Skip to main content

Singapura

SG mesti kekal terbuka, terus 'bentuk semula' ekonomi sedang peranan Amerika berubah: SM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
SG mesti kekal terbuka, terus 'bentuk semula' ekonomi sedang peranan Amerika berubah: SM Lee

Menteri Kanan Lee Hsien Loong mengadakan pertemuan dengan Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev pada 26 Ogos 2026. (Gambar: MDDI/Betty Chua)

Diterbitkan : 27 Aug 2026 10:28PM
  • SM Lee Hsien Loong menegaskan Singapura mesti kekal terbuka dan berpandangan global ketika Amerika Syarikat menilai semula peranan globalnya.
  • Beliau menyampaikan ceramah di Universiti Nazarbayev, Kazakhstan pada 27 Ogos semasa lawatan ke Asia Tengah, dan menerima gelaran profesor kehormat.
  • SM Lee menekankan kepentingan aturan berbilang hala, kerjasama dengan negara bukan tradisional, serta pembaharuan ekonomi domestik termasuk penggunaan AI dan pendidikan berterusan.
  • Beliau juga menyorot keperluan perpaduan masyarakat dan dasar sosial yang kukuh agar pertumbuhan ekonomi memberi manfaat kepada semua rakyat Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Singapura mesti kekal terbuka, berpandangan global dan komited terhadap aturan berbilang hala sedang Amerika Syarikat mentakrifkan semula peranannya dalam keselamatan dan perdagangan global, kata Menteri Kanan Lee Hsien Loong di Kazakhstan pada Khamis (27 Ogos).

SM Lee menyampaikan ceramah di Universiti Nazarbayev semasa lawatan ke Kazakhstan dan Uzbekistan, yang juga lawatan pertamanya ke Asia Tengah. Beliau turut dianugerahkan gelaran profesor kehormat oleh universiti itu pada Khamis.

SM Lee berkata Amerika Syarikat merupakan kuasa dominan di rantau Asia-Pasifik selama beberapa dekad, manakala kemasukan semula China ke dalam ekonomi global sejak 1980-an mewujudkan keadaan yang baik bagi ekonomi Asia seperti Singapura untuk bersepadu dengan pasaran serantau dan global serta berkembang secara stabil.

Namun, Amerika Syarikat kini menilai semula pendekatannya terhadap dunia, dengan keselamatan dan daya tahan negara diberi keutamaan berbanding kesejahteraan ekonomi.

SM Lee berkata: "Ia tidak lagi bersedia memainkan peranan global yang sama seperti sebelum ini, sama ada dalam bidang keselamatan mahupun perdagangan.

"Kebergantungan pada perdagangan dijadikan senjata. Aturan berbilang hala semakin terhakis.

"Ini merupakan sekitaran yang kurang kondusif bagi negara-negara untuk berkembang dan membangun."

MELANGKAH KE HADAPAN

SM Lee berkata Singapura mesti terus terbuka dan berpandangan global. Tidak seperti ekonomi lebih besar, Singapura tidak boleh mengutamakan negara sendiri atau mengejar dasar sara diri.

"Kita akan sentiasa perlu menjalankan perniagaan dengan dunia, sekali pun kita pelbagaikan dan menjamin rantaian bekalan sendiri."

Beliau juga menekankan usaha Singapura mengukuhkan hubungan dengan rakan-rakan bukan tradisional seperti Kazakhstan dan negara-negara Asia Tengah yang lain.

Singapura juga mesti terus menyokong aturan berbilang hala.

SM Lee berkata: "Aturan berbilang hala kekal penting, dan masih perlu ada peraturan yang perlu dipatuhi semua, baik negara besar mahupun kecil."

Singapura akan terus bekerjasama dengan negara-negara yang menyokong rangka kerja Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sambil meneruskan cara praktikal untuk memperkukuh rangka kerja tersebut.

Di peringkat domestik, Singapura akan mengekalkan pendekatan menggabungkan disiplin pasaran yang ketat dengan peranan aktif pemerintah, kata SM Lee.

Beliau turut berkata Singapura perlu terus "membentuk semula" ekonominya berulang kali, termasuk membantu perniagaan mendakap kecerdasan buatan (AI) serta menyokong pekerja melalui pendidikan dan latihan berterusan sedang pekerjaan berubah.

Yang paling penting, rakyat Singapura mesti kekal bersatu padu, katanya.

"Masyarakat kita tidak boleh berpecah disebabkan perbezaan kaum atau agama, pergeseran antara warga lama dan baharu, atau jurang antara golongan kaya dengan miskin."

Beliau berkata untuk Singapura kekal bersatu padu, pertumbuhan perlu bersifat inklusif dan memberi manfaat kepada semua.

"Hasil pertumbuhan mesti dikongsi secara meluas dan saksama. Tiada siapa harus ketinggalan."

Ini menekankan peri pentingnya dasar sosial yang kukuh dan berkesan seperti perumahan awam, jagaan kesihatan awam dan pendidikan awam, kata SM Lee.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita