Skip to main content

Singapura

SG mesti lindungi perwakilan kaum minoriti seperti sistem GRC; 'sentimen perkauman' masih wujud

Anggaran Waktu Membaca:
SG mesti lindungi perwakilan kaum minoriti seperti sistem GRC; 'sentimen perkauman' masih wujud

Mantan Menteri Kanan S Jayakumar semasa wawancara eksklusif bersama Mediacorp di The Arts House, bangunan Parlimen lama, pada 14 September 2026. (Gambar: CNA/Timothy De Souza)

Diterbitkan : 27 Oct 2026 07:14AM Dikemas Kini : 27 Oct 2026 07:54AM
Singapore must protect minority representation, such as through the GRC system; ‘racial sentiments’ still exist
  • In an interview with Mediacorp, former Senior Minister S Jayakumar said online racist attacks and current issues showed that dormant sentiments still existed in Singapore, despite growing social harmony.
  • He described the GRC as a safeguard for minority representation. Lee Kuan Yew’s idea of twin constituencies in 1982 was developed after other alternatives were opposed, before the GRC was approved in 1988.
  • Jayakumar also supported reserved Presidential Elections, with the 2016 arrangement allowing such an election if a community had not been represented for five consecutive terms.
  • Although President Tharman won in an open contest in 2023, Jayakumar considered the safeguard justified because future minority representation is not guaranteed and racial issues could be exploited.
Dijana oleh AI
Ini adalah artikel pertama daripada tiga artikel hasil wawancara Mediacorp bersama mantan Menteri Kanan S Jayakumar, yang baru-baru ini melancarkan bukunya 'Creating Three Unique Singapore Laws: An Inside Story'. Buku itu berkisar tentang bagaimana sistem Presiden Dipilih, Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) diwujudkan menerusi pindaan Perlembagaan.

SINGAPURA: Kecaman berbaur perkauman terhadap masyarakat India di ruang online baru-baru ini menunjukkan bahawa “sentimen perkauman yang terpendam” masih wujud di Singapura meskipun kemajuan dicapai sejak beberapa dekad lalu.

Justeru, mekanisme untuk melindungi perwakilan golongan minoriti seperti sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) masih diperlukan, kata mantan Menteri Kanan S Jayakumar.

“(Sistem GRC) tidak lagi diperlukan apabila anda dan saya boleh berkata dengan yakin bahawa kaum, bahasa dan agama bukan lagi isu yang perlu kita bimbangkan,” katanya.

Beliau memberitahu Mediacorp dalam satu wawancara bahawa komen-komen online menyusuli bencana Nepal-Tibet dan pelaburan Singapore Airlines (SIA) dalam Air India menunjukkan bahawa isu kaum masih sensitif dan boleh dieksploitasi.

“Kita sudah mencapai kemajuan besar, baik di pihak pemerintah mahupun masyarakat, dalam usaha menuju ke arah persefahaman dan keharmonian yang lebih erat antara kumpulan dan masyarakat yang berbeza.

"Saya sudah cukup tua untuk menyaksikan rusuhan kaum, dan sepanjang 10 tahun sebagai Menteri Ehwal Dalam Negeri, saya terpaksa menangani isu yang berpunca daripada kaum, bahasa dan agama. Saya ingin mengingatkan kita supaya lebih bersikap realistik,” katanya.

Beliau merujuk kepada Pilihan Raya Umum lalu (GE2025), apabila Perdana Menteri Lawrence Wong terpaksa membuat kenyataan tegas mengenai perbuatan memainkan isu perkauman ketika kempen pilihan raya sedang berlangsung.

Baru-baru ini pula, PM Wong, Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan Menteri Kanan K Shanmugam mengecam “penghinaan berbaur perkauman yang sangat keji dan keterlaluan oleh sesetengah rakyat Singapura terhadap masyarakat India” menyusuli bencana Nepal-Tibet dan pelaburan SIA.

ALTERNATIF KEPADA SISTEM GRC

Dalam wawancara itu, Profesor Jayakumar turut berkongsi bagaimana sistem GRC bermula daripada usulan “kawasan undi berkembar” yang dikemukakan Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew pada 1982.

Di bawah usulan tersebut, dua kawasan undi akan digandingkan, dengan dua Anggota Parlimen (AP) bertanding sebagai satu pasukan dan salah seorang daripada mereka mestilah daripada masyarakat minoriti.

Usulan itu mendapat bantahan keras daripada beberapa anggota Kabinet, termasuk Menteri Sekitaran ketika itu, Dr Ahmad Mattar.

“Saya tidak menyokong idea ini. Kita harus mengelakkannya jika boleh. Sebagai seorang orang Melayu, saya rasa saya tidak mahu bertanding dalam mana-mana pilihan raya di mana kemenangan saya terjamin - bukan kerana saya calon yang ‘kuat’, tetapi kerana saya mempunyai apa yang dikatakan sebagai ‘saudara kembar’ yang kuat untuk saya bergantung,” tulis Dr Mattar dalam sepucuk surat kepada Encik Goh Chok Tong, yang mendapatkan pandangannya atas permintaan Encik Lee.

Prof Jayakumar kemudian mengusulkan supaya AP daripada golongan minoriti dilantik.

“Kita boleh memberi kuasa kepada Presiden, apabila bilangan AP Melayu atau minoriti tidak mencukupi, bagi melantik AP untuk mencukupkan bilangan tertentu,” katanya.

Encik Lee menolak idea tersebut kerana menganggapnya lebih merendahkan lagi, memandangkan mereka yang dilantik langsung tidak dipilih oleh rakyat.

Peguam Negara ketika itu, Tan Boon Teik, pula mencadangkan kawasan undi dikhaskan untuk calon Melayu, yang menurut Profesor Jayakumar juga “tidak wajar dan tidak boleh diterima oleh masyarakat minoriti”.

“Jadi, seperti yang anda lihat, beberapa alternatif sudah dikemukakan,” kata Prof Jayakumar.

Titik perubahan tercapai apabila Encik Goh, yang kemudian menjadi Perdana Menteri kedua Singapura, mencadangkan agar sistem GRC diperluaskan untuk merangkumi masyarakat minoriti lain selain orang Melayu. Langkah itu menangani kebimbangan Dr Ahmad Mattar.

Skim GRC akhirnya diluluskan Parlimen pada Mei 1988 dan diperkenalkan pada Pilihan Raya Umum pada tahun yang sama, dengan 39 kerusi dalam 13 GRC daripada keseluruhan 81 kerusi.
Related article image
Menteri Kedua Undang-Undang S Jayakumar mencuba sepucuk pistol semasa lawatannya ke Cawangan Keselamatan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di Loewen Road pada 14 Januari 1987. (Gambar: Arkib Negara Singapura)
PILIHAN RAYA PRESIDEN DIKHASKAN

Pada masa yang sama, Prof Jayakumar berkata beliau menyokong idea pilihan raya presiden yang dikhaskan untuk kaum tertentu sebelum suruhanjaya perlembagaan mengusulkannya secara rasmi.

Perubahan kepada sistem Presiden Dipilih yang diluluskan pada November 2016 merangkumi mekanisme yang menetapkan pilihan raya dikhaskan untuk sesebuah masyarakat sekiranya masyarakat itu tidak diwakili sebagai Presiden selama lima penggal berturut-turut.

“Adakah baik atau buruk bagi Singapura jika setengah abad atau lebih berlalu tanpa seorang Melayu atau individu daripada golongan minoriti memegang jawatan tertinggi negara? Jika anda berpendapat ia tidak penting, maka anda tidak perlu berbuat apa-apa,” kata Prof Jayakumar.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya yang dikhaskan itu memberi gambaran bahawa calon daripada kumpulan minoriti tertentu tidak mampu menang dalam pertandingan terbuka, Prof Jayakumar berkata kritikan serupa turut dibangkitkan ketika usulan itu pertama kali dikemukakan.

“Namun, kita perlu bersikap realistik,” kata Prof Jayakumar. “Dalam Pilihan Raya Presiden, seluruh Singapura, dari satu sudut, dianggap sebagai satu kawasan undi. Seluruh Singapura mengundi seorang calon, tidak seperti Pilihan Raya Umum di mana calon-calon berbeza bertanding di kawasan undi masing-masing. Dinamiknya sama sekali berbeza.”
Related article image
Menteri Ehwal Luar merangkap Menteri Undang-Undang S Jayakumar dan Menteri Kanan Lee Kuan Yew di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2000 di Kallang Theatre pada 20 Ogos 2000. (Gambar: Arkib Negara Singapura)
Beliau mengakui bahawa Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang disifatkannya sebagai “seorang tokoh yang cemerlang”, dipilih dalam pertandingan terbuka. Encik Tharman, yang juga mantan Menteri Kanan, memenangi Pilihan Raya Presiden 2023 dengan 70.4 peratus undi dalam pertandingan tiga penjuru.

“Bolehkah anda benar-benar yakin bahawa dalam tempoh 30, 40 atau 50 tahun akan datang, seorang lagi calon minoriti akan dipilih? Lantaran itu, adakah wajar untuk mempunyai mekanisme yang dapat memastikan perkara itu?” tanya Prof Jayakumar, sambil menegaskan bahawa pilihan raya yang dikhaskan merupakan satu langkah berjaga-jaga yang hanya digunakan jika keadaan memerlukannya.

Meskipun berharap isu sedemikian akan semakin berkurangan dari semasa ke semasa, Prof Jayakumar berkata Singapura harus terus berwaspada.

“Kita sudah mencapai kemajuan besar. Namun pada masa yang sama, kita perlu melihat dengan jelas bahawa masih terdapat sentimen perkauman yang terpendam dan ia mungkin dieksploitasi dari semasa ke semasa oleh sesetengah pihak. Disebabkan itu, adalah lebih baik untuk menyediakan beberapa mekanisme,” katanya lagi.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita