Skip to main content

Singapura

SG mesti perkasa perniagaan jalani transformasi, pekerja rebut peluang baharu dalam 'era AI': Ng Chee Meng

Anggaran Waktu Membaca:
SG mesti perkasa perniagaan jalani transformasi, pekerja rebut peluang baharu dalam 'era AI': Ng Chee Meng

Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng di Parlimen pada 5 Mei 2026. (Gambar: Mediacorp)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 05 May 2026 11:36PM
SINGAPURA: Ketika kecerdasan buatan (AI) mengubah cara pekerjaan, Singapura perlu membolehkan perusahaan untuk menjalani transformasi menggunakan teknologi itu dengan cara yang memberi manfaat kepada pekerja, serta membantu pekerja merebut peluang baharu, kata ketua buruh Ng Chee Meng pada Selasa (5 Mei).

“Perusahaan mesti diperkasa untuk menggunakan AI, dengan pekerja terlibat secara aktif supaya transformasi menghasilkan prestasi perniagaan yang lebih kukuh dan hasil tenaga kerja yang lebih baik,” kata Encik Ng di Parlimen.

Apabila kesan AI terhadap pekerjaan terus berkembang, isyarat yang lebih jelas, laluan yang lebih baik dan sokongan praktikal juga akan membantu belia dan pekerja beralih kepada peluang baharu, tambah Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) itu.

Beliau menekankan keperluan membangunkan pengetahuan pasaran yang dapat menjangka perubahan pekerjaan dalam ekonomi baharu, serta menyokong pekerja yang terjejas untuk bangkit semula dengan bermaruah dan yakin.

Encik Ng (PAP-Jalan Kayu) menyampaikan usul seorang anggota privet mengenai “peralihan AI tanpa pertumbuhan yang tidak mewujudkan pekerjaan” yang dikemukakannya bersama Encik Saktiandi Supaat (PAP-Bishan-Toa Payoh), Cik Yeo Wan Ling (PAP-Punggol) dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Mark Lee.

Usul itu menggesa Parlimen untuk:

- Mengiktiraf kuasa transformasi teknologi baharu, khususnya AI, dalam memacu fasa pertumbuhan ekonomi seterusnya Singapura

- Menekankan bahawa pendekatan Singapura terhadap pertumbuhan berasaskan AI mesti berteraskan keadilan, daya tahan dan peluang untuk semua

- Bertekad melengkapkan dan menyokong pekerja serta perusahaan untuk merebut peluang baharu dan maju bersama

- Menegaskan bahawa kemajuan ekonomi mesti inklusif, dan Singapura tidak harus mengalami pertumbuhan tanpa pekerjaan kerana setiap pekerja penting

Dalam ucapannya, Encik Ng menjelaskan bahawa usul itu bertujuan menetapkan agenda jelas bagi penggunaan AI agar Singapura dapat mengelakkan hasil “ekstrem” yang dilihat di tempat lain.

Dalam ucapan selama 33 minit, beliau menggesa lebih banyak pembiayaan bagi memperluaskan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC), di mana NTUC bekerjasama dengan pengurusan syarikat untuk mengubah perniagaan sambil meningkatkan taraf pekerja.

Beliau berkata NTUC merancang untuk memperluaskan inisiatif Sedia AI SG bagi menyediakan lebih sejuta peluang latihan kemahiran AI kepada pekerja dalam beberapa tahun akan datang.

Beliau juga mengulangi gesaan agar had pendapatan bagi Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture dinaikkan supaya merangkumi golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) yang menganggur secara bukan sukarela.

Ini merupakan usul pertama NTUC dalam lebih sedekad, selepas kali terakhir mengemukakan usul pada 2011.

Sebanyak 19 AP dijadual membahaskan usul itu pada Rabu, sebelum pengundian dijalankan.

PEKERJA PERLU TAHU PERANAN MEREKA DALAM EKONOMI AI

Encik Ng berkata fasa pertumbuhan ekonomi kali ini berbeza kerana kepesatan perkembangan AI.

Satu daripada lima responden dalam tinjauan NTUC menyatakan jaminan pekerjaan sebagai kebimbangan utama, didorong oleh kebimbangan terhadap AI dan automasi.

Perniagaan juga ingin berubah, namun perlu mempertimbangkan kesiapsiagaan tenaga kerja dan kos pelaksanaan, katanya.

Atas sebab itu, beliau menegaskan Singapura perlu “bertindak awal” untuk memperkukuh respons terhadap pertumbuhan berasaskan AI sebelum gangguan berlaku.

Dalam era AI, pemerintah, kesatuan dan majikan perlu bekerjasama, katanya.

Pemerintah menubuhkan Majlis AI Kebangsaan yang dipengerusikan Perdana Menteri Lawrence Wong, manakala NTUC melancarkan Sedia AI SG untuk memperkasa pekerja.

Majlis Pekerjaan Tiga Pihak yang baharu juga akan menyokong transformasi perusahaan, reka bentuk semula pekerjaan dan peralihan pekerja.

SOKONG BELIA, KARYAWAN DAN PEKERJA TERJEJAS

Encik Ng menjelaskan majlis tiga pihak itu akan memberi tumpuan kepada sokongan kepada siswazah baharu, profesional dan pekerja pertengahan kerjaya.

Bagi siswazah baharu yang berasa bimbang untuk memasuki pasaran pekerjaan, Encik Ng menggariskan bagaimana golongan belia boleh disokong dengan lebih baik untuk merebut peluang baharu.

Beliau berkata Majlis Pekerjaan Tiga Pihak akan memperkukuh jangkauan ke institusi pengajian tinggi supaya pelajar dapat memahami pasaran buruh dan merancang langkah kerjaya mereka semasa masih belajar.

Terdapat ruang untuk bimbingan kerjaya lebih awal, pemahaman lebih baik terhadap keperluan majikan serta padanan yang lebih kukuh bagi latihan industri dan pekerjaan peringkat permulaan, katanya.

Bagi golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) serta pekerja pertengahan kerjaya, beliau berkata ramai menyatakan keperluan untuk meningkatkan kemahiran bagi mengikuti perkembangan AI.

Sehubungan itu, Encik Ng merujuk kepada peluasan inisiatif Sedia AI SG yang dirancang serta pembiayaan baharu Program Bantuan Latihan Kesatuan untuk membantu menampung yuran langganan bagi alat AI terpilih.

Namun, walaupun usaha terbaik dilakukan, kesan AI tetap akan menyebabkan sebahagian kehilangan pekerjaan, khususnya dalam kalangan PME, katanya.

Encik Ng berkata peningkatan liputan Skim Bantuan Pencari Kerja agar lebih hampir kepada pendapatan median PME juga akan “lebih mencerminkan realiti gangguan yang didorong oleh AI”.

PERANAN PERUSAHAAN

Mengulangi ucapannya di Rapat Hari Buruh, Encik Ng berkata NTUC akan membantu perniagaan dan pekerja menggunakan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) untuk mentransformasikan diri dan meraih manfaat AI “sektor demi sektor, syarikat demi syarikat”.

CTC ialah inisiatif gerakan buruh yang diperkenalkan pada 2019, di mana majikan digalakkan membentuk jawatankuasa latihan bersama kesatuan untuk meningkatkan prospek kerjaya dan gaji pekerja melalui latihan berstruktur serta penggunaan teknologi.

Ia turut disokong pembiayaan geran daripada NTUC sehingga 70 peratus daripada kos projek yang layak.

Lebih 3,800 CTC ditubuhkan, dengan lebih 300,000 pekerja kolar biru dan putih mendapat manfaat daripada projek dan latihan tersebut, kata Encik Ng.

Walaupun gerakan buruh sebelum ini menerajui inisiatif CTC, ia kini akan bekerjasama dengan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) melalui majlis tiga pihak baharu untuk memperluaskan CTC ke seluruh negara.

Namun, Encik Ng berkata cabaran yang dihadapi oleh perniagaan dan pekerja ialah “pandangan yang berpecah-pecah, malah kadangkala bercanggah, mengenai landskap AI”.

Beliau berkata Singapura memerlukan sistem perisikan pasaran dan jangkaan masa depan yang dipercayai untuk memberikan jawapan praktikal mengenai kemahiran dan peranan pekerjaan.

Sistem ini akan menggabungkan pandangan persatuan perdagangan tentang bagaimana industri menggunakan AI, data perusahaan mengenai reka bentuk semula pekerjaan dan perubahan daya penghasilan, serta maklum balas kesatuan mengenai kebimbangan pekerja dan keberkesanan latihan kemahiran.

Golongan belia kemudian boleh memperolehi gambaran lebih jelas tentang kemahiran yang membuka peluang, sekali gus mengurangkan kebimbangan mereka ketika beralih dari sekolah ke alam pekerjaan walaupun peranan peringkat permulaan berubah.

PME dan pekerja kolar biru juga boleh mendapat panduan awal tentang cara meningkatkan kemahiran dan menggunakan AI untuk menyokong kerja mereka, kata Encik Ng.

Menggulung ucapannya, beliau sekali lagi menggesa Singapura agar bertindak awal untuk memahami perubahan landskap pekerjaan, membantu perusahaan dan pekerja merebut peluang, serta menyokong mereka yang terjejas akibat gangguan AI.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita