Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SG mansuh semua langkah kawal sempadan COVID-19 mulai 13 Feb

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapura akan memansuhkan semua langkah kawalan sempadan COVID-19 mulai Isnin (13 Feb) sedang negara ini menurunkan tahap amaran COVID-19 ke paras terendah.

Ini selepas situasi pandemik semakin pulih di peringkat global dan kesan kes import pada kapasiti jagaan kesihatan Singapura juga dinilai rendah, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (9 Feb).

Singapura juga akan menggugurkan hampir kesemua peraturan COVID-19, seperti mewajibkan pemakaian pelitup di dalam pengangkutan awam.

Sebaik sahaja peraturan-peraturan bagi mengawal sempadan dimansuhkan, semua pelawat, termasuk mereka yang tidak divaksin, tidak perlu menunjukkan hasil negatif ujian COVID-19 sebelum memasuki Singapura. Para pelawat yang tidak divaksin juga tidak perlu membeli insurans COVID-19.

Sungguhpun demikian, Singapura bersedia untuk menguatkuasakan semula sekatan-sekatan di bawah Rangka Kerja Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) jika terdapat "perkembangan yang membimbangkan di peringkat antarabangsa," menurut kementerian itu. Ini termasuk kemunculan varian baru yang berbahaya atau tanda-tanda yang menunjukkan bahawa sistem jagaan kesihatan Singapura terbeban akibat kes import.

Para pelawat juga akan terus disaring untuk mengesan penyakit berjangkit seperti Demam Kuning, Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) dan Ebola. Semua pelawat, termasuk warga Singapura, masih perlu menyerahkan perisytiharan kesihatan melalui e-khidmat Kad Ketibaan SG apabila memasuki Singapura.

Para pelawat juga haru memeriksa laman web Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai langkah-langkah kawalan sempadan sebelum memasuki Singapura, tambah MOH.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan