila – satu gangguan otak jarang berlaku yang dikaitkan dengan daging tercemar.

Namun, semakan semula garis panduan penderma kini membenarkan beliau menderma melalui aferesis, yang menurut beliau menjadikan risiko pencemaran darah akibat vCJD “sangat kecil”.

Dalam pendermaan melalui kaedah berkenaan, hanya komponen darah tertentu seperti platelet atau plasma dikumpul, manakala selebihnya dipulangkan kepada penderma.

Walaupun perubahan struktur dan semakan dasar sedang dijalankan, Encik Ong menegaskan bahawa kejayaan program darah kebangsaan masih bergantung kepada penyertaan masyarakat.

Dalam acara pada Sabtu itu, lebih 2,000 penderma darah cemerlang diberi pengiktirafan, bersama 34 pertubuhan masyarakat yang sudah menjalankan kempen pendermaan, termasuk kumpulan pelajar, syarikat dan juga kelab peminat bintang pop yang berkunjung.

“Menderma adalah satu perbuatan yang sangat menggembirakan,” kata Encik Ong.

“Marilah kita teruskan misi penting ini untuk memastikan bekalan darah Singapura kekal mampan untuk generasi akan datang.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita