Skip to main content

Singapura

SG mampu rapatkan jurang AI di peringkat global bagi sektor sosial: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 09 May 2026 10:29PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 02:42PM

SINGAPURA: Semasa menggulung lawatan beliau ke Switzerland bagi menghadiri Simposium St Gallen, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Masagos Zulkifli berkongsi, terdapat jurang kritikal bagi pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor sosial di merata dunia.

Lantas, ini merupakan peluang keemasan bagi Singapura untuk bekerjasama dengan rakan-rakan sealiran seperti Switzerland bagi memperluas huraian serta meningkatkan akses bukan sahaja di negara sendiri, tetapi juga untuk seluruh dunia.

Meskipun berjarak ribuan batu daripada satu sama lain, Switzerland dan Singapura berkongsi persamaan yang mendalam.

Antara lain, sistem sosialnya yang kukuh, walaupun terdapat beberapa amalan berbeza - contohnya, antara pendekatan yang mementingkan individu atau keluarga, kata Encik Masagos.

"Namun, pada akhirnya, tujuannya sama - bagaimana kita membantu masyarakat, mereka yang rentan, mereka yang mungkin golongan kurang upaya, untuk memastikan kita tidak meninggalkan mereka di belakang. Dan sedang kita maju, mereka juga menaruh harapan untuk bersama-sama kita," jelas Encik Masagos.

Tujuan yang dikongsi bersama ini menjadi asas kukuh bagi kerjasama - misalnya penggunaan teknologi baharu seperti AI bagi sektor sosial.

Memandangkan kebanyakan pembangunan AI dipacu sektor komersial seperti jagaan kesihatan dan kewangan, terdapat jurang bagi penggunaannya dalam khidmat sosial.

Lantas, timbul peluang bagi Singapura untuk mengenal pasti dan mengemukakan huraian di peringkat global. 

"Jika kita boleh kumpulkan pemerintah yang sealiran serta agensi serantau dan dari luar, skalanya menjadi lebih besar dan ini sesuatu yang kita boleh usahakan bersama dengan negara-negara lain yang mungkin perlukan aplikasi sebegini."

Selain sektor sosial, Encik Masagos juga giat menggalakkan pendedahan masyarakat kepada AI.

Misalnya di GRC Tampines yang beliau pimpin, satu inisiatif bandar bijak AI akan dilancarkan bulan depan.

Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen pemerintah untuk memastikan tiada golongan yang tertinggal akibat pembangunan teknologi semasa.

"Saya harap kita semua melihat zaman teknologi baharu AI ini dengan berlapang dada dan bersiap-siap untuk meningkatkan kemahiran kita masing-masing. Pemerintah akan membantu kita untuk mengharungi masalah-masalah tersebut tetapi kita juga melakukan apa yang kita boleh untuk meningkatkan kemahiran kita yang perlu diperbaharui," kata Encik Masagos.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita