SG mesti guna teknologi secara berhemah untuk kuat kuasa undang-undang dek kebimbangan privasi
Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial Ong Ye Kung di Forum Tadbir Urus Sosial Singapura-China ke-5 pada 20 April 2026. (Gambar: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga)
Encik Ong bercakap kepada media di Hangzhou, China, selepas Forum Tadbir Urus Sosial Singapura-China ke-5 pada Isnin.
Forum tersebut merupakan salah satu platform kerjasama dua hala utama antara Singapura dan China, yang memberi peluang kepada pegawai kedua-dua negara untuk bertukar pandangan mengenai isu berkaitan tadbir urus sosial.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli, Menteri Negara Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Dinesh Vasu Dash, Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Perdagangan dan Perusahaan Alvin Tan, serta Setiausaha Parlimen Kanan Undang-Undang merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua turut menghadiri forum tersebut.
Menjawab soalan mengenai penggunaan teknologi dalam tadbir urus sosial dan implikasinya terhadap privasi, Encik Ong merujuk kepada penggunaan kamera di kawasan umum blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk menangani masalah tailong.
“Hasilnya, jumlah kes menurun. Saya fikir jika anda bertanya kepada kebanyakan penduduk, mereka mengalu-alukannya. Tidak banyak pencerobohan terhadap privasi, tetapi sekurang-kurangnya ia menghalang sebahagian pemiutang haram,” katanya.
Encik Ong berkata cara teknologi digunakan dan penerimaan orang ramai adalah penting. “Pada asasnya, kita perlu menggunakannya secara berhemah,” tambahnya.
Beliau berkata terdapat cermin mata di China yang disambungkan kepada pangkalan data, di mana pemakainya akan menerima amaran jika ternampak seorang pembunuh.
“Jika itu dilakukan di Singapura, mungkin orang ramai akan memberi reaksi,” katanya. “Kegunaan khusus itu penting. Teknologi membolehkan kita meneroka banyak bidang, tetapi kegunaan kita lebih sederhana.”
Beliau turut menyatakan bahawa Encik Masagos memakai sepasang cermin mata semasa lawatan tersebut yang boleh menterjemah bahasa Mandarin yang dituturkan ke dalam bahasa Inggeris dan memaparkan sari kata.
Memetik rakan sejawatannya dari China, Encik Ong berkata teknologi ialah “pedang bermata dua”.
Dari segi teknologi dan kesannya terhadap tadbir urus sosial, kesannya mungkin lebih tidak langsung, katanya.
LARANGAN TERHADAP MEDIA SOSIAL?
Encik Ong, yang juga Menteri Kesihatan, berkata media sosial "banyak" mengubah hubungan manusia.
“Mereka boleh berhubung dengan seluruh dunia, tetapi bukan dengan jiran mereka. Semua ini sebenarnya mempengaruhi hubungan sesama manusia.
“Kita melihatnya di kawasan undi kita. Ia menjejas kejiranan dan cara orang berinteraksi antara satu sama lain, dan dari masa ke masa, ia juga boleh menjejas perpaduan masyarakat.
"Dengan kurangnya rasa hormat, pemahaman dan saling mengenali, lebih banyak salah faham boleh berlaku, lalu mencetuskan lebih banyak pertikaian, dan akhirnya tadbir urus sosial perlu campur tangan.”
Media sosial juga memberi kesan kepada kanak-kanak. Encik Ong menyatakan bahawa pelbagai negara sudah melaksanakan atau membincangkan larangan media sosial untuk remaja.
Walaupun ada yang mengkritik larangan tersebut, beliau percaya ia boleh membawa manfaat, namun mengakui bahawa larangan adalah “kaedah yang kurang tepat”.
Golongan muda menggunakan media sosial untuk mengekalkan persahabatan dan tujuan pendidikan, jadi terdapat banyak kebaikan, tambahnya.
Panel pakar Kementerian Kesihatan mendapati faktor “berbahaya” termasuk mesej langsung daripada orang dewasa kepada golongan muda, ciri ketagihan seperti 'autoplay', serta kekurangan pengesahan umur yang berkesan.
Secara keseluruhan, kesannya lebih memudaratkan, kata Encik Ong.
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) akan mendampingi platform teknologi mengenai isu ini, katanya.
PENDEKATAN TERHADAP TADBIR URUS SOSIAL
Encik Ong turut berkongsi pengalamannya sebagai pengerusi bersama forum tadbir urus sosial buat kali pertama.
Beliau berkata kedua-dua negara mempunyai pendekatan berbeza terhadap isu tadbir urus sosial.
Di Singapura, ia memberi tumpuan kepada keharmonian sosial kerana negara ini berbilang kaum.
Di China pula, ia bermula dengan keselamatan. Pemerintah China percaya bahawa masyarakat mesti aman dan stabil agar negara menjadi kukuh.
Ini bermakna rakyat mesti mempunyai pekerjaan, ekonomi mesti berkembang, dan pertikaian mesti diselesaikan agar tidak menjadi tidak terkawal.
Bagi memastikan pertikaian dihuraikan, China mempunyai rangka kerja hingga ke peringkat kampung, manakala Singapura mempunyai pusat pengantaraan.
Sejak beberapa tahun lalu, pendekatan Singapura dan China semakin menghampiri satu sama lain, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.