Skip to main content

Singapura

SG naikkan had ketinggian bangunan dekat lapangan terbang

Bangunan berhampiran lapangan terbang di Singapura kini boleh dibina lebih tinggi, berpotensi sehingga 15 tingkat bagi pembangunan kediaman, dan sehingga sembilan tingkat bagi bangunan industri atau komersial – susulan semakan terhadap sekatan ketinggian.

Anggaran Waktu Membaca:
SG naikkan had ketinggian bangunan dekat lapangan terbang

Pemandangan di sekitar Lapangan Terbang Changi, Singapura. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 05 Aug 2025 12:08PM
  • Bangunan berhampiran lapangan terbang di Singapura kini boleh dibina lebih tinggi, berpotensi sehingga 15 tingkat bagi pembangunan kediaman, dan sehingga sembilan tingkat bagi bangunan industri atau komersial – susulan semakan terhadap sekatan ketinggian.
  • Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Selasa (5 Ogos) menyatakan bahawa pihaknya sudah mengemas kini peraturannya sejajar dengan garis panduan antarabangsa berhubung ketinggian bangunan dan struktur yang dibenarkan berhampiran lapangan terbang.
  • Had baharu itu didorong satu semakan yang dijalankan oleh pasukan petugas antarabangsa yang ditubuhkan pada 2015 dan dipengerusikan oleh CAAS sejak 2017.
  • Menurut Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan: “Singapura berbesar hati dapat menyumbang kepada semakan penting ini, termasuk melalui kepengerusian kami dalam pasukan petugas antarabangsa tersebut.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Bangunan berhampiran lapangan terbang di Singapura kini boleh dibina lebih tinggi, berpotensi sehingga 15 tingkat bagi pembangunan kediaman, dan sehingga sembilan tingkat bagi bangunan industri atau komersial – susulan semakan terhadap sekatan ketinggian.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Selasa (5 Ogos) menyatakan bahawa pihaknya sudah mengemas kini peraturannya sejajar dengan garis panduan antarabangsa berhubung ketinggian bangunan dan struktur yang dibenarkan berhampiran lapangan terbang.

Pada Mei, Menteri Pengangkutan ketika itu, Encik Chee Hong Tat, berkata CAAS sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi meneroka kaedah untuk membuka lebih banyak ruang udara di sekitar lapangan terbang untuk pembangunan. Pihak berkuasa itu menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama ICAO menyemak semula piawaian sekatan ketinggiannya sejak 1950-an.

“Peraturan yang disemak semula ini akan membolehkan operasi pesawat di Singapura dilindungi dengan lebih tepat mengikut jenis operasi di setiap lapangan terbang, dan membuka lebih banyak ruang udara di sekitar lapangan terbang di Singapura untuk tujuan pembangunan,” menurut CAAS pada Selasa.

“Secara khusus, ini akan membuka peluang bagi had ketinggian bangunan dan kepadatan pembangunan ditingkatkan di beberapa kawasan di Singapura.”

CAAS menambah bahawa agensi-agensi pemerintah masih mengkaji setakat mana pembangunan pada masa depan di kawasan berhampiran lapangan terbang boleh ditingkatkan dari segi ketinggian dan kepadatan, sambil mengambil kira kapasiti infrastruktur serta keperluan untuk mengekalkan persekitaran kehidupan bandar yang bermutu.

Had baharu itu didorong satu semakan yang dijalankan oleh pasukan petugas antarabangsa yang ditubuhkan pada 2015 dan dipengerusikan oleh CAAS sejak 2017.

Dalam semakan tersebut, pasukan petugas itu mengambil pendekatan berasaskan data, dengan mempertimbangkan faktor-faktor seperti kemajuan dalam sistem elektronik pesawat dan teknologi navigasi udara, serta pandangan daripada pihak berkepentingan dalam industri dan panel teknikal.

Menurut Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan: “Singapura berbesar hati dapat menyumbang kepada semakan penting ini, termasuk melalui kepengerusian kami dalam pasukan petugas antarabangsa tersebut.

“Ini akan menyokong pembangunan dan memanfaatkan banyak negara di seluruh dunia, termasuk Singapura yang berdepan kekurangan tanah. Usaha ini menyerlahkan nilai kerjasama menerusi institusi pelbagai hala serta keupayaan Singapura dan rakyatnya menyumbang secara bermakna.”

Menurut CAAS, antara kemas kini utama adalah pengenalan klasifikasi permukaan di sekitar landasan lapangan terbang: Permukaan Bebas Halangan (Obstacle-Free Surfaces, OFS) dan Permukaan Penilaian Halangan (Obstacle Evaluation Surfaces, OES).

OFS merujuk kepada permukaan berhampiran landasan yang penting untuk pendaratan selamat, manakala OES pula direka untuk melindungi laluan penerbangan dan prosedur tertentu yang digunakan di landasan.

Model terdahulu menggunakan pendekatan “satu kaedah untuk semua” yang sering memerlukan lebih banyak ruang udara diperuntukkan bagi operasi penerbangan.

Namun dengan klasifikasi baharu ini, lapangan terbang boleh melaksanakan peraturan yang sepadan dengan operasi penerbangan masing-masing, menurut CAAS.

Encik Chee pada Mei lalu berkata perubahan itu akan menyokong usaha peningkatan keamatan pembangunan tanah, yang disifatkannya penting memandangkan kekurangan tanah di Singapura.

“Langkah ini akan membuka lebih banyak peluang untuk perniagaan dan berpotensi meningkatkan bekalan perumahan kita secara keseluruhan,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita