Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG mesti labur dalam prasarana, teknologi baru bagi jamin bekalan air mampan, tegas DPM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
02:07 Min
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Singapura mesti terus melabur dalam prasarana serta teknologi baru bagi menjamin bekalan air yang mampan.
SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Singapura mesti terus melabur dalam prasarana serta teknologi baru bagi menjamin bekalan air yang mampan.

Menurut DPM Wong, tiada seorang pun yang harus bertindak sambil lewa terhadap air bersih terutama sedang sistem air global kini dilanda krisis, dengan kekurangan bekalan air bersih.

Acara 'Walk For Water' sejauh 1.8 kilometer pada pagi Sabtu (18 Mac), melambangkan jarak yang perlu ditempuhi penduduk Singapura untuk mendapatkan air semasa proses catuan air pada era 1960'an.

Hari ini, Singapura mempunyai pelbagai sumber bekalan air.

Namun Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata, ini dicapai hasil susah payah beberapa generasi warga Singapura.

Beliau turut menyifatkan Bendungan Marina sebagai contoh semangat enggan mudah menyerah kalah.

"Ini semua perlukan perancangan dan kerja keras bertahun lamanya. Namun menerusi usaha sebegini, secara bersama, kita telah melepasi rintangan apa yang boleh dicapai, dan dapat memenuhi keperluan kita yang terus meningkat tahun ke tahun. Kini kita berada dalam keadaan lebih selesa, namun masih ada tugas menanti. Kita mesti lakukan lebih lagi, bagi memenuhi tuntutan masa depan," ujar Encik Wong.

DPM Wong turut menggesa setiap warga untuk memainkan peranan masing-masing untuk menjimatkan air, kerana lebih banyak usaha diperlukan bagi menjamin bekalan bagi keperluan masa depan.

Keperluan itu dijangka berlipat ganda dalam tempoh 30 tahun.

Tahun depan, langkah mengitar semula air diwajibkan bagi industri-industri tertentu yang menggunakan air yang banyak.

Pihak PUB juga sudah bekerja rapat dengan syarikat-syarikat sedemikian bagi mengurangkan penggunaan air di mana mampu.

Sekolah-sekolah juga turut dilibatkan bagi memupuk sikap menjimatkan air sejak dari kecil lagi.

Menerusi pelbagai inisiatif, jelas mesej bahawa setiap titik air itu berharga kini semakin tersemat dalam diri warga cilik Singapura.
 
Sumber : CNA/IQ/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan